Wednesday 3 February 2016

Maya Karin cuba hip-hop, rock


SEPANJANG 15 tahun Maya Karin menjadi pelakon, banyak perkara tentang bidang seni telah lumat dihadam olehnya. Berikan apa sahaja watak atau karakter, prestasi wanita kelahiran Bayreuth, Bavaria, Jerman itu di layar lebar tidak pernah gagal menyihir penonton untuk terus melekat duduk di kerusi panggung.

Mula dipandang serius selepas berjaya membawa pulang anugerah Aktres Terbaik menerusi filem Pontianak Harum Sundal Malam pada Festival Filem Asia Pasifik ke-49, Maya atau nama lengkapnya, Maya Karin Roelcke dilihat terus mengukuhkan empayar seninya sebagai pelakon sehingga ke hari ini.

Begitupun, di sebalik rangkaian pengiktirafan yang diterima, masih ada satu hal yang kerap menjentik ruang selesa Maya sebagai seorang pelaku seni. Penghibur berusia 36 tahun itu masih gementar setiap kali diminta untuk berdiri di atas pentas dan melantunkan suaranya sebagai seorang penyanyi.

“Rasa gugup itu masih ada, terutama apabila saya perlu menyanyi di hadapan khalayak menerusi persembahan terbuka.

“Bukan mudah untuk mengikis perasaan tersebut, lebih-lebih lagi apabila saya pernah berehat daripada dunia nyanyian selama sembilan tahun bagi memberi fokus terhadap bidang lakonan.

“Namun seperti mana saya bertatih dalam bidang lakonan suatu ketika dahulu, perkara yang sama turut dilakukan untuk memantapkan karier nyanyian saya,” ujar Maya yang ditemui pada majlis pelancaran album penyanyi rap Juzzthin, Class In Session di Warner Music Malaysia, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.



MAYA lebih selesa menyanyi dengan bantuan band kerana dapat berinteraksi dengan lebih dekat bersama peminat.

Band

Pernah mewarnai dunia seni suara pada tahun 2001 menerusi album debut Erti Cinta, Maya mengambil keputusan untuk ‘lari’ sebentar daripada dunia nyanyian selepas album keduanya, Bukan Qalamaya diterbitkan dua tahun kemudian.

Sehingga sekitar tahun 2014, Maya kembali aktif sebagai penyanyi selepas diterima untuk bernaung di bawah syarikat rakaman Warner Music Malaysia dan melahirkan album studio ketiganya, Teka-Teki.

Kongsi Maya, pihak Warner Music Malaysia banyak membantunya dalam memperbaiki mutu persembahan, khususnya sewaktu menyanyi secara langsung.

“Sejak penghujung tahun lalu, pihak Warner telah menyediakan band iringan setiap kali saya dijemput untuk melakukan persembahan pentas.

“Sedikit sebanyak, saya dapat membuang perasaan gugup dan mampu memberikan persembahan yang lebih baik kepada penonton,” katanya.

Kongsi Maya, penerimaan peminat terhadap kolaborasi pentasnya bersama band sangat menggalakkan. Secara peribadi, dia juga lebih menikmati persembahan dengan cara sedemikian berbanding menggunakan muzik minus one.

“Jika menggunakan minus one, khalayak akan cepat bosan kerana cara nyanyian saya yang hampir sama.

“Namun apabila melakukan persembahan bersama band, saya dapat mengawal penonton sekali gus memberi dimensi berbeza terhadap setiap persembahan pentas yang dijayakan,” ujar Maya yang kini sedang sibuk mengikuti persembahan jelajah radio Hot FM Hond Tour di seluruh Malaysia.

Ditanya adakah berkemungkinan suatu hari nanti dia bakal berkolaborasi bersama band tersebut secara rasmi, tutur Maya: “Buat masa ini, saya dan band hanya terlibat untuk persembahan pentas sahaja.

“Menggabungkan kami dalam sebuah album merupakan satu idea yang menarik, mana tahu ia akan menjadi kenyataan kelak.”


ELLA: Mahu menguji kemampuannya menyanyikan lagu berentak rock, Maya kerap membawakan lagu ratu rock negara, Ella setiap kali membuat persembahan pentas. Lagu kegemarannya adalah Rama-Rama

Rock

Bercakap mengenai perancangan karier muziknya, Maya berkata, pihak syarikat rakaman sudah mula bertanyakan tentang hala tuju untuk album keempatnya.

