Wednesday 3 February 2016

Shiqin Kamal raih peluang


KELIBAT empunya nama Nur Ashiqin Mohd Kamal ini mungkin agak asing dalam kalangan peminat seni tempatan.

Sementelah dia hanya muncul beberapa kali sahaja di layar skrin menerusi drama Seharum Rindu, Melarik Awan dan Padamu Aku Besujud.

Berbeza dengan segelintir anak seni, aktres berusia 26 tahun ini bagaimanapun lebih mendapat kepercayaan penerbit dan pengarah yang mahukan dirinya terlibat menerusi filem-filem mereka.

Ini terbukti apabila di awal pembabitannya dalam bidang seni, dia diberi tanggungjawab untuk membintangi filem Lagenda Budak Setan.

Menerusi penampilan pertamanya itu, pelakon yang lebih dikenali sebagai Shiqin Kamal ini memainkan peranan sebagai Ayu iaitu karakter yang dibawa oleh Lisa Surihani selepas melakukan pembedahan plastik.

Malah Shiqin juga mempunyai beberapa filem lain yang dibintanginya seperti Di Larang Masuk, Uncle Usin, Tanda Putera, Left Wings, Warna Cinta Impian dan Mantera.

Mengakui perjalanannya dalam bidang seni agak perlahan beberapa tahun lalu, Shiqin yang kini sedang popular menerusi drama bersiri Cinta Si Wedding Planner memberitahu, sebelum ini masanya banyak dihabiskan dengan memberi perhatian kepada pembelajaran.

“Sebenarnya sudah dua tahun saya tamat belajar, selepas itu saya kembali berlakon. Namun, entah di mana silapnya, nama saya seakan tenggelam berbanding pelakon-pelakon lain.

“Mungkin projek-projek yang ditawarkan tidak sebesar mana sehingga membuatkan orang tidak perasan kehadiran saya dalam bidang ini,” katanya.

Meskipun berusia membuat ‘come back’ sejak dua tahun lalu, kata Shiqin dia masih gagal menembusi industri seni kini.

“Walaupun sudah mengambil masa agak lama untuk menawan hati penerbit, pengarah dan peminat, tetapi saya masih di tahap sama.

“Mungkin rezeki untuk bersinar dan mengukuhkan nama masih belum tiba. Apa pun saya akan terus berusaha dan tidak sesekali mengalah,” katanya.

Di tanya apakah Cinta Si Wedding Planner membuka ruang kepadanya untuk lebih dikenali, ujarnya, drama bersiri berkenaan telah memberi persepsi baharu pada mata peminat terhadap penglibatannya sebagai pelakon.

“Memang benar, drama bersiri ini membuka mata banyak pihak akan kehadiran saya. Bagi saya ia suatu yang amat baik kerana slot Akasia sememangnya diminati ramai.

“Lebih-lebih lagi drama bersiri ini dibintangi pelakon Adi Putra, secara tidak langsung mereka yang menonton drama bersiri itu akan melihat saya juga,” katanya.

Berharap tuah menyebelahinya menerusi drama bersiri itu, katanya, peluang yang diberikan akan dimanfaatkan sebaik mungkin.

“Apabila diberi tahu mendapat tawaran berlakon di slot akasia, memang saya teruja. Ini kerana ia satu kayu pengukur yang baik kepada kerjaya saya,” katanya.


Sisi antagonis

Memainkan dua peranan dalam masa sama menerusi Cinta Si Wedding Planner, akui Shiqin ia memberikan cabaran besar baginya.

Jelasnya, bukan mudah menjadi dua watak yang berbeza personaliti.

“Saya perlu menjadi Nadia dan Shira dalam drama bersiri ini. Nadia seorang yang lembut dan sopan manakala Shira seorang yang moden dan penuh sifat antagonis.

“Pada awalnya memang sukar untuk saya menepati kedua-dua karakter tersebut, tetapi dengan bantuan pengarah, saya cuba memberikan yang terbaik,” katanya.

Berkongsi perasaannya menjadi Nadia dan Shira, katanya, bahagian yang paling mencabar adalah ketika menjadi Shira.

“Shira seorang yang penuh dengan sifat amarah dan agak kasar kerana rasa dendam yang penuh di hati.

“Walhal, di luar karakter saya seorang yang sangat manja dan lembut, apabila mendapat watak bertentangan begini, suatu cabaran untuk membina karakter tersebut dengan baik,” katanya.

Tambahnya, dia juga berhadapan cabaran besar ketika penggambaran babak yang menyatukan Nadia dan Shira dilakukan.

“Saya terpaksa bayangkan ada orang di hadapan saya untuk babak tersebut, adakala terasa seperti bercakap dengan dinding pula,” ujarnya.

Kerana itu, Shiqin banyak berlatih bercakap di hadapan cermin dan bercakap sendirian bagi membantunya merealisasikan babak tersebut.

Selain Cinta Si Wedding Planner, Shiqin Kamal juga bakal terlibat dengan beberapa projek lakonan lain dalam masa terdekat.

- Shiqin Kamal raih peluang

SHARING GOOD

0 Comment to "Shiqin Kamal raih peluang"

Post a Comment