Sunday, 27 March 2016

Kritikan telus Siti Nurhaliza dalam Ceria Popstar


BARISAN juri dan artis yang membimbing peserta Ceria Popstar ditanya tentang pengalaman mengendalikan program tersebut.

Program realiti yang berkonsepkan pertandingan nyanyian untuk kanak-kanak iaitu Ceria Popstar, kini kembali untuk musim yang keempat.

Dengan pengisian dan peserta-peserta yang lebih mantap, Ceria Popstar kali ini mencipta kelainan apabila menampilkan peserta duo daripada seramai 12 peserta yang dipilih.

Mereka yang terpilih terdiri daripada Muhammad Aniq Iffat (Perak), Irfan Harris (Johor), Muhammad Hady (Johor), Wafiy Irfan Ariffen (Kuala Lumpur), Hazmil (Sarawak), Muhammad Shahreza (Sarawak), Siti Amirah Dalili (Kuala Lumpur), Muhd. Fikri (Johor), Eylia Eyre Guntabid (Sabah), Siti Junaidah (Sabah), Mohamad Sharie (Sabah) dan Fatma Naslin dan Farhana Naslyn (Sabah).

Kesemua peserta itu nanti bakal mendapat bimbingan daripada tiga penyanyi hebat iaitu Jaclyn Victor, Black Hanafiah dan Mark Adam. Lebih daripada itu, penyanyi nombor satu negara iaitu Datuk Siti Nurhaliza dan legenda rock, Awie pula dipilih sebagai juri tetap sambil ditemani seorang lagi selebriti jemputan sebagai juri undangan pada setiap minggu.

Mengaku berasa teruja terbabit dalam Ceria Popstar, Siti turut menyifatkan program itu sebagai platform untuknya membantu kanak-kanak menjadi penyanyi dan penghibur pada usia muda.

“Sebelum ini, saya pernah menjadi juri dalam program Ceria All Star iaitu program realiti mencungkil bakat kanak-kanak dalam pelbagai bidang. Bagaimanapun untuk Ceria Popstar, penilaian saya nanti lebih kepada muzik dan nyanyian.

“Melalui pemerhatian saya, peserta-peserta kali ini kesemuanya memiliki bakat besar dalam bidang nyanyian. Jadi, saya akan menilai mereka melalui persembahan dan juga cara penyampaian sesebuah lagu itu,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Ceria Popstar di The Garden, Kuala Lumpur.

Dikenali sebagai penyanyi yang lembut dan baik, namun sebagai juri, Siti tetap akan mengkritik setiap peserta secara telus.

“Kritikan tetap telus mengikut persembahan yang dilakukan, tetapi komen saya nanti tentulah membina dan sesuai dengan usia mereka,” jelasnya.

Sementara itu, bagi Awie pula, pengalamannya selama 30 tahun dalam industri muzik akan dikongsikan dengan peserta-peserta program berkenaan.



Legenda rock tanah air, Awie sempat bergurau dengan peserta Ceria Popstar.

“Saya menganggap mereka seperti anak sendiri. Jadi, menjadi tanggungjawab saya untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan muzik kepada generasi baharu.

“Insya-Allah, saya akan memberikan kritikan membina sehingga mereka menjadi penyanyi hebat suatu hari nanti,” katanya.

Dalam pada itu, menurut penolong Naib Presiden Astro Ceria dan Segmen Remaja Astro, Hadzelynda Khairuddin, Ceria Popstar bukan sekadar pertandingan nyanyian biasa, tetapi menjadi platform untuk kanak-kanak menambah ilmu dalam bidang nyanyian.

“Peserta juga secara tidak langsung dapat menambah ilmu pengetahuan dalam muzik dan menyerap pengalaman daripada barisan tenaga pengajar yang ada.

“Pemilihan tenaga pengajar juga bukan calang-calang dan ini merupakan satu kelainan istimewa yang ditampilkan produksi Ceria Popstar tahun ini. Bukan itu sahaja, dua nama yang boleh disifatkan sebagai legenda dunia nyanyian pula menambah rencah kemeriahannya kali ini,” ujar Hadzelynda.

Ditanya mengenai konsep Ceria Popstar kali ini, kata Hadzelynda, peserta-peserta bakal diberikan tugasan menyanyikan lagu daripada pelbagai genre seperti pop, rock, ghazal dan sebagainya di bawah bimbingan tiga tenaga pengajar tersebut.

“Gabungan Mark, Jac dan Black berupaya membawa para peserta ke satu tahap yang berlainan apabila kesemua peserta berpeluang mempelajari kebolehan tenaga pengajar berlainan setiap minggu.

“Sementara pengacara popular iaitu Datuk Aznil Nawawi pula bertindak sebagai penaung kepada program ini,” ujarnya yang turut memberitahu Nabil Ahmad pula sekali lagi diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab sebagai pengacara sambil ditemani oleh bakat cilik kelahiran Ceria Popstar musim kedua iaitu Wafiy.

Ceria Popstar musim keempat akan bersiaran setiap hari Jumaat, pukul 9 malam di Astro Ceria, saluran 611 dan Astro Maya HD di saluran 135.

Juara Ceria Popstar bakal membawa pulang hadiah berbentuk wang tunai sebanyak RM20,000 berserta trofi sumbangan Astro. Naib juara pula bakal memenangi wang tunai sebanyak RM15,000 berserta trofi. Tempat ketiga pula bakal memenangi wang tunai sebanyak RM10,000 dan juga trofi.

- Kritikan telus Siti Nurhaliza dalam Ceria Popstar

SHARING GOOD

0 Comment to "Kritikan telus Siti Nurhaliza dalam Ceria Popstar"

Post a Comment