Monday 1 February 2016

Ella cipta gimik


TIGA dekad mengukir nama dalam industri seni tanah air, ratu rock negara, Ella dilihat masih berbisa dan terus utuh memahat dirinya di persada ini.

Nama Ella begitu besar dalam industri muzik, malah kehadirannya boleh dianggap bagai satu fenomena kerana dia satu-satunya penyanyi wanita yang paling berpengaruh dalam muzik rock era 80-an dulu.

Ella atau nama sebenarnya, Norzila Aminuddin, 49, memulakan karier seni seawal 1985 ketika menganggotai kumpulan Ella The Boys sebelum membuat keputusan untuk bergerak solo tidak lama kemudian.

Kejayaan demi kejayaan sepanjang penglibatan dan kemampuan bertahan hingga ke saat ini membuatkan Ella terpanggil untuk memberikan sesuatu yang istimewa kepada peminat-peminat setia yang sentiasa menantikannya.

Setelah hampir 10 tahun tanpa konsert berskala besar, Ella kembali menemui peminat menerusi persembahan solonya dalam Konsert Ella 2016 pada 16 April ini di Stadium Melawati Shah Alam.

Seperti mengimbas kembali kenangan lalu, Ella yang pernah membuat kejutan apabila muncul dengan menaiki helikopter 20 tahun lalu ketika mempromosikan album Ella USA bakal mengulangi perkara sama sebagai gimik terbesar pembukaan konsert itu nanti.

“Ini bukanlah kali pertama saya tiba di lokasi persembahan dengan menaiki helikopter. Kerana ia juga seakan mengimbau kembali nostalgia ketika menjayakan persembahan mega di bandar raya sekembali daripada Amerika Syarikat sekitar pertengahan 1990-an.

“Memori manis ini bakal berulang dan saya berharap konsert yang akan diadakan itu nanti dapat berlangsung dengan sempurna,” katanya kepada Sinar Harian pada majlis sidang media Konsert Ella 2016, Rabu lalu.


Janji kelainan

Akui teruja, Ella menjanjikan kelainan bagi menghiburkan penonton yang hadir.

“Saya akan persembahkan lebih kurang 20 lagu seperti lagu-lagu hit daripada era 80-an iaitu zaman Ella & The Boys hinggalah yang terbaharu, Istimewah.

“Dalam konsert kali ini, saya akan bawa kelainan seperti pembawaan lagu secara ‘jamming’ serta berduet bersama artis undangan yang ada. Saya juga akan cuba memujuk suami untuk berduet ketika konsert itu nanti,” ujarnya sambil tertawa.

Penyanyi yang juga merupakan duta Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Selangor ini mengakui persembahannya pada kali ini berbeza kerana mengandungi mesej keprihatinan.

“Saya merasakan masalah berkaitan penyalahgunaan dadah semakin ketara saban hari. Kerana itu saya memilih untuk membantu persatuan ini selain memberi kesedaran kepada orang awam.

“Dan pada konsert itu juga nanti, saya menggalakkan peminat yang hadir untuk memakai baju berwarna putih melambangkan kesucian naluri bekas-bekas penagih dadah yang mahu kembali ke pangkal jalan,” katanya yang berbesar hati menyumbangkan RM2 daripada setiap penjualan tiket konsertnya untuk disalurkan ke Tabung Pemadam.

Konsert anjuran Atlas One Events ini juga mendapat sambutan menggalakkan apabila setakat ini hampir 2,000 tiket telah terjual.

Tiket berharga daripada RM 78 hingga RM288 itu boleh didapati di kedai outlet seperti Rock Corner, Guitar Store dan Victoria Music. Untuk tempahan atas talian peminat boleh layari laman web www.ticketpro.com.my.

- Ella cipta gimik

SHARING GOOD

0 Comment to "Ella cipta gimik"

Post a Comment