Tuesday, 8 December 2015

Tauke rasa ralat


NADIA MOHD. AFFANDI, wanita yang kini menjadi tunangan Tauke.

BIARPUN sudah lebih seminggu pelawak dan pelakon, Yus Jambu menghembuskan nafas yang terakhir, jiwa rakan baiknya, Tauke masih lagi dirundung duka.

Rasa sedih yang berlingkar dalam hati bertambah sebal tatkala hasrat pelakon filem Mana Mahu Lari itu untuk berkongsi bahagia semasa hari pertunangannya bersama teman sejiwa, Yus tidak kesampaian.

Sebelum ini, Tauke atau nama sebenarnya, Zamratul Amri Zakaria, 39, juga pernah meminta Yus untuk menjadi pengapit pada majlis persandingannya saat mendirikan rumah tangga kelak.

Namun, Tauke yang selamat mengikat tali pertunangan dengan pilihan hatinya, Nadia Mohd. Affandi, 26, pada 5 Disember lalu mengakui sedikit ralat dan terkilan apabila mengenang kembali hasrat yang hanya tinggal kenangan itu.


Artis Meletop!: Tahniah Tauke atas pertunangan bersama Nadia. Bagaimanakah perasaan anda selepas bergelar tunangan orang?

TAUKE: Terima kasih. Walaupun rasa gembira itu ada, namun hati saya masih lagi sedih kerana baru kehilangan seorang sahabat baik. Rasa sebak semakin menebal kerana saya tahu, dia tidak akan hadir pada majlis tersebut kerana dia telah meninggal dunia, bukan disebabkan ada urusan lain. Pada masa sama, saya berasa sangat ralat kerana pernah meminta Yus untuk menjadi pengapit saya jika saya berkahwin suatu hari nanti.

Boleh ceritakan tentang perancangan majlis pertunangan anda?

Awalnya saya merancang untuk mengikat tali pertunangan pada 29 November lalu. Namun, atas sebab-sebab yang tidak boleh dielakkan, kami menunda majlis ke tarikh 5 Disember. Seperti telah ditentukan, arwah pula pergi meninggalkan kita pada 30 November. Bagaimanapun, saya berasa sangat bersyukur kerana majlis pertunangan berjalan dengan lancar.

Bagaimanakah perasaan anda selepas hampir seminggu Yus meninggal dunia?

Jika sesetengah orang beranggapan bahawa rasa sedih akan hilang mengikut peredaran masa tetapi saya semakin sebak apabila memikirkan hidup tanpa kehadiran Yus pada masa depan. Apabila melihat pentas persembahan, saya pasti akan teringatkan arwah. Banyak perkara tentang Yus yang turut melibatkan saya. Namun, hidup perlu diteruskan dan mungkin dia turut berasa bangga kerana saya bertunang atas nasihatnya.

Adakah anda memilih untuk tidak menghebahkan berita pertunangan anda kerana mahu menghormati pemergian Yus?

Sebenarnya saya bukan cuba untuk merahsiakan berita gembira ini. Cuma, saya merancang untuk memberitahu apabila sudah ada tarikh pernikahan. Maklumlah, saya pernah dikaitkan dengan pelbagai isu berkenaan wanita tidak lama dahulu. Jadi, saya mengambil langkah untuk lebih berhati-hati.

Jadi, sudahkah ada tarikh untuk melangsungkan perkahwinan?

Buat masa ini saya mengikat tali pertunangan untuk tempoh selama setahun. Namun jika ada rezeki, mungkin saya akan mendirikan rumah tangga lebih awal.

Bagaimanakah anda boleh mengenali Nadia?

Kami berkenalan sekitar empat tahun lalu menerusi Facebook. Bagi saya, Nadia merupakan seorang wanita yang sangat memahami. Tambahan pula, dia banyak memberikan sokongan terhadap karier seni saya.

Selepas ketiadaan Yus, bagaimanakah perjalanan anda dan penyanyi Misha Omar dalam program Juara Parodi?

Buat masa ini saya dan Misha masih berbincang sama ada ingin terus bertanding atau tidak. Kami akan mengadakan pengumuman mengenai status kumpulan Kobis Pedas dalam masa terdekat.

- Tauke rasa ralat

SHARING GOOD

0 Comment to "Tauke rasa ralat"

Post a Comment