MELEWATI hari-hari baharu sebagai seorang ibu merupakan momen paling bermakna bagi setiap wanita. Apatah lagi menerusi kelahiran cahaya mata pertama, saat itu pastinya diraikan dengan rasa teruja.
Barangkali perasaan tersebut yang dialami oleh Ana Raffali apabila penyanyi berusia 30 tahun itu menerima kehadiran bayi sulungnya pada 12 Februari lalu.
Mendirikan rumah tangga bersama Ahmad Aznaim Abdullah pada 25 Februari 2012, Ana yang dihubungi Kosmo! baru-baru ini menyatakan rasa gembira dan bahagia terhadap kehadiran ahli keluarga baharunya itu selepas tiga tahun hidup berdua dengan suaminya.
Ana yang kini berada di rumah mentuanya di Pasir Puteh, Kelantan kerana menjalani proses berpantang di sana begitu bersyukur dengan kelahiran putera sulungnya itu dan menganggap bayinya sebagai hadiah paling bermakna dalam kehidupannya selepas berumah tangga.
Selain itu, Ana juga turut berkongsi tentang perancangan masa hadapannya dalam dunia hiburan.
Artis Meletop!: Tahniah Ana dengan kelahiran bayi sulung anda. Boleh kongsikan sedikit pengalaman ketika proses melahirkan?
ANA: Terima kasih. Alhamdulillah, menerusi persediaan yang dibuat serta berkat sokongan daripada kaum keluarga dan petugas di hospital, urusan untuk melahirkan bayi sulung ini dipermudahkan. Bayi sulung saya selamat dilahirkan secara normal di Hospital Ampang, Selangor pada 12 Februari lalu pukul 2.25 petang.
Sebenarnya jika mengikut jangkaan doktor, saya patut bersalin pada 5 Mac depan. Bagaimanapun, pada tarikh 12 Februari itu saya rasa berasa sakit kerana kontraksi beranak datang berulang kali. Jadi, kami ambil keputusan untuk ke hospital dan saya telah bersalin pada hari yang sama. Biarpun anak saya lahir awal tiga minggu, namun Alhamdulillah dia sihat dan semuanya berjalan lancar.
Bagaimanakah perasaan anda apabila sudah bergelar ibu?
Sejujurnya, ia merupakan satu perasaan halus yang sangat indah dan cukup bermakna. Saya berasa sangat bersyukur kerana amanah ini adalah anugerah daripada Allah yang paling bermakna buat saya dan suami.
BERSALIN awal tiga minggu, Ana Raffali bersyukur kerana keadaan bayi sulungnya sihat.
Siapakah nama putera sulung anda ini?
Buat masa ini, saya dan suami masih lagi dalam proses perbincangan untuk meletakkan nama yang sesuai. Jadi, apabila sudah mendapat nama yang kami persetujui bersama nanti, barulah anak sulung kami ini diberikan nama untuknya.
Adakah anda akan memperlahankan aktiviti seni dan memberi fokus sepenuhnya terhadap penjagaan anak?
Buat masa ini saya tidak terfikir untuk memperlahankan aktiviti seni. Dengan kelahiran anak sulung kami, selain mendapat teman bermain muzik yang baharu, saya percaya dia akan membakar semangat untuk saya terus berkarya dan berjuang dalam industri muzik tanah air.
Anda kini berada di kampung suami anda. Adakah anda merancang untuk menghabiskan proses berpantang di sana?
Saya berada di Pasir Puteh untuk berpantang selama dua minggu sahaja. Selebihnya, saya akan berpantang di Kuala Lumpur.
Sebagai seorang ibu baharu, siapakah rujukan utama anda dalam hal jagaan anak?
Ibu saya dan ibu mertua merupakan sokongan utama kami dalam mengajar cara menguruskan anak kecil dengan penuh cermat dan kasih sayang. Kami juga sangat bertuah mempunyai adik-beradik perempuan yang lebih berpengalaman mengasuh anak yang turut berkongsi cerita dan cadangan.
- Anak inspirasi Ana Raffali
0 Comment to "Anak inspirasi Ana Raffali"
Post a Comment