NAMA Wan Sharmila bukan asing di kalangan peminat seni tempatan.
Meski pun sejak kebelakangan ini wajahnya kurang muncul di layar skrin, namun itu bukan bermakna pelakon berusia 34 tahun ini telah dilupakan.
Ini terbukti apabila dirinya kembali menjadi tumpuan selepas muncul menerusi drama bersiri popular Tuan Anas Mikael baru-baru ini.
Walau pun sekadar memegang watak sampingan, namun pelakon kecil molek ini berjaya merealisasikan wataknya sebagai Cik Kay dengan begitu baik sekali.
Kerana penangan Cik Kay juga, Wan Sharmila atau lebih mesra di sapa Lala ini kembali bersinar dan mewarnai dunia hiburan tanah air.
Berkongsi perasaannya kembali menjadi perhatian selepas menyepi seketika, akui Lala, dia sebenarnya terkejut kerana respons yang diberikan penonton drama bersiri tersebut sungguh luar biasa.
"Mungkin kerana rindukan kemunculan saya, mereka tidak melepaskan peluang menonton drama tersebut.
"Saya sendiri tidak sangka penampilan sebagai Cik Kay mendapat pujian ramai," katanya.
Tambah pelakon yang pernah popular menerusi drama bersiri Tari Tirana ini, dia sangat bersyukur kerana dia masih mempunyai tempat dalam industri ini.
"Alhamdulillah, selepas menjadi Cik Kay, rezeki saya semakin banyak.
"Walau pun pada awalnya, saya keberatan menerima watak tersebut tetapi ianya membuahkan hasil.
"Lagi pun, siapa sangka watak PA yang selama ini tidak penting, menjadi sangat penting dalam drama bersiri itu," katanya.
Anak jati Johor Bahru ini juga memberitahu, kerana drama bersiri tersebut, kerjaya kembali meriah kini.
"Drama ini telah membuatkan saya rasa seperti di era kegemilangan saya dahulu.
"Ruang yang dimiliki ini membuatkan saya kembali bersemangat untuk bertahan sebagai anak seni," katanya.
Di tanya apakah dia tidak berkecil hati kerana sering memainkan peranan sampingan, jelasnya, dia tidak pernah berkecil hati.
"Apa yang saya lihat, biar pun sekadar menjadi pelakon sampingan, tetapi watak saya tetap menonjol.
"Seperti menerusi Tuan Anas Mikael, populariti Cik Kay sangat menjadi-jadi. Bagi saya, ia tanggungjawab sendiri untuk memastikan watak tersebut hebat di mata penonton meski pun wataknya tidak sebesar mana," katanya.
Selain itu, kata Lala, dia juga bersyukur kerana muka-muka baharu yang ada kini tidak menutup rezekinya.
"Apabila ditawarkan berlakon dalam drama tersebut, saya tidak percaya. Saya fikir, betul kah mereka masih memerlukan saya?
"Walhal masih banyak muka baharu di luar sana. Tetapi, mungkin sudah rezeki, saya memiliki watak tersebut dan seperti sebelum-sebelum ini, apa sahaja karakter yang diberikan kepada saya, akan dijayakan sebaiknya," katanya.
Tambahnya, dia juga gembira kerana kepercayaan penerbit dan pengarah masih ada kepadanya sehingga kini.
"Mungkin saya hilang seketika, tetapi bukan kerana merajuk tetapi penglibatan saya hanya menerusi drama atau slot yang biasa-biasa.
"Sebenarnya, saya tidak pernah hilang, tetapi untuk mendapat populariti seperti Tuan Anas Mikael, agak sukar," katanya.
Gosip kahwin
Tidak hanya tertumpu kepada kisah kariernya, sebaliknya sisi peribadi pelakon ini terus menjadi tumpuan segelintir pihak.
Berkongsi hal itu, kata Lala, dia sebenarnya terkejut kerana ada segelintir pihak yang suka menimbulkan cerita tidak benar mengenai dirinya.
"Baru-baru ini kisah saya bakal berkahwin telah dihebahkan. Sedangkan saya sendiri tidak tahu menahu mengenai perkara itu.
"Ada yang kata saya akan berkahwin September lalu, tetapi lihatlah, sehingga kini saya masih 'single'.
"Saya tidak kisah jika kisah peribadi saya disebarkan, tetapi biarlah ianya kisah benar bukan diada-adakan," katanya.
Kerana gosip kahwin itu juga, karier pelakon Dendam Maya ini agak terjejas.
"Mereka bimbang mahu mengambil saya bekerja kerana risau saya sibuk dengan persiapan kahwin.
"Perkara ini agak mengganggu saya kerana sedikit sebanyak menjejaskan punca rezeki saya.
"Saya harap, selepas ini tidak lagi cerita sebegitu akan timbul," katanya.
Selain itu, Wan Sharmila bakal muncul di slot akasia menerusi drama bersiri Cinta Si Wedding Planner tidak lama lagi.
0 Comment to "Wan Sharmila kembali jadi sebutan"
Post a Comment