KONGSI bahagia... Mei Fen dan Wincci mengucapkan selamat menyambut Tahun Baru Cina kepada seluruh rakyat Malaysia yang meraikan perayaan tersebut.
“HEI, Li Po!” teriak Soo Wincci seraya menerpa Lim Mei Fen di dalam bilik solek petang Isnin lalu. Sambil berbalas-balas sapaan, baik Wincci atau Mei Fen kedua-duanya pantas bertukar cerita imbas kembali pengalaman melucukan ketika sama-sama terbabit dengan pementasan teater Takhta 3 Ratu di Istana Budaya menggantikan tempat masing-masing beberapa bulan lalu.
Persamaan Wincci dan Mei Fen, mereka pernah berbahagi rasa mendukung peranan wanita pertama dari China yang menjejakkan kaki ke Tanah Melayu iaitu puteri Hang Li Po sempena pementasan naskhah arahan sutradara Erma Fatima.
Justeru itu, sengaja Wincci menyapa Mei Fen dengan gelaran Li Po sewaktu bersua selepas lama tidak bertemu.
Awal minggu ini, mereka sekali lagi dipertemukan untuk berkongsi secebis kenangan dan nostalgia menarik sempena sambutan Tahun Baru Cina.
Barangkali kedengaran agak mustahil untuk mendapatkan penyanyi yang kini sudah berpangkalan di Taiwan, Wincci dan digandingkan bersama Mei Fen yang sudah menyusun agenda sejak awal lagi untuk pulang ke kampung halamannya di Pulau Tikus, Pulang Pinang.
Ternyata telahan itu salah. Wincci dan Mei Fen masih sempat mencuri masa untuk dipotretkan bersama dan bercerita tentang semangat menyambut Tahun Baru Cina yang jatuh pada hari ini.
“Setiap tahun saya wajib meraikan Tahun Baru Cina bersama keluarga dan akan pulang ke Malaysia kerana hanya kesempatan ini yang ada untuk saya berjumpa saudara-mara yang jarang bertemu kerana sibuk. Kadang-kadang apabila terlalu sibuk, saya tidak sanggup bercuti tetapi sempena Tahun Baru Cina, peluang ini paling tepat untuk saya berehat.
“Bagi saya, Tahun Baru Cina adalah masa untuk memikirkan perancangan masa akan datang dan ia bermakna permulaan kalendar baharu dalam kehidupan. Walaupun saya dilahirkan pada tahun lembu, jadi sempena tahun kambing tahun ini rasanya tuah masih menyebelahi kami dari keluarga zodiak sama.
Beraya di United Kingdom
Wincci, 30, memberitahu, kemeriahan sambutan Tahun Baru Cina tidak sama seperti persiapan di Taiwan. Katanya, selain sunyi sepi, Taiwan yang hanya dihamparkan beberapa hiasan ringkas sempena sambutan perayaan itu masih lengang tanpa putaran lagu-lagu Tahun Baru Cina seperti di Malaysia.
“Kalau di Malaysia, sambutan Tahun Baharu Cina akan dirasai biasanya sebulan lebih awal. Namun di Taiwan, mood untuk menyambut perayaan ini sukar dirasai kerana penduduk di sana sentiasa sibuk. Kalau ada pun, ia hanya beberapa hiasan ringkas bagi menandakan perayaan Tahun Baru Cina sudah dekat,” katanya yang akan berada di Malaysia sehingga awal Mac depan.
Mengimbas kembali kenangan menyambut Tahun Baru Cina, detik yang paling diingati Wincci ialah ketika dia menuntut di University of Reading, United Kingdom pada tahun 2007. Kemeriahan beraya di luar negara bagaimanapun masih tidak sama seperti meraikannya di tempat sendiri.
“Ketika berada di luar negara, setiap sambutan perayaan bukan terhad kepada satu kaum semata-mata, malah kami akan berkongsi kemeriahan itu bersama-sama. Jika saya sendiri tidak memakai cheongsam, lucu pula melihat rakan-rakan saya dari negara Eropah yang sanggup bersiap dan membeli pakaian tradisi demi menyambutnya bersama kami.
“Selalunya, sambutan Tahun Baru Cina di kawasan Chinatown akan lebih meriah daripada sambutan di kediaman kami. Jika dibandingkan dengan sambutan di Malaysia sendiri, kawasan tersebut sebenarnya lebih hidup dan paling ramai dikunjungi,” ujarnya.
Konsert bulan Jun
Bagaimanapun, Wincci sempat berseloroh mengimbau kembali kenangan menyambut Tahun Baru Cina ketika zaman kanak-kanaknya. Jika kini perayaan itu paling dinanti-nantikan Wincci untuk berehat dan bertemu saudara-mara tetapi perasaan itu jauh berbeza ketika berat badannya mencecah 50 kilogram sewaktu berumur 10 tahun.
“Saya benci Tahun Baru Cina ketika kecil kerana saya gemuk. Jadi, saya risau apabila saudara-mara datang ke rumah keluarga saya, mereka akan mengejek saya. Jadi, saya akan cuba menyorok di dalam rumah apabila tibanya perayaan ini.
“Bagaimanapun, semakin meningkat dewasa, saya lebih matang dan upacara makan besar paling dinanti-nantikan pula. Saya mulai menghargai masa untuk diluangkan bersama saudara-mara terutamanya ketika Tahun Baru Cina,” katanya yang paling menggemari hidangan yee sang dan dianggap hidangan simbolik persaudaraan.
