BOB kini giat mempromosi single terbaharunya, Jangan-Jangan dan menjelajah ke beberapa negeri mengadakan uji bakat mencari peserta Worldstar Road to Hollywood.
AGAK lama bintang program realiti Akademi Fantasia musim kedua (AF2), Bob yang terkenal dengan tagline ‘mesra’ sebagai pengenalan diri sunyi tanpa khabar.
Pemilik nama lengkap Yusrizan Usop, 35, yang popular dengan lagu Cinta Terhalang itu juga dikatakan sudah hilang populariti. Lagu-lagunya jarang diputarkan di corong radio, bahkan kelibatnya di kaca televisyen juga sukar kelihatan.
Sempat bertemu usai majlis pelancaran Worldstar Road To Hollywood di Kelab Darul Ehsan, Ampang baru-baru ini, anak kelahiran Bumi Kenyalang itu menjelaskan, dia masih menyanyi dan tidak pernah hilang keyakinan terhadap bidang yang memperkenalkan siapa dirinya itu.
Selain muncul dengan single terbaharu berjudul Jangan-Jangan, Bob kini bertindak sebagai juri dan tenaga pengajar yang dipilih penganjur untuk sesi uji bakat dalam mencari peserta program Worldstar Road To Hollywood yang akan berlangsung di Los Angeles, Julai nanti.
Artis Meletop!: Apa khabar Bob? Mungkin anda boleh beritahu perkembangan terkini?
BOB: Khabar baik. Alhamdulillah, saya masih sibuk dengan aktiviti seni dan mempromosi single terbaharu iaitu Jangan-Jangan ciptaan komposer Audi Mok yang sudah pun dihantar ke stesen-stesen radio tempatan.
Mungkin ramai peminat tertanya-tanya ke manakah anda menghilang selama ini?
Saya tidak menghilang ke mana-mana pun (tertawa). Walaupun tidak banyak publisiti, sebenarnya jadual saya padat dengan pelbagai program selain diundang untuk membuat persembahan dan menjayakan beberapa program sejak akhir-akhir ini.
Berbalik kepada single terbaharu, tidakkah ia agak lambat dihasilkan selepas lagu Cinta Terhalang?
Tidak dinafikan, memang lagu Jangan-Jangan mempunyai jurang masa yang lama dengan lagu Cinta Terhalang, tetapi sebelum single terbaharu tersebut dikeluarkan, saya ada mengeluarkan dan mempromosikan beberapa single lain ke stesen radio tempatan, tetapi apa yang membuatkan saya agak terkilan apabila lagu-lagu saya jarang dimainkan, bahkan ada yang langsung tidak diputarkan stesen radio. Namun, saya anggap apa yang terjadi sebagai cabaran dan pembakar semangat untuk terus bangkit dan berkarya dalam dunia seni yang sukar dijangka ini.
Boleh ceritakan sedikit mengenai komitmen anda sebagai seorang juri dan tenaga pengajar program mencari bakat baharu Worldstar Road to Hollywood?
Alhamdulillah. Saya diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab selaku juri sesi uji bakat dan jurulatih bagi program Worldstar Road to Hollywood anjuran bersama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara bagi mewakili Malaysia di World Championship of Performing Arts (WCOPA) ke-20 pada Julai nanti.
Kesibukan dalam projek berkenaan menyebabkan agak membataskan penglibatan saya dalam aktiviti seni lain. Mungkin sebab itu, ada yang menganggap saya seperti menghilang dan tiada perkembangan terbaharu dalam dunia hiburan, walhal tidak sama sekali.
Bagaimanakah anda boleh terpilih untuk terlibat sebagai juri dan tenaga pengajar bagi program tersebut?
Sebenarnya saya juga pernah menjadi peserta yang terpilih dalam program berkenaan pada 2009 untuk kategori nyanyian dan vokal. Berbekal sedikit pengalaman dan bakat yang ada, saya diberi peluang, ruang dan kepercayaan penganjur untuk menjadi juri dan tenaga pengajar edisi terbaharu pertandingan tersebut.
Bilakah sesi uji bakat akan bermula dan apakah kategori yang dipertandingkan serta siapakah yang layak menyertai program tersebut?
Sesi uji bakat akan bermula pada hujung Februari nanti di lima lokasi di Kuala Lumpur, Johor Bahru, Kedah, Sabah dan Sarawak. Kategori yang dipertandingkan sejak dari awal program berkenaan diperkenalkan merangkumi nyanyian, vokal, lakonan, peragaan dan tarian. Ia terbuka kepada semua warganegara termasuklah mereka yang bergelar penyanyi dan pelakon.
Selain sibuk dengan menjadi juri dan mempromosikan single terbaharu, apakah perancangan kerjaya anda pada masa akan datang?
Saya akan terus berkarya dan menyanyi kerana itu adalah minat dan sebahagian daripada hidup saya. Selain itu, saya salah seorang selebriti reben merah dalam program kesedaran AIDS/HIV bagi mengumpulkan dana bersama beberapa rakan artis seperti Datuk Siti Nurhaliza, Najwa Latiff, Misha Omar, Umie Aida dan beberapa selebriti terkenal lain.
0 Comment to "Bob kini juri Worldstar Road to Hollywood"
Post a Comment