Pada mulanya, sesi fotografi yang diaturkan pada sebelah petang bertukar kepada sebelah pagi. Permintaan itu ditunaikan mudah oleh penulis berikutan kekangan masa pengarah ini mengatur jadualnya yang ketat.
Datang penuh bersahaja membimbit sebuah tas tangan sambil melirik senyuman kepada setiap orang yang menyapanya, Michael Ang boleh disimpulkan sebagai seorang yang mudah mesra dengan sesiapapun yang mendampinginya.
Terus menuju ke studio fotografi Utusan Malaysia, sambil menunggu jurufoto, Wahidah Zainal, Michael diajak berbual mengenai perkara rutin yang dilakukannya apabila tiba perayaan Tahun Baharu Cina.
Biarpun ini pertemuan pertama kami, Michael, seperti yang sering dilihat keletahnya di kaca televisyen sebagai seorang yang becok dan lucu, lancar bercerita.
Akuinya, tidak banyak yang berubah sejak 10 tahun kebelakangan ini. Dia akan tiba di kampungnya Bukit Baru, Melaka menjelang malam perayaan Tahun Baharu Cina.
“Tidak banyak yang berubah semenjak saya menetap di Kuala Lumpur. Balik untuk bersama keluarga tersayang bagi menyambut perayaan Tahun Baharu Cina sudah menjadi rutin pada setiap tahun.
“Bagi saya, apa yang penting ialah keseluruhan keluarga kami dapat berkumpul dan duduk bersama berbincang mengenai kehidupan masing-masing. Itulah masa emas bagi keluarga kami kerana semuanya dapat berkumpul setelah sekian lama tidak berjumpa,” ujar anak bongsu daripada enam adik-beradik itu.
Michael juga memberitahu, dia mengamalkan sambutan secara sederhana dan hanya memakai baju sedia ada jika tidak berkesempatan untuk membeli pakaian baharu.
Bagaimanapun, dia tetap membelanjakan wang yang lebih untuk pemberian angpau kepada anak saudaranya yang kini sudah mencecah 12 orang.
“Saya merupakan seorang yang sangat bersahaja. Saya tidak suka untuk melakukan