PELAKON filem The Expandable, Terry Crews mengaku ketagihan bahan lucah hampir merosakkan perkahwinannya dengan penyanyi, Rebecca King Crews.
Terry membuat pengakuan tersebut dalam beberapa siri video dan memuatnaik ke laman sosial Facebook tentang keburukan ketagihan bahan lucah.
"Orang akan kata, tak ada masalah besar jika anda tonton bahan lucah," kata Terry dalam sebuah videonya.
"Tapi anda ada masalah besar jika anda tonton bahan lucah dari siang hingga malam, seperti saya pada satu ketika dahulu," jelasnya lagi.
Terry mengaku bahan lucah menyebabkan beliau menganggap manusia sebagai satu objek (untuk memuaskan nafsu) dan bukannya untuk disayangi.
Menurut CNN, Terry menyembunyikan tabiat buruknya tersebut dari Rebecca semenjak berkahwin pada tahun 1990.
"Isteri saya kata, dia sukar mengenali saya lagi. Saya berubah.
"Dan saya tahu saya harus berubah," kata aktor berotot pejal tersebut.
Untuk meredakan ketagihan dan sekaligus menghapuskan tabiatnya, Terry mendaftar masuk ke pusat pemulihan.
Perkongsian Terry tersebut juga mendapat pujian kerana 'ikhlas' berkongsi dan cuba mewujudkan persekitaran yang baik dalam hubungan suami isteri dan masyarakat.
"Saya tidak merokok, saya tidak minum arak, saya tidak menyalahgunakan dadah. Tapi saya sudah 'bergusti' dengan ketagihan bahan lucah saya selama bertahun-tahun.
"Saya bersyukur kerana saya sudah 'bersih' sekarang. Saya juga berusaha keras setiap hari untuk melawan ketagihan," jelas Terry lagi.
Terry juga menasihatkan mana-mana pasangan wanita yang mempunyai pasangan yang bermasalah yang sama supaya bersama-sama cuba menyelesaikan masalah berkenaan.
"Wanita, anda jangan takut. Anda berbincang dengan pasangan anda tentang masalah ini. Anda dan pasangan tidak perlukan sebarang bahan lucah dalam hidup (sebagai suami isteri)," akhiri Terry.
0 Comment to "Terry Crews mengaku ketagih bahan lucah"
Post a Comment