Monday 1 February 2016

Hafreez tidak gentar


LAMBAKAN artis baharu dalam industri seni tanah air pada masa kini dilihat bagai cendawan tumbuh selepas hujan.

Hampir setiap hari, wajah baharu muncul di kaca televisyen apabila sering menjadi pilihan pengarah untuk menghiasi drama mereka.

Namun, rata-rata kehadiran mereka hanya bersifat sementara kerana setelah lakonan tamat ditayangkan, nama mereka seakan-akan tenggelam dan kurang meniti di bibir pengarah.

Tetapi, ia bukan suatu perkara yang perlu dirisaukan buat pendatang baharu, Hafreez Adam Aizat Zahalan atau lebih mesra disapa Hafreez Adam.

Mula dikenali menerusi drama Hati Perempuan, Hafreez sebelum itu pernah mendapat kepercayaan pengarah melalui drama Bila Hati Berbicara.

Merasakan saingan sememangnya wujud, aktor berusia 26 tahun ini tidak pernah gentar sebaliknya percaya dengan rezeki yang ditakdirkan.

“Saya tiada masalah dengan tawaran lakonan yang adakala naik, adakala tidak. Itu semua bergantung kepada rezeki.

“Jika Tuhan sentiasa mengizinkan rezeki saya dalam industri ini, maka adalah. Jika sebaliknya, mengapa saya perlu cepat mengalah atau putus harapan. Mungkin rezeki lain juga ada. Yang penting kita usaha sebaik mungkin,” katanya.


Bagi Hafreez, isu turun naik nama seseorang itu adakalanya bergantung kepada masalah peribadi mereka.

“Tidak dinafikan, sesetengah artis hanya meningkat naik pada awal penglibatannya sahaja, tetapi mulai tenggelam kerana terlibat dengan masalah disiplin sehingga membuat pengarah hilang kepercayaan. Sebolehnya saya akan elak perkara seperti itu kerana kepercayaan mereka sangat penting.

“Tetapi, selain isu disiplin, kadangkala mereka bukan tenggelam kerana kurang populariti, tetapi sibuk dengan komitmen lain yang peminat tidak nampak di televisyen sehingga membuat orang merasakan artis tersebut sudah kurang tawaran berlakon,” katanya.

Memiliki perniagaan online sendiri yang menjual kemeja-T jenama Storge, Hafreez juga bakal menjayakan program Mega Bazaar Hijra 2016, di Kuala Lumpur, pada 13 hingga 14 Februari ini.

“Saya akan bersama 154 usahawan online lain memasarkan produk masing-masing. Inilah peluang untuk kami memajukan perniagaan," katanya yang turut menjalani pementasan teater Zombi La La La yang akan dipentaskan Februari ini.

- Hafreez tidak gentar

SHARING GOOD

0 Comment to "Hafreez tidak gentar"

Post a Comment