Tiga tahun lalu, nama Justin Bieber memberi bayangan seorang ikon pop remaja sedang membina nama dalam acuannya tersendiri.
Pada waktu itu, masa depannya kelihatan cukup cerah kerana Bieber memiliki satu pakej yang lengkap untuk diangkat menjadi bintang Hollywood.
Remaja berusia 18 tahun itu memiliki suara yang lunak selain aset utama yang membuat banyak wanita penasaran dan jatuh cinta kepadanya ialah seraut wajah tampan Bieber.
Namun, kemewahan dan populariti yang datang bertimpa-timpa menjadi beban buat pelantun lagu Baby itu apabila setiap inci kehidupan Bieber perlahan-lahan menjadi tumpuan ribut kontroversi yang tidak berkesudahan.
Kalender 2015 menjadi saksi bagaimana reputasi Bieber sebagai ikon pop remaja masih berada dalam zon panas. Januari awal tahun ini, Bieber sudah membuka lembaran hidupnya dengan insiden tidur di lokap, dan kemudian seperti bedilan peluru tanpa ihsan, kontroversinya menjadi berekor-ekor.
Apa lagi yang tidak dilakukan oleh Bieber dalam tahun ini? Dia menjadikan monyet sebagai haiwan peliharaan, mewarnakan rambutnya menjadi perang platinum, berbogel di pusat peranginan, kencing di belakang pentas dan banyak lagi perkara yang hampir tidak masuk akal.
Biar begitu, satu perkara sahaja yang tidak berubah dalam hidup penyanyi ini iaitu jumlah peminatnya yang sehingga kini merangkumi hampir 72 juta pengikut di laman sosial Facebook sebagai saksi jatuh bangun hidupnya.
“Saya sudah penat untuk memohon maaf kepada orang atas kesalahan yang saya lakukan dalam hidup. Benar, tahun ini boleh dikatakan sebagai zaman kejatuhan saya tetapi itu adalah satu fasa yang perlu dilalui oleh setiap selebriti.
“Saya manusia, bukan malaikat. Saya perlu melakukan perkara merepek dan bukan-bukan, merasai kegagalan dan bangkit semula. Saya tidak terus hanyut, itu yang paling penting,” katanya dalam temu bual bersama majalah Complex tentang definisi keseluruhan tahun 2015 buatnya.
Bakat dan sikap
Ditanya bagaimana semua peristiwa yang melanda dirinya sejak kebelakangan ini mengubah pendiriannya tentang hidup, dia merenung jauh sehingga kelopak matanya mulai berkaca.
Bieber memberitahu, kitaran hidupnya yang kelam itu banyak mengajar dia agar kembali mengingati niat asal ketika mula-mula hendak bergelar seorang penyanyi iaitu kepuasan hati.
Penyanyi kelahiran Kanada itu juga mengakui dirinya tenggelam sebentar dalam keasyikan dunia selebriti yang bebas dan menyalah-gunakan kelebihan ‘kaya-raya’ untuk berseronok.
“Saya membesar daripada seorang budak remaja belasan tahun menjadi lelaki yang menginjak usia 20-an dan setiap ujian yang dilalui itu adalah satu pengalaman berharga.
“Saya tidak pernah menyesal menjadi remaja bermasalah dan jika diberi peluang mengulang semula hidup waktu itu, saya tetap akan melakukan perkara sama. Saya akan buktikan saya pernah rebah, bangun semula dan tunjukkan ia akan menjadi lebih baik selepas itu,” jelasnya yang pernah dilabel sebagai anak manja kerana sering diulit kemewahan melampau. Bieber dianggarkan memiliki kekayaan terkumpul berjumlah RM249 juta (AS$58 juta).
Namun, kenakalan Bieber tidak dapat menghapuskan kenyataan bahawa dia adalah seorang artis berbakat besar dan bukan hanya wujud sekadar untuk menempel dalam industri muzik antarabangsa.
Selepas mengejutkan peminat ketika menyapu bersih enam anugerah pada MTV VMA 2015 baru-baru ini termasuk Penyanyi Lelaki Terbaik, Penampilan Terbaik, Peminat Teramai dan Artis Paling Popular Utara Amerika, Bieber sekali lagi mengunci mulut pengkritik seni dengan kehebatan album terbaharunya, Purpose.
Purpose yang menyaksikan kerjasama Bieber dengan komposer terkenal, Kanye West menewaskan rekod 51 tahun kumpulan The Beattles dalam carta lagu Billboard 100 bagi kategori artis dengan lagu paling banyak dalam carta untuk tempoh sama.