Berbicara mengenai perkembangan kariernya pula, selepas tujuh tahun berada dalam industri hiburan, Wincci bakal menghadiahkan konsert solo pertamanya kepada peminat yang selama ini tidak jemu-jemu menyokong kerjayanya. Kata Wincci, konsert solo yang dijangka berlangsung pada 9 Jun nanti adalah rangkuman perjalanannya selama tempoh tersebut.
“Saya telah mengadakan showcase pertama di Taiwan baru-baru ini dan sambutan yang diterima sangat di luar jangkaan. Jadi, saya ingin meneruskan kejayaan itu di Malaysia pula sempena konsert solo saya yang bertempat di Plenary Hall, KLCC pada 9 Jun nanti. Ia merupakan pencapaian baharu bagi saya dan konsert solo ini ibarat kad laporan saya sebagai penyanyi,” katanya yang akan mempersembahkan 30 buah lagu berbahasa Melayu, Cina dan Inggeris.
Kenangan di Amerika Syarikat
Berbeza pula kisah Mei Fen, 28, yang menyifatkan sambutan Tahun Baru Cina setiap tahun berkonsep ringkas dan sekadar sebuah pertemuan semula dalam kalangan anggota keluarga.
Sebelum ini, kemeriahan Tahun Baru Cina dirasakan luar biasa memandangkan makan besar pada malam tahun baharu dihadiri oleh 10 buah keluarga sebelah bapanya.
Bagaimanapun, tradisi tersebut mula dilupakan selepas datuknya meninggal tiga tahun lalu.
“Datuk saya mempunyai 10 orang anak dan pada kebiasaannya kami akan berkumpul beramai-ramai untuk upacara makan besar pada malam tahun baharu. Namun, selepas mendiang datuk saya meninggal dunia, kemeriahan itu kian pudar.
“Tambahan pula kebanyakan anggota keluarga kami sudah menetap di luar negara. Jadi, semakin sukar untuk kami berkumpul beramai-ramai seperti dahulu.
“Bagaimanapun, memori yang paling diingati ketika sambutan Tahun Baru Cina di perantauan adalah ketika saya berada di California Utara, Amerika Syarikat pada tahun 2005. Saya mempunyai seorang kawan baik bernama Fatimah dan beliau merupakan satu-satunya mualaf yang akan memasakkan hidangan enak sempena Tahun Baru Cina.
“Kami hanya ada satu sama lain, jadi perayaan itu masih meriah walaupun bukan dalam kelompok yang ramai. Erti Tahun Baru Cina itu akan lebih dirasai apabila berjauhan daripada keluarga dan meraikannya jauh di perantauan,” ceritanya yang melanjutkan pelajaran seni persembahan teater di Fortuna Union High School selama setahun.
Apabila meningkat dewasa, anak sulung daripada empat adik-beradik itu hanya mahu meraikan Tahun Baru Cina bersama keluarga tercinta. Cukuplah sekadar keluarganya ada bersama ketika perayaan tersebut hari ke-15 Tahun Baru Cina.
“Walaupun sambutan Tahun Baru Cina di Pulau Pinang meriah dengan pelbagai juadah enak, biasanya jalan raya akan menjadi sangat sesak dengan pelancong asing dan keluarga yang pulang berhari raya di sana. Maka, langkah terbaik untuk meraikan Tahun Baru Cina di Pulau Pinang adalah meluangkan waktu di rumah masing-masing,” tambahnya.
Kumpul angpau
Mei Fen memberitahu, dia menyimpan tabiat pelik ketika zaman kanak-kanaknya. Setiap kali tibanya sambutan Tahun Baru Cina, pelakon filem The Cage itu akan mengumpul pelbagai sampul angpau yang diberikan kepadanya sebagai koleksi seni.
“Hobi ini akan dianggap pelik oleh rakan-rakan saya tetapi ia akan menghasilkan koleksi angpau yang pelbagai dan menarik. Saya masih ingat berjaya mengumpul lebih 2,000 keping sampul angpau di dalam sebuah kotak dan pernah beberapa kali menggunakan koleksi seni itu sebagai hiasan di dinding kelas saya.
“Pernah juga saya mengolah sampul-sampul angpau berkenaan menjadi tanglung untuk dipertandingkan,” jelasnya yang baru selesai penggambaran drama bersiri 25 episod berjudul Identity Switch bersama pelakon Jojo Goh.
Kemunculan Mei Fen dalam industri hiburan tempatan menerusi watak ikonik puteri Hang Li Po dalam pementasan teater Takhta 3 Ratu telah membuka mata banyak pihak untuk mengintai bakat muda itu untuk di bawa ke tahap yang lebih tinggi. Kata Mei Fen, andai bukan kerana Soo Wincci, dia pastinya sudah gulung tikar.
“Saya sedar peluang dalam industri hiburan di Malaysia amat tipis, jadi ketika sudah hampir berputus asa, Wincci menghubungi saya bertanyakan sekiranya saya berminat untuk berlakon dalam teater tersebut. Dia telah memberi motivasi dan dorongan untuk saya supaya terus berlakon,” ujarnya yang juga mahu mencari peluang bekerja di belakang tabir.
- Lembaran baharu Soo Wincci, Mei Fen
0 Comment to "Lembaran baharu Soo Wincci, Mei Fen"
Post a Comment