Tuesday 2 February 2016

Pencapaian RM50 juta Neelofa


Wanita genit ini baru berusia 26 tahun. Namun, jauh meninggalkan sekadar angka usianya yang disifatkan masih muda, Neelofa sudah terbang tinggi di angkasa dengan empayar perniagaan tudung yang dibinanya pada tahun lalu. Menerusi jenama Naelofar Hijab, bisnes tersebut dicatatkan memiliki keuntungan sebanyak RM50 juta pada tahun lalu. Fakta itu didedahkan oleh BBC News pada Disember 2015.

Untuk seorang peniaga amatur seperti Neelofa, mengaut untung bersih dalam tempoh setahun dengan nilai RM50 juta adalah satu pencapaian yang cukup luar biasa. Malah, angka puluhan juta yang diperolehinya itu meletakkan dia dalam golongan jutawan.

Neelofa atau dipanggil Lofa hanya tersenyum dan cuba mengelak dengan sopan saat digelar jutawan. Bagi pelakon dan hos tersebut, dia mengambil gelaran jutawan yang diberikan masyarakat kepadanya sebagai satu doa untuk menjadikan dia insan yang lebih berjaya dari semasa ke semasa.

“Alhamdulillah, apa yang boleh saya katakan ia berpunca hasil kerja titik peluh saya dan keluarga. Ia takkan berlaku hanya jika saya seorang yang melakukannya.

“Pada masa yang sama, saya ingin bisnes ini terus berkembang dan kukuh sehingga berjaya menembus pasaran antarabangsa. Saya yakin dengan sokongan pelbagai pihak, Naelofar Hijab akan terus berkembang sebagai jenama yang menjadi fenomena di dalam dan luar negara,” ujarnya dalam nada penuh yakin.

Dalam teruja dihimpit kejayaan kiri dan kanan, dengan rasa rendah diri, Lofa berharap kejayaan dan status jutawan tidak mengubah siapa dirinya sebelum berada pada tahap sekarang.

“Ia (berita tersebut) ada baik, ada buruknya juga. Tetapi bagi saya tiada apa yang hendak disembunyikan. Ia bagus untuk membuktikan kepada dunia bahawa tiada yang mustahil dalam hidup jika tidak berputus asa.

Biarpun banyak pihak yang kagum dengan pencapaiannya, ada juga segelintir pihak yang berasa Lofa tidak perlu mencanang kisah kekayaannya.

“Apapun, saya harapkan dengan kejayaan yang dipinjamkan Tuhan hari ini tidak membuatkan diri alpa tentang siapa saya sebelum ini. Saya masih Neelofa yang sama pernah kalian kenal sejak enam tahun lalu,” getusnya merendah diri.



Sewaktu mengikuti kursus pendek penjenamaan dan pemasaran di New York, Neelofa terserempak dengan pelakon terkenal Hollywood, Julianne Moore ketika sedang menikmati makan malam di sebuah restoran Itali. Selain itu, dia turut diberi tempat duduk barisan hadapan pada konsert Mariah Carey di The Beacon Theatre.

Lofa turut berkongsi kisah yang memercik kebahagiaan di benak hatinya dek kejayaan jenama Naelofar. Ceritanya, ia melibatkan seorang pelajar muda di Johor yang menjadi stokis tudung jenamanya itu.

“Saya seronok apabila mendengar kisah kejayaan stokis yang menjalankan perniagaan tudung Naelofar Hijab. Terdapat seorang pelajar wanita di Johor yang berjaya mencecah jualan sebanyak lebih RM1 juta dalam jangka masa setahun.

“Pada usia yang sangat muda dan masih lagi menuntut ilmu, tapi dia telah berjaya mencapai sesuatu yang mustahil untuk dicapai,” kongsinya yang sedang dalam perancangan untuk menghasilkan wangian jenamanya sendiri.

Keluar daripada lingkaran dunia perniagaannya yang begitu sukses, pemilik nama sebenar Noor Neelofa Mohd.Noor itu diajak bercerita tentang perjalanan kariernya.

