PELAKON tinggi lampai, Scha Al Yahya beranggapan peminat terlalu fanatik dengan anak-anak selebriti sehingga menimbulkan perkara tidak sepatutnya.
Terkena tempias dengan situasi itu, pelakon drama Awan Dania itu mengakui terkilan apabila anaknya, Lara Alana dikatakan bersaing dengan puteri kesayangan pelakon cantik, Rozita Che Wan (Che Ta), Aaisyah Dhia Rana.
Secara tidak langsung, situasi itu menimbulkan pergaduhan dalam kalangan peminat kedua-dua selebriti itu di laman sosial Instagram.
“Sudah tentulah, tiada persaingan di antara mereka. Kenapalah perkara ini harus terjadi? Kasihan. Mereka bayi lagi dan masih kecil.
“Saya tidak nafikan, peminat memang banyak membantu, tetapi apabila terjadi perkara ini, saya sendiri rasa tidak seronok.
“Ya, saya tahu ramai peminat menyukai Lara dan Aaisyah, tetapi janganlah terlalu taasub,” tegasnya kepada Zass.
Jelasnya, situasi itu secara tidak langsung akan memberi kesan terhadap hubungannya dengan Che Ta.
Tambah pemilik nama penuh Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya ini, tujuannya membuka laman Instagram adalah untuk berkongsi dengan peminat aktiviti mereka terutama anaknya, Lara.
“Awal memang suka ambil gambar dan apabila sudah bergambar, apa lagi yang dia nak buat?
“Sudah tentulah memuat naik gambar itu di Instagram. Lebih-lebih lagi, kami ini jenis suka berkongsi dengan peminat.
“Cuma, di akhirnya apa yang kita tahu mengenai perkongsian itu adakah ia dapat memberi kebaikan atau tidak,” katanya.
Pada masa sama, isteri kepada pelakon Awal Ashaari ini berharap isu tersebut tidak lagi berbangkit pada masa depan.
Dalam pada itu, Scha mengakui tidak kisah sekiranya anak perempuannya itu terlibat dalam bidang seni.
“Setakat ini, Lara hanya terlibat dalam penggambaran iklan dan untuk berlakon masih belum ada lagi.
“Bukan tidak izinkan, tetapi saya perlu memilih produk yang benar-benar bersesuaian dan berkaitan Lara.
“Bukannya apa, Lara seorang bayi yang sangat aktif dan bising. Dia jarang duduk senyap. Jadi, agak sukar untuk mendapatkan fokus dari dia,” kata Scha yang kini bergelar duta produk Yakult dan Johnson n Johnson.
Kembali sibuk berlakon
Sementara itu, meskipun sibuk dengan komitmen sebagai duta, cinta Scha terhadap dunia lakonan tidak pernah berkurang.
“Saya masih berlakon, tetapi perlu memilih mengikut kesesuaian masa.
“Ada tawaran terpaksa ditolak berikutan bertembung dengan projek sedia ada,” katanya.
Pada masa sama, Juara Dewi Remaja 2005/2006 ini bersedia 'melepaskan' Lara untuk kembali fokus dalam dunia lakonan.
“Kadang-kadang, ada juga rasa sayu dan sedih, tetapi saya kena kuat semangat.
“Lagipun, ramai yang ada untuk menjaga Lara seperti Awal, neneknya dan pengasuh. Malah, Lara pun dah besar dah nak masuk dua tahun,” katanya sambil tertawa.
Dalam perkembangan lain, Scha kini sibuk menjalani penggambaran drama bersiri Isteri VS Tunang untuk Astro Ria selain terlibat sebagai juri dalam satu program fesyen show untuk TV3.
0 Comment to "Scha Jangan bandingkan Lara, Aaisyah"
Post a Comment