Friday, 25 December 2015

Eksklusif, tersendiri Dayang Nurfaizah


BERLAKON - Walaupun pernah ada mendapat tawaran untuk berlakon, Dayang menolak secara baik pelawaan itu kerana menyedari kekurangan bakat lakonan dalam dirinya. Kata Dayang, dia mempunyai perasaan malu untuk berdialog apabila ada orang yang memerhati dan tidak mahu menyusahkan orang lain.

Buat segelintir penyanyi yang sudah pernah mengecap kemanisan berada di puncak kerjaya, misi untuk terus menyertai sesebuah pertandingan seperti Anugerah Juara Lagu (AJL30) bukanlah sesuatu yang berapi-api.

Bagi mereka, sudah sampai saatnya melepaskan peluang kepada bakat baharu.

Namun bagi penyanyi berkulit hitam manis dari Bumi Kenyalang, Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 34, dia belum pernah meletakkan sebarang had untuk berhenti bertanding di pentas AJL, walaupun sudah 16 tahun bertapak dalam industri seni suara.

Mendefinisikan AJL sebagai medan pembakar semangat untuk sentiasa memberikan yang terbaik, Dayang sering mengingatkan diri , agar tidak terlalu selesa dengan kedudukan sekarang.


“Pilihan untuk berhenti daripada menyertai AJL adalah hak dan keputusan individu, tetapi bagi saya, selagi mampu untuk mempertaruhkan bakat, saya akan cuba sedaya upaya.

“Saya berasa seronok setiap kali terpilih ke peringkat akhir AJL kerana peluang untuk bersaing dengan rakan-rakan artis dalam ruang yang sama bukan senang untuk diperoleh.

“Tambahan sekarang, generasi penyanyi baharu yang kreatif membuatkan saya yang boleh dikategorikan sebagai ‘old school’ ini lebih gigih berusaha agar nyanyian tidak kedengaran hambar dan kosong,” ujarnya ketika ditemui di lokasi penggambaran klip video runut bunyi filem Langit Cinta di Studio 16, Kota Damansara, baru-baru ini.

Tambah pemenang kategori Vokal Terbaik AJL29 menerusi lagu Di Pintu Syurga itu, walaupun barisan finalis tahun ini kebanyakannya penyanyi-penyanyi muda, dia tidak pernah meletakkan diri sebagai senior dan melihat jurang antara mereka.

Secara peribadi, Dayang sebenarnya bangga melihat kepelbagaian genre muzik bertanding dalam AJL. Dia percaya, peminat tempatan sudah bersedia membuka telinga menikmati muzik lebih variasi.

Runut bunyi Langit Cinta

“Semua yang telah dipilih ke peringkat akhir AJL adalah yang terbaik dan mempunyai kekuatan sendiri. Tiada istilah penyanyi senior mempunyai kelebihan atau junior perlu takut dengan kehadiran penyanyi lama.

“Saya menganggap semua pesaing berpeluang menang AJL kerana pada hari pertandingan, apa sahaja boleh berlaku. Siapa yang terbaik, dialah akan dijulang,” jelasnya yang bakal mempertaruhkan lagu Tak Pernah Menyerah dalam AJL edisi ke-30 tahun hadapan.

Bercakap tentang perkembangan terkini seninya, Dayang baru sahaja selesai menjalani penggambaran klip video runut bunyi filem Langit Cinta dengan tajuk sama yang bakal menemui peminat selewat-lewatnya Januari ini.

Pertama kali diberi kepercayaan menyanyikan runut bunyi filem, Dayang mengakui, berdebar-debar menanti reaksi peminat terhadap single terbaharunya itu.

Bukan kerana susunan lagu atau kualiti vokal, dia lebih risaukan sama ada emosi yang cuba diterapkan dalam setiap bait lirik lagu itu dapat meninggalkan kesan di hati pendengar.

“Bagi saya, tanggungjawab menyanyikan runut bunyi filem adalah satu tugasan berat kerana mahu menerusi lagu inilah, peminat dapat membayangkan keseluruhan cerita nanti.

“Saya sudah berikan yang terbaik daripada segi penghayatan, semoga peminat boleh mengaitkan emosi saya dalam nyanyian dan jalan cerita filem Langit Cinta itu sendiri,” katanya yang sedang giat mengumpul material untuk album terbaharunya tahun hadapan.

Walaupun kini Dayang dilihat selesa melancarkan single demi single dalam satu-satu tahun, tindakan itu sebenarnya terjadi secara kebetulan kerana dia tidak mahu membunuh permintaan peminat terhadap lagu sedia ada.

Tambah Dayang, masa-masa lompong sewaktu tempoh peralihan untuk mengeluarkan lagu baharu digunakan untuk memilih karya-karya terbaik yang akan dimuatkan dalam albumnya kelak.

“Untuk pemilihan lagu di dalam album, saya tidak memilih komposer atau penulis lirik, tetapi saya akan mementingkan susunan muzik, lirik dan sama ada saya boleh mengangkatnya sebagai sebuah karya yang baik.

“Seperti single Tidak Pernah Menyerah yang layak ke peringkat akhir AJL30 tahun depan, komposernya adalah seorang jejaka bernama Akid yang masih muda, namun berbakat besar dalam dunia penciptaan lagu. Jika orang sepertinya tidak diberi peluang, bagaimana mereka akan belajar menggantikan senior yang ada,” jelas Dayang.

Tidak pernah berubah

Bagi sesetengah artis atau selebriti yang sudah mencapai tahap tersendiri dalam kerjaya, kebiasaannya cara kehidupan mereka akan turut mengalami perubahan ketara.

Ada antara selebriti memilih untuk berhenti daripada mengunjungi tempat-tempat awam, mengelak untuk berada ke kawasan yang sesak dengan orang ramai dan sebagainya lagi.

Namun bagi Dayang, isu sebegitu tidak pernah menjadi suatu masalah buatnya. Buktinya, baru-baru ini Dayang memberitahu, ada seorang peminat terkejut melihatnya sedang menikmati makan malam di sebuah tapak medan selera di ibu kota.

“Tidak salah rasanya saya menjamu selera di tempat awam jika makanannya sedap, bersih dan halal. Saya bukan jenis yang cerewet atau berkira dalam bab makanan.

“Bagi saya, yang penting apabila hendak memilih tempat makan, harus kena dengan selera keluarga dan mengenyangkan. Tak berbaloi rasanya pergi ke restoran mahal semata-mata hendak makan secara eksklusif,” ceritanya sambil tertawa kecil.

Ternyata, sikap dan pendirian Dayang itulah yang menjadi antara faktor penyumbang kepada stabiliti karier seninya. Sejak kembali menghiasi dunia seni suara selepas beberapa tahun menyepikan diri, dia kembali mendaki ke puncak.

Hanya mampu mengucapkan rasa syukur dan berterima kasih kepada peminat yang tidak henti-henti memberikan sokongan terhadapnya, Dayang turut meluahkan harapan agar momentum yang terpahat berkekalan menjelang 2016 nanti.

Enggan lagi menoleh ke belakang, Dayang berkata, selagi orang mahu mendengar nyanyian dan lagunya, dia tidak akan pernah berhenti berkarya dan cuba berikan yang terbaik buat mereka.

- Eksklusif, tersendiri Dayang Nurfaizah

SHARING GOOD

0 Comment to "Eksklusif, tersendiri Dayang Nurfaizah"

Post a Comment