SEDARI kecil, Harris J memasang impian untuk menjadi pemain bola sepak. Pun begitu, cita-cita itu terpaksa dilupakan berikutan kecederaan serius ketika usia mencecah 15 tahun.
Lantaran itu, anak kelahiran Chelsea, London ini nekad untuk menceburi bidang seni suara.
Membuktikan lagi kesungguhannya dalam bidang serba glamor ini, Harris J berjaya menamatkan pengajiannya di School of Performing Arts London yang pernah melahirkan artis pop terkenal antarabangsa seperti Adele dan Amy Winehouse.
“Secara kasarnya, saya mula menyanyi sejak berusia lima tahun terutamanya ketika mengadakan perjumpaan keluarga.
“Tetapi, saya hanya mula serius menyanyi ketika berusia 15 tahun selepas memenangi pertandingan Awakening Talent Contest pada 2013.
“Alhamdulillah, pilihan saya ini diterima dan direstui keluarga walaupun mereka tiada kaitan langsung dalam industri muzik,” katanya kepada Zass.
Menerusi pertandingan itu, Harris J berjaya menewaskan lebih 1,000 penyertaan berbentuk rakaman video nyanyian dari 66 negara di seluruh dunia.
Lebih membanggakan, hasil daripada kemenangan itu melayakkannya untuk menandatangani perjanjian rekod eksklusif dengan syarikat rakaman, Awakening Records.
“Saya sangat berbesar hati dan bertuah kerana berpeluang berada di bawah satu bumbung dengan penyanyi dan komposer, Maher Zain serta Humood Alkhudher.
“Secara peribadinya, saya kagum dengan mereka bahkan kedua-duanya adalah antara individu yang sangat berpengaruh,” katanya.
Buah tangan pertama
Harris J kemudiannya muncul dengan ‘bayi sulung’, Salam Alaikum terbitan Awakening Records dan diedarkan oleh Inteam Records di negara ini, sejak November lalu.
Bercita-cita untuk menjadi alternatif kepada remaja, Harris J tampil dengan konsep muzik moden, tetapi tetap menekankan lirik yang penuh bermakna.
“Matlamat utama saya adalah untuk menyebarkan muzik kepada orang ramai terutama kepada golongan muda.
“Mungkin kerana saya masih muda, jadi saya lebih selesa membawakan konsep pop moden.
“Bagi saya, setiap genre muzik sama ada pop, R&B mahupun rap ia memberikan pengaruh yang sangat hebat dalam hidup,” katanya.
Katanya, album Salam Alaikum menampilkan 12 lagu iaitu Salam, Good Life, Rasool’allah, I Promise, The One, Worth It (ft Saif Adam), Love Who You Are, Eid Mubarak (ft Shujat Ali Khan), Let Me Breathe, Paradise (ft Jae Deen), My Hero dan You Are My Life.
“Sebenarnya, album ini sudah direkodkan sejak dua tahun lalu.
“Oleh kerana tidak mahu mengganggu sesi persekolahan saya, jadi pelancarannya perlu ditangguhkan buat sementara waktu.
“Lebih bertuah, saya turut mendapat sentuhan daripada Maher Zain yang sememangnya sangat berpengalaman dalam menerbitkan album berkonsep pop moden seperti ini,” katanya.
Pada masa sama, Harris J turut melancarkan video muzik singlenya iaitu Salam Alaikum yang sehingga kini telah mencecah hampir 4.6 juta penonton di seluruh dunia.
Tidak hanya di Malaysia, Harris J turut mempromosikan album pertamanya itu di seluruh dunia antaranya Perancis, Scotland, Ireland, Wales dan Indonesia.
Situasi itu menjadikan nama Harris J sangat terkenal di seantero dunia.
“Pada mulanya, saya berasa sangat pelik dengan keadaan sekarang.
“Semuanya sudah berbeza. Perubahannya sangat besar. Jika dua bulan lalu, saya masih di bangku sekolah kini saya sudah mengembara sekeliling dunia.
“Bukan itu saja, peminat dan kamera juga mengikut saya, memang rasa susah, tetapi pada masa sama saya seronok mengembara dan berjumpa dengan orang,” katanya.
Pada masa sama, Harris J berhasrat menghasilkan sebuah album akustik yang mampu memberi inspirasi kepada semua orang.
0 Comment to "Semangat juang Harris J"
Post a Comment