Menerusi pemecahan rekod tersebut, Bieber berjaya meletakkan 17 lagu daripada Purpose ke dalam carta sekali gus menewaskan The Beattles yang pernah menempatkan 14 lagu pada tahun 1964.
Antara lagu-lagu yang tersenarai ialah Sorry (2), Love Yourself (4), What Do You Mean (5), I’ll Show You (9), The Feeling (19), The Feeling (31), Where Are You Know (34), Mark My Words (pencalonan baharu) dan Purpose (pencalonan baharu).
“Saya bekerja keras untuk album ini dan cukup bermakna apabila peminat tidak jemu-jemu menyokong walaupun ketika prestasi seni saya bukan berada dalam keadaan paling baik.
“Selama ini saya dinilai berdasarkan gosip-gosip liar tanpa henti. Jadi sekarang, saya berharap sudah boleh berubah menjadi lelaki yang lebih dihormati dengan hasil kerja seni berkualiti,” katanya menjelaskan tindakan menangis sewaktu membuat persembahan pada malam anugerah MTV VMA 2015 yang berlangsung di Milan, Itali.
Wanita
Andai kisah hidup Bieber dibelek semula, tidak keterlaluan untuk mengatakan, punca dia mula memberontak dan mempamer sisi nakalnya disebabkan kemusnahan hubungan cinta dengan aktres dan penyanyi, Selena Gomez hampir setahun lalu.
Di sebalik tabiat kaki perempuannya dan bertukar-tukar skandal wanita seperti menyalin baju selepas mereka berpisah, bayangan Gomez sentiasa ada dalam diri Bieber.
Bagi Bieber, Gomez adalah perkara terbaik yang pernah terjadi sepanjang zaman remajanya walaupun cinta mereka hanya mampu bertahan selama dua tahun.
“Saya jatuh cinta pada Selena ketika berusia 18 tahun dan ia merupakan suatu perubahan besar dalam hidup kami berdua, terutamanya apabila kami mengambil keputusan untuk tinggal bersama.
“Keadaan pada masa itu seperti pasangan yang sudah berkahwin dan sangat tegang kerana kami berdua bergelut untuk menyesuaikan diri. Nasihat saya, jangan jatuh cinta,” ujarnya berseloroh.
Selepas putus cinta, Bieber memilih gaya hidup kasanova untuk mengubati kekecewaannya dan pernah dilihat rapat dengan beberapa orang wanita termasuk model British, Jayde Pierce, Kendall Jenner dan terbaharu ialah Kourtney Kardashian.
Tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai wanita-wanita yang sering kelihatan bersamanya, Bieber lebih selesa membiarkan peminat membuat spekulasi dan melayan sesiapa sahaja yang mempamerkan kemesraan kepadanya.
Hubungan singkat Bieber bersama wanita-wanita berkenaan dilihat seperti hanya mengisi masa lapangnya kerana tiada antara mereka yang benar-benar mencuri perhatian lelaki itu untuk masuk dalam zon serius.
“Saya tidak mahu memikirkan tentang hubungan cinta buat masa sekarang kerana kebanyakan wanita yang saya kenali, akan dibandingkan dengan hubungan ketika bersama Gomez secara tidak sengaja.
“Memang sukar untuk mana-mana gadis bersaing dengan Gomez namun dari sudut positifnya, ia merupakan satu proses penyembuhan jiwa secara total.
“Apabila saya benar-benar bersedia, barulah pintu hati ini akan dibuka semula,” jelasnya yang mendapat jolokan Jelena (Justin dan Selena) ketika bercinta dengan bekas kekasihnya itu.
Selain menolak cinta untuk diletakkan sebagai fokus 2016, Bieber menjadikan proses pemantapan kerohanian yang sedang diamalkan sekarang sebagai jalan untuk kembali meletakkan dirinya pada puncak kegemilangan.
Kata Bieber, pengalaman dalam masa setahun dua ini banyak mendewasakannya untuk lebih bersedia jika berdepan situasi lebih dahsyat pada masa akan datang.
“Saya mahu menjadi lelaki yang berkeyakinan tinggi tetapi tidak disalah anggap sebagai bongkak. Saya mahu disayangi atas perkara baik yang saya lakukan dan percaya akan kebolehan diri tanpa sebarang perasaan ragu-ragu.
“2016 akan menjadi tahun yang saya boleh banggakan, jelas tentang apa yang mahu sampaikan dan apa yang telah saya korbankan untuk sampai ke tahap ini,” tuturnya mendatar namun berbaur tegas.
0 Comment to "Rehabilitasi Justin Bieber"
Post a Comment