Menurut Maya, dia masih belum memutuskan konsep yang ingin diketengahkan, tetapi tidak mustahil menerapkan elemen rock dalam lagu-lagunya pada masa akan datang.

“Memang betul, saya masih belum puas dengan album Teka-Teki. Tetapi, saya sudah diminta oleh syarikat rakaman untuk memberi input bagi pembikinan album akan datang.

“Buat masa ini, saya banyak mendengar lagu-lagu yang dinyanyikan oleh Ella dan Elyana. Jika diberi peluang, mungkin genre rock daripada kedua-dua penyanyi itu akan saya suntik dalam album akan datang.

“Bagaimanapun, pemilihan konsep muzik yang betul harus dilakukan secara teliti agar selera pendengar selari dengan keselesaan saya sewaktu menyanyi,” jelasnya yang gemar membawakan lagu Zombie nyanyian asal kumpulan Cranberries setiap kali membuat persembahan.


KOLABORASI: Maya melihat kolaborasinya bersama Juzzthin sebagai satu percubaan yang baharu dan segar.

Serik

Sementara masih meneliti dan mencari konsep baharu buat album keempatnya, Maya mengisi masa senggang yang ada dengan berkolaborasi bersama Juzzthin menerusi single Serik Dengan Cinta.

Bercerita mengenai penglibatannya dalam lagu ciptaan DJ Fuzz itu, Maya berkata, dia berjaya menyudahkan proses rakaman vokal di studio hanya dalam masa satu jam setengah sahaja.

“Melodi, lirik dan bahagian rap Juzzthin sudah tersedia dan saya hanya datang ke studio dan merakamkan vokal pada bahagian korus.

“Ia merupakan pengalaman yang agak berbeza memandangkan ini lagu berentak hip-hop pertama nyanyian saya,” ujar Maya.

Melihat pada tajuknya, mungkin ada yang berpendapat bahawa penyanyi itu seperti serik untuk kembali mengulit cinta. Bagaimanapun, Maya yang pernah bernikah dengan Steven David Shorthose pada tahun 2008 dan berpisah dua tahun kemudian menganggap ia sebagai satu kebetulan sahaja.

“Lagu ini tiada kena- mengena dengan kisah peribadi saya.

“Tetapi, tajuk lagu tersebut menjadi gurauan kami dengan penonton setiap kali membuat persembahan,” ujarnya lagi.

Kos sara hidup

Baru-baru ini, menerusi akaun Twitternya, Maya meluahkan rasa kurang senang dengan harga tambang bas di Malaysia yang semakin mahal.

Menerusi kemas kini statusnya itu, Maya berkata, disebabkan tambang yang semakin mahal, perkhidmatan bas awam tidak lagi serancak dahulu.

Mengakui Twitter merupakan medium terbaik untuk menyuarakan pendapat, Maya menjelaskan, statusnya itu tidak ditujukan pada mana-mana pihak. Tetapi, ia adalah maklum balas yang telus dari dirinya sendiri.

“Kebanyakan kawan baik saya adalah individu biasa. Mereka terdiri daripada golongan yang berpendapatan sederhana.

“Secara tidak langsung, saya turut merasai apa yang mereka rasa. Terutamanya apabila mendengar kisah jiran tetangga yang terkesan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Saya mungkin seorang yang dikenali. Tetapi, saya anggap, bidang lakonan hanyalah sebagai kerja sahaja. Selebihnya, saya masih seperti individu biasa,” jelas Maya.

Mengakui dirinya seorang yang gemar berjimat-cermat, Maya berkata, dia cuba mengelak untuk melakukan perbelanjaan secara berlebihan agar hari tuanya kelak tidak berdepan dengan sebarang kesusahan.

“Tas tangan, baju dan kasut berjenama hanyalah bersifat sementara. Apa yang penting persediaan kita untuk melalui hari tua,” katanya yang kini sedang sibuk menguruskan projek pembinaan bangunan pejabat sulungnya yang terletak di Sungai Buloh, Selangor.

- Maya Karin cuba hip-hop, rock

SHARING GOOD

0 Comment to "Maya Karin cuba hip-hop, rock"

Post a Comment