Yatt dan Mohammad Zulfadhli sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz pada Sabtu.
Juruvideo iaitu Mohammad Zulfadhli Khiruddin tidak tertekan apabila didakwa sebagai orang ketiga menyebabkan keruntuhan rumah tangga isterinya, pelakon Yatt Hamzah dengan bekas suaminya.
Mohammad Zulfadhli, 26, berkata, dia menyedari perkara tersebut namun mengambil pendekatan untuk tidak melayan gosip kerana mahu memberikan fokus terhadap persiapan perkahwinan dengan wanita berkenaan.
"Jujurnya saya tidak layan media sosial dan sentiasa mengelak daripada membaca bahan gosip tetapi saya sedar dengan dakwaan berkenaan.
"Saya tenang sahaja kerana ada perkara lebih penting perlu saya fokus iaitu perkahwinan kami dan kehidupan selepas sah menjadi suami-isteri," katanya.
Mohammad Zulfadhli dan Yatt atau nama sebenarnya Haryati Hamzah, 36, sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz pada majlis akad nikah yang diadakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada Sabtu.
Pasangan berkenaan dinikahkan oleh Jurunikah masjid berkenaan Muhamad Sujak Dusuki dengan berwakil walikan hakim.
Yatt dan suaminya bakal berbulan madu di Pulau Krabi, Thailand.
Yatt turut menerima mas kahwin berjumlah RM300 manakala wang hantaran dirahsiakan jumlahnya.
Dalam pada itu, Yatt berkata, dia kagum dengan kematangan suaminya itu dalam menangani gosip melandanya sebelum mereka disatukan sebagai suami isteri.
"Alhamdulillah dia sangat tenang dan profesional apabila keluar dakwaan tersebut sebaliknya saya yang panik tetapi sebagai seorang selebriti saya sudah terbiasa.
"Sifat matang dan sabar yang ada pada dirinya itulah membuatkan saya jatuh hati kepadanya dan dugaan melanda kami sebelum berkahwin adalah ujian Allah kerana Dia sayangkan kami," jelasnya.
Sementara itu, Yatt enggan mengulas lanjut mengenai kenyataan Abdul Mutalib yang memberitahu dia berjanji untuk menyerahkan hak penjagaan anak mereka kepada bekas suaminya itu ketika bercerai.
"Tidak bijak rasanya kalau saya mengulas mengenai perkara itu kerana ia seperti menyimbah minyak dan membesarkan lagi api yang sudah pun marak.
"Individu yang bersuara atau telah bersuara dan mahu bersuara itu adalah hak mereka dan terpulanglah.
"Apa yang boleh saya katakan tiada sebarang persetujuan dan saya tidak akan sesekali berpisah dengan anak dan kami akan bersama selama-lamanya," katanya.
Dalam perkembangan lain, Yatt berkata, dia rasa sangat bersyukur kepada Allah kerana tidak sangka dijodohkan dengan Mohammad Zulfadhli dan menganggap kehadiran lelaki berkenaan sebagai mengisi kekosongan hatinya.
"Dalam saya berasa gembira ada perasaan sebak kerana bapa saya sudah tiada sejak empat bulan lalu dan kami rapat.
"Ketiadaannya meninggalkan ruang cukup besar dihati saya dan Alhamdulillah dipertemukan jodoh dengan suami," jelasnya.
Pasangan itu turut memberitahu mereka akan berbulan madu di Pulau Krabi, Thailand selama seminggu sebelum kembali sibuk dengan kerjaya masing-masing.
0 Comment to "Suami Yatt Hamzah Tidak Tertekan Dituduh Sebagai Orang Ketiga"
Post a Comment