Tidak lagi mahu terlalu hanyut dalama arus deras dunia hiburan, wanita berwawasan tinggi kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini lebih memberi prioriti soal kelangsungan hidupnya sebagai seorang wanita berjaya yang telah dicerminkan dengan penuh bergaya melalui kejayaannya dalam bidang perniagaan.

Walaupun kelibatnya dalam bidang lakonan tidak lagi selincah dulu, dia tetap berpendapat bahawa bidang seni masih mempunyai ruang istimewa dalam hidupnya. Katanya, lakonan tetap menjadi wadah signifikan yang berjaya memperkenalkan namanya sebagai selebriti.

“Saya akui agak selektif apabila melibatkan tawaran berlakon. Saya akan berlakon jika watak yang diberikan sesuai dengan imej sebagai wanita muslim bertudung.

“Walaupun kurang menghiasi kaca televisyen mahupun layar perak sebagai pelakon, saya tetap berada dalam industri sebagai seorang pengacara,” katanya ketika ditemui media pada sidang akhbar Anugerah MeleTOP Era 2016 (AME2016) baru-baru ini.

Bagaimanapun, rasa rindunya terhadap bidang lakonan tidak boleh dinafikan apabila Lofa memberitahu akan berlakon dalam sebuah telemovie tidak lama lagi.

“Selepas sebulan berada di negara orang (New York) untuk menimba ilmu, sudah tiba masanya buat saya untuk kembali memeriahkan industri hiburan tanah air. Saya akan mengacarakan AME2016 pada hujung bulan ini dan selepas itu akan menjalani penggambaran untuk sebuah telemovie,” kongsinya.


Membuktikan selebriti juga mempunyai asas pendidikan yang kuat, Lofa memperoleh keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang cemerlang iaitu 10A pada tahun 2006.

Peluang

Bercerita lanjut mengenai pengalamannya selama sebulan mengikuti kursus jangka pendek di New York, Amerika Syarikat, Lofa menyifatkan apa yang dilaluinya di sana membuka satu lembaran pemikiran baharu yang mengubah persepsinya tentang banyak perkara.

Pelakon filem Pilot Cafe itu berkelana di sana atas urusan untuk menimba ilmu dalam bidang pemasaran dan penjenamaan secara persendirian. Di sana, Lofa dilatih oleh beberapa tutor berkaliber yang banyak membantu memberi latihan kepada ahli politik dan juga selebriti antarabangsa yang terlibat dalam majlis berprestij seperti Golden Globe Awards dan Academy Awards.

“Alhamdulillah, saya ambil kursus pendek yang lebih memberi fokus kepada ilmu bisnes yang cukup berkesan kepada saya,” katanya.

Ilmu yang diperoleh kata Lofa akan digunakan sebaiknya untuk memantapkan bisnesnya yang semakin berkembang baik.

Sementara itu, dia yang bakal mengacarakan acara popular, AME2016 pada 28 Februari ini, Lofa tidak terkilan hanya kerana tidak tercalon tetapi bersyukur diberi penghormatan untuk mengemudi anugerah tersebut.

Tambahnya lagi, usai menuntut ilmu di New York, pemegang Ijazah Sarjana Muda Perdagangan Antarabangsa & Pemasaran Sunway University College itu menyatakan dia akan lebih bersifat ‘lebih berani’ tahun ini bagi merancakkan kerjaya seninya.

“Tahun lepas saya dikritik kerana fesyen yang tidak menepati cita rasa peminat. Untuk tahun ini dan tahun berikutnya, saya akan bersifat lebih berani.

“Maksud saya berani adalah dalam konteks gaya percakapan dan pengacaraan bukan dari segi pakaian. Saya tidak kisah dikritik, itu adalah hak mereka (peminat),” ujarnya

Sambung Lofa juga, sebuah buku berkonsepkan motivasi meliputi jurnal kehidupan dan prinsip hidupnya akan dilancarkan sekitar bulan Mei atau April depan.

“Ia bukan buku biografi, tetapi ada memuatkan pengalaman sebenar hidup saya sehingga berjaya membina nama sebagai anak seni, pelajar dan usahawan dalam satu masa,” ujarnya menutup bicara.

- Pencapaian RM50 juta Neelofa

SHARING GOOD

0 Comment to "Pencapaian RM50 juta Neelofa"

Post a Comment