SEJAK kemunculan pertamanya dalam X-Men Origins: Wolverine pada 2009, karakter Deadpool sememangnya dinanti-nantikan.
Biarpun kemunculan pertamanya agak menyimpang dari watak Deadpool yang sering dipaparkan di dalam komik, namun tatkala filem ini memulakan penggambaran di Vancouver, Kanada pada 23 Mac 2015, peminat karakter ini mula melahirkan rasa keterujaan untuk menyaksikan filem yang dilakonkan oleh Ryan Reynolds ini.
Filem yang diarahkan Tim Miller ini turut dijayakan Morena Baccarin, Ed Skrein, T J Miller, Gina Carano dan Brianna Hildebrand.
Seimbas lalu mengenai Deadpool, atau nama sebenarnya Wade Winston Wilson adalah salah satu karakter yang dicipta oleh Marvel Universe.
Bagaimanapun berbeza dengan karakter Marvel yang lain, Deadpool tergolongan dalam kategori antihero.
Karakter Deadpool diperkenalkan pada 1991 dan dicipta oleh Fabian Nicieza dan Rob Liefeld.
Pada awalnya kemunculannya, Deadpool dicipta sebagai supervillian, namun ia kemudiannya diubah kepada antihero.
Secara ringkasnya filem ini mengisahkan tentang bekas pasukan khas, Wade Winston yang menghidap kanser.
Dalam usaha menyembuhkan kanser yang dihidapinya, Wade menjadi bahan uji kaji yang mengakibatkan kecacatan pada kulitnya, keupayaan menyembuhkan diri dengan cepat dan memiliki sisi jenaka yang pelik, sama seperti Wolverine.
Wade dengan keupayaan dan identiti baharunya mengambil tindakan mencari dan menghukum pihak bertanggungjawab yang hampir memusnahkan hidupnya.
Dia juga dikenali sebagai Merc with a Mouth (Pembunuh Upah Mulut Tempayan) kerana karekternya yang tidak henti bercakap; juga menjadi sebab dia diminati di kalangan penggemar komik Marvel.
Miller dalam satu temubual sebelum ini mendedahkan, karakter Deadpool akan menjadi sebuah filem yang berbeza daripada karakter filem adiwira sedia ada.
“Ia tidak sama dengan filem adiwira lain di mana heronya tampil dengan tubuh badan yang kekar.
“Pada saya melihat posternya sahaja sudah cukup menterjemahkan bagaimana karakter Deadpool.
“Ia mampu menjadi apa sahaja yang anda tidak mungkin fikirkan,” katanya.
Ditanya pemilihan Reynolds sebagai watak utama, Miller dengan berseloroh berkata, tidak ada sesiapa lagi yang mampu membawakan karakter gila seperti yang dijayakan aktor itu.
“Ada sesuatu dalam diri Reynolds yang buatkan kami mahu dia terus memegang karatker tersebut setelah kali pertama muncul pada 2009. Saya harap karakternya kali ini disukai penonton,” katanya.
Reynolds teruja
Dalam pada itu, suami kepada Blake Lively ini melahirkan rasa keterujaannya kerana berpeluang membawakan watak Deadpool.
Aktor 39 tahun ini kali terakhir muncul dengan watak superhero menerusi filem Green Lantern pada 2011.
“Saya menunggu 10 tahun membuat filem ini (Deadpool). Apabila mereka memaklumkan kepada saya bahawa Deadpool akan difilemkan, saya berasa sangat teruja.
“Dek kerana keterujaan itu jugalah, saya ‘melarikan’ satu sut Deadpool untuk koleksi peribadi saya (ketawa),” katanya.
Reynolds berkata, dia sudah membuat sehabis baik dalam membawakan watak itu, biarpun lakonannya nanti mungkin akan dikritik.
“Pada saya bukan saya sahaja, tetapi seluruh kru termasuk pengarah sudah melakukan yang terbaik.
“Sekiranya anda menonton filem ini, anda pasti tidak akan percaya filem ini dibuat dengan kos AS$150 juta kerana hasilnya tampak lebih mahal daripada itu.
“Namun ada yang lebih mahal yang kami selitkan di dalam filem ini. Ia adalah kesungguhan untuk menghiburkan penonton,” katanya.
Pemilihan Brianna bersebab
Dalam pada itu, bercerita mengenai pemilihan Brianna Hildebrand untuk karakter Negasonic Teenage Warhead, Miller berkata, faktor pemilihan gadis berusia 19 tahun itu adalah kerana dia masih baru di dalam industri seni.
Negasonic Teenage Warhead adalah karakter yang menggunakan kuasa mutan dalam melawan musuh-musuhnya.
“Sejujurnya kali pertama mendengar namanya saya sudah jatuh cinta (ketawa). Tapi dia punya kekuatan tersendiri biarpun tidak dikenali.
“Dan apabila dia memasuki set penggambaran dan membawakan wataknya, saya tahu pemilihan saya tidak silap kerana Brianna ada ‘sesuatu’ yang istimewa di dalam dirinya untuk membawakan watak tersebut,” jelasnya.
Larangan tayangan di China
Di sebalik keterujaan peminat untuk menonton filem ini, peminat di China bagaimanapun terpaksa melupakan hasrat menontonnya apabila Kerjaan China mengharamkan penayangan Deadpool.
Alasan utama pengharaman filem berkenaan adalah disebabkan ia menampilkan aksi ganas, bahasa kurang sopan dan juga babak kurang sopan (bogel).
Bahkan di Malaysia sendiri, filem ini diklasifikasikan untuk tontonan 18 iaitu hanya untuk mereka yang berusia 18 tahun ke atas. Manakala di di Amerika Syarikat, filem ini termasuk dalam kategori ‘R’ iaitu mereka yang berusia bawah 17 tahun perlu ditemani orang dewasa.
Atas pengharaman tayangan Deadpool di China, Reynolds melahirkan rasa kesal dan beranggapan kerajaan negara tersebut tidak berlaku adil.
“Dunia kini dipenuhi rasa takut, tapi adakala seseorang harus berdiri.
“Sejujurnya saya benci dengan perkara seperti ini (pengharaman tayangan). Saya suka China dan saya ingin orang di China menonton filem ini. Namun ia nampaknya tidak akan direalisasikan,” katanya dalam satu temubual.
0 Comment to "Pembikinan Deadpool dapat perhatian"
Post a Comment