Friday, 12 February 2016

Bakal Bergelar Doktor, Hanie Soraya Dijadikan Idola


Penyanyi yang popular menerusi lagu Rasa Sayang iaitu Hanie Soraya terharu apabila ramai peminat menjadikannya idola untuk berjaya memandangkan kini dia sedang melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Mansourah, Mesir.

Hanie, 22, berkata, atas dasar itu dia terbuka untuk berkongsi pengalaman peribadi dan aktiviti harian sebagai penuntut perubatan menerusi laman sosial miliknya agar ia dapat memberi inspirasi untuk mereka berjaya dalam pelajaran.

"Kedudukan saya sebagai seorang penyanyi dan juga penuntut pengajian perubatan menarik minat mereka untuk lebih mendekati saya tidak hanya menyukai lagu-lagu saya.


Hanie Soraya

"Saya terharu apabila ada peminat yang meninggalkan komen bahawa mereka menjadikan saya sebagai inspirasi dan idola untuk berjaya dalam pelajaran.

"Saya anggap ia perkara positif dan menjadi tanggungjawab saya juga untuk memberi sesuatu kembali kepada mereka dalam bentuk perkongsian pengalaman dan cacatan harian yang mampu memberikan mereka inspirasi untuk berjaya," katanya kepada mStar Online.

Hanie ditemui pada sidang media pelancaran single terbaharunya, Pantas di pejabat Warner Music di sini, Khamis.

Sementara itu, Hanie berkata, sebagai tanda terima kasih juga, lagu Pantas ditulisnya sendiri dengan mesej agar generasi muda memberanikan diri dalam mengejar impian mereka.

"Lirik berunsurkan nasihat itu amat mudah difahami kerana ia disampaikan secara tersurat dengan melodi segar sentuhan Faizal Tahir, Mike Chan dan Ezra Kong.

"Ia istimewa kerana ingin menyampaikan mesej positif kepada peminat dan Alhamdulillah mereka menyukainya," kata Hanie.


Dalam pada itu, Hanie berkata, walaupun jarang berada di Malaysia namun dia tetap komited terhadap karier nyanyian walaupun fokusnya kini terhadap pengajian di universiti.

Malah kata Hanie, perancangan disusun oleh syarikat rakaman yang akan membantu melancarkan perjalanan karier seninya.

"Buat masa ini saya hanya berada di Malaysia ketika cuti semester dan akan memberi fokus sepenuhnya kepada nyanyian sepanjang tempoh itu.

"Jika tidak berada di tanah air karier tetap berjalan dan lebih banyak berinteraksi dengan peminat menerusi Facebook dan Instagram," ujarnya.

Bercakap mengenai pengajiannya, Hanie berkata, dia baharu sahaja menyelesaikan semester ketujuh dan masih berbaki enam semester lagi.


Hanie Soraya ketika membuat persembahan pada pelancaran albumnya, Pantas.

Kata Hanie, apabila berada di Mesir, fokus utama adalah pelajaran dan berharap akan bergelar seorang doktor selepas selesai pengajian dalam dua tahun lagi.

"Bidang perubatan bukan mudah dan saya perlu benar-benar fokus kerana sejak kecil saya memang mahu menjadi doktor.

"Alhamdulillah pelajaran saya dalam keadaan baik namun buat masa sekarang saya sedang cuti semester selama sebulan dan akan menggunakan peluang ini untuk mengadakan persembahan dan mempromosikan lagu Pantas," jelasnya.

Tambah Hanie, selepas tamat pengajian kelak dia berharap masih dapat meneruskan karier nyanyian dan pada masa sama bergelar doktor.

"Saya tidak dapat meramalkan apa akan terjadi pada masa hadapan tetapi Insya-Allah saya mahu kedua-dua bidang ini berjalan seiringan," ujarnya lagi.

- Bakal Bergelar Doktor, Hanie Soraya Dijadikan Idola

SHARING GOOD

0 Comment to "Bakal Bergelar Doktor, Hanie Soraya Dijadikan Idola"

Post a Comment