Saturday, 27 February 2016

Penelope Cruz bukan hanya tempelan


GARA-GARA menonton filem Tie Me Up! Tie Me Down!, wanita kelahiran Sepanyol, Penelope Cruz menaruh impian untuk menjadi bintang filem.

Bahkan, filem arahan Pedro Almodóvar itu juga menyebabkan aktres berusia 41 tahun ini terpaksa berbohong.

"Waktu itu umur saya baru 13 tahun. Tapi untuk menonton filem itu di pawagam, saya terpaksa berbohong dengan mengaku berusia 17 tahun. Selepas menonton filem itu, saya terus nekad menjadi pelakon," katanya.

Kini, bukan saja menjadi aktres, tapi Cruz sudah berlakon dalam filem arahan Almodovar dan pengarah-pengarah terkenal yang lain seperti Jamon dan Los Abrazos Rotos.

Demi meluaskan lagi karier seninya, Cruz kemudiannya mengambil keputusan berpindah ke Amerika Syarikat.

Ternyata keputusan itu tepat sekali. Buktinya, nama jelitawan ini semakin harum di Hollywood menerusi beberapa filem pecah panggung seperti All The Pretty Horses (2000), Captain Corelli’s Mandolin (2000), Vanilla Sky (2001) dan Blow (2001).

Sejak itu, pemilik nama penuh Penelope Cruz Sanchez ini kerap berlakon filem dalam pelbagai genre Waking Up in Reno (2002), Gothika (2003), Noel (2004), Sahara (2005), Volver (2006), Nine (2009) Sex and The City 2 (2010), Pirates of the Caribbean: On Stranger Tides (2011), To Rome with Love (2012), I’m So Excited! (2013) dan The Counselor (2013).

Pada masa sama, Cruz juga mengakui akan bersungguh-sungguh mengkaji setiap karakter yang bakal dibawanya.

Bahkan, bagi watak filem Woman On Top (2000) dan Volver (2006), Cruz mengaku mengambil kursus memasak.

"Saya cuma boleh memasak beberapa makanan Sepanyol. Tapi saya perlu tampil seolah-olah saya pandai memasak dalam filem," katanya yang membawa karakter sebagai tukang masak Brazil dan pemilik restoran dalam dua filem berkenaan.

Malah, Cruz turut melakar sejarahnya tersendiri apabila menjadi aktres Sepanyol pertama menerima Anugerah Akademi pada 2008 menerusi wataknya, María Elena dalam filem Vicky Cristina Barcelona.

Tidak hanya itu, ibu kepada dua anak ini juga adalah aktres pertama Sepanyol dan selebriti yang ke-2436 dianugerahkan Hollywood Walk of Fame di Los Angeles.


Jadi pengarah, penerbit?

Selepas filem The Counselor yang ditayangkan pada 2013, Cruz dilihat sangat jarang tampil di depan kamera.

Pada masa sama, isteri kepada aktor, Javier Bardem ini dilaporkan hamil anak keduanya.

Pun begitu, Cruz tidak betah duduk diam, sebaliknya mengakui mempunyai ‘cinta’ baru dalam industri hiburan iaitu pengarah.

Berhasrat mengembangkan lagi bakatnya dalam bidang perfileman, Cruz menyimpan cita-cita untuk berjaya di belakang tabir.

"Saya ingin mencuba sesuatu yang boleh menjamin masa depan saya di dunia perfileman. Ya, saya sedang melakukannya. Mungkin ia adalah kerjaya saya untuk tempoh 10 tahun akan datang," katanya.

Bahkan, pelakon jelita ini mengakui peranan baharunya sebagai pengarah dan penerbit.

"Saya sukakannya. Ini adalah cara terbaik untuk saya terus belajar. Saya bermula secara perlahan-lahan dan mengikut langkah demi langkah," katanya.

Buat kali pertama, Cruz mengarahkan filem Sepanyol, Ma Ma di samping Julio Medem yang ditayangkan pada tahun lalu.

Filem itu menjadi titik kemunculan semula Cruz dalam bidang lakonan selepas cuti berehat kerana melahirkan anak keduanya, Luna Encinas Cruz.

Tidak hanya menjadi pengarah dan penerbit, Cruz turut berlakon dalam filem itu di samping Luis Tosar, Asier Etxeandia dan Àlex Brendemühl.

Pengalaman baharu

Dalam perkembangan lain, Cruz akan bakal menjadi Melanie Valentina dalam filem terbarunya, Zoolander 2.

Selain Cruz, filem komedi arahan pelakon dan pelawak, Ben Stiller itu turut mengekalkan aktes cantik Mila Jovovich yang berperanan sebagai Katinka Ingabogovinanana.

Lebih menarik, filem itu menampilkan beberapa penyanyi terkenal Amerika Syarikat seperti Sting, Justin Bieber, Demi Lovato, Ariana Grande, Mika, Skrillex ,A$AP Rocky,Katy Perry dan pasangan selebriti, Kanye West dan Kim Kardashian.

Berpeluang berlakon dalam filem berkenaan, Cruz mengakui sangat teruja.

"Stiller seorang yang sangat kelakar. Saya tidak berhenti ketawa ketika berlakon dengannya. Ini pengalaman baru buat saya," katanya.

Filem itu turut dibintangi Owen Wilson, Will Ferrell dan Christine Taylor serta dirancang untuk ditayangkan di persembahan Valentino sempena Minggu Fesyen Paris pada Mac nanti.

Zoolander 2 mengisahkan supermodel terkenal Derek Zoolander (Ben Sriller) telah berkahwin dan kini mempunyai seorang anak lelaki. Bersama rakan modelnya, Hansel McDonald (Owen Wilson), kedua-duanya menyimpan impian untuk kembali ke puncak selepas lama menyepi. Tetapi ia bukan mudah apabila mogul fesyen jahat, Jacobim Mugatu (Will Ferrell), kembali untuk merosakkan rancangan mereka.

Apa yang terjadi? Jangan lupa saksikannya di pawagam berdekatan mulai 3 Mac ini.

- Penelope Cruz bukan hanya tempelan

SHARING GOOD

0 Comment to "Penelope Cruz bukan hanya tempelan"

Post a Comment