ZARUL tidak pernah berdepan masalah dengan kerja tetapnya sebagai pramugara dan penyanyi.
SEJAK kebelakangan ini, bersenam di gimnasium boleh dikatakan menjadi satu trend dalam kalangan golongan muda mahu pun sesiapa sahaja yang prihatin terhadap kesihatan.
Selain gaya hidup sihat, kaum lelaki terutamanya kunjungan ke pusat riadah tersebut sebagai lokasi terbaik untuk mendapatkan bentuk tubuh yang menarik.
Bagi penyanyi Zarul Umbrella, mengunjungi gimnasium bagi mengekalkan kesihatan di samping menjaga penampilan merupakan salah satu tuntutan kerjaya utamanya sebagai seorang pramugara.
Bagaimanapun, kegemaran penyanyi yang pernah menganggotai kumpulan Umbrella itu memuat naik gambar sewaktu bersenam telah menyebabkan pengikutnya sering meninggalkan komen yang kurang enak untuk dibaca.
Antaranya terlalu memuji ketampanan penyanyi itu selain meminta agar dia mengambil gambar tanpa mengenakan pakaian.
Berkesempatan bertemu dengan pelantun yang cukup popular dengan lagu Ramalanku Benar Belaka itu pada malam kemuncak Gegar Vaganza yang berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam, Selangor baru-baru ini, pemilik nama sebenar Zairulkefli Husin, 42, itu berkata, niatnya memuat naik gambar ketika sedang bersenam adalah bagi menggalakkan khalayak umum mengamalkan gaya hidup sihat.
Ujarnya, sebagai seorang yang beragama Islam, dia tahu tentang hukum agama dan batasan aurat bagi seorang lelaki.
Artis Meletop!: Apakah tujuan utama Zarul berkongsi gambar ketika sedang bersenam di gimnasium?
ZARUL: Saya bukan berkongsi gambar bersenam secara suka-suka. Bagi saya, bersenam merupakan cara yang terbaik untuk mendapatkan tubuh badan yang sihat. Tambahan pula, dalam lingkungan umur 40-an seperti saya, usaha keras diperlukan bagi mengekalkan stamina dan penampilan.
Adakah pekerjaan sebagai pramugara memerlukan anda sentiasa menjaga penampilan?
Itu merupakan perkara yang diutamakan oleh Penerbangan Malaysia (MAS). Selain itu, saya juga perlu memastikan berat badan tidak naik dengan mendadak atau melebihi 76 kilogram.
Memandangkan rutin pekerjaan anda yang agak sibuk, bilakah anda mencuri masa untuk bersenam?
Terpulang pada jadual kerja yang diberikan. Jika dalam seminggu saya diberi cuti selama tiga hari, jadi saya akan mengambil peluang tersebut untuk bersenam. Rutin yang sama turut diamalkan jika tugasan memerlukan saya bermalam di luar negara. Masa yang diperuntukkan untuk berehat sementara menunggu penerbangan seterusnya akan digunakan untuk bersenam.
Bagaimana penerimaan anda apabila peminat sering memberi komen berbaur lucah menerusi Instagram anda, terutama pada gambar ketika anda di gimnasium?
Tidak dinafikan, saya ada menerima komen-komen yang agak mengarut daripada pengikut termasuklah dalam kalangan wanita dan lelaki. Paling dahsyat, ada yang meminta saya mengambil gambar tanpa mengenakan pakaian.
Apakah reaksi anda ketika itu?
Saya tidak ambil peduli dengan komen yang diberi. Asalkan saya tahu niat saya berkongsi gambar tersebut semata-mata mahu mengajak orang lain turut mengamalkan gaya hidup sihat.
Adakah pada masa akan datang anda bakal berkongsi gambar tanpa mengenakan pakaian?
Tidak sama sekali. Saya tahu batas aurat bagi kaum lelaki dalam Islam dan saya tidak akan berbuat demikian.
Kerjaya anda sebagai penyanyi dan anak kapal dilihat berjalan dengan seiring. Pernah terfikir untuk berhenti daripada bergelar pramugara dan memberi fokus terhadap bidang nyanyian?
Buat masa ini, saya masih selesa bergelar pramugara. Sudah 16 tahun saya bekerja dengan MAS dan sepanjang tempoh itu, saya tidak pernah mengalami sebarang masalah. Saya tetap akan menyanyi, tetapi ia perlu bergantung kepada kelapangan dan hari cuti.
Apakah perkembangan terbaharu anda?
Sekarang saya masih menunggu lagu daripada komposer. Untuk single terbaharu nanti, saya mungkin mahu mencuba sesuatu yang lebih segar dengan membawakan lagu berentak rancak.
0 Comment to "Peminat minta Zarul tanggal baju"
Post a Comment