Wednesday, 10 February 2016

Pencuri Hati Taruhan kedua Ayda Jebat


SELEPAS kejayaan single pertamanya, Siapa Diriku yang baru-baru ini layak ke Separuh Akhir Muzik Muzik 30 selain mendapat putaran tinggi menerusi radio tempatan, kini Ayda Jebat muncul dengan single terbarunya berjudul Pencuri Hati.

Single kedua yang juga merupakan runut bunyi drama bersiri Isteri Vs Tunang itu adalah merupakan hasil tulisan Ayda sendiri bersama komposer Kevin Chin.

Bercerita mengenai lagu baharu itu, Ayda memberitahu ia memiliki kelebihan tersendiri berbanding single pertamanya.

“Sebenarnya lagu ini telah disimpan oleh Kevin sejak lima tahun lalu.

“Kali pertama mendengar melodinya memang ‘old school’ dan menarik perhatian saya.

“Tapi beberapa susunan lagu ini telah diubah dan pada masa sama elemen dangdut itu dikekalkan.

“Itulah keistimewaan single kali ini,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Pencuri Hati, baru-baru ini.

Sebagai penulis lirik dan penyanyi lagu itu, Ayda akui rugi sekiranya dia tidak menyumbang beberapa idea untuk menjadikan lagu tersebut lebih menarik.

“Sebenarnya dalam apa jua kerja yang saya lakukan, saya tidak mahu menyerahkan bulat-bulat kepada orang lain untuk menguruskannya.

“Lagi pun saya yang menyanyi dan menulis lirik, jadi rugi kalau saya tidak ambil kesempatan ini keluarkan idea,” katanya.


Serahkan pada pendengar

Ditanya sama ada Pencuri Hati mampu menandingi Siapa Diriku, Ayda bagaimanapun menyerahkannya kepada pendengar.

“Saya sebenarnya tidak letak harapan tinggi. Lagi pun semua perkara yang kita buat sebenarnya dilakukan dengan sehabis baik sama jugalah dengan penghasilan lagu ini. Saya harap ia dapat diterima,” katanya.

Sementara itu, Ayda akui tidak kisah jika ada pihak yang mengatakan lagunya popular kerana dijadikan runut bunyi drama bersiri.

“Sebenarnya lagu ini tidak dirancang untuk dijadikan OST pada awalnya. Secara kebetulan Micheal Ang minta lagu untuk drama yang diarahkannya.

“Saya gembira kerana diberi kepercayaan. Lagu ini bukannya dipilih kerana populariti, tapi kerana kualitinya.

“Ia bukan strategi tapi ia rezeki. Saya tidak kisah kalau ada yang kata lagu ini popular kerana OST,” katanya.

- Pencuri Hati Taruhan kedua Ayda Jebat

SHARING GOOD

0 Comment to "Pencuri Hati Taruhan kedua Ayda Jebat"

Post a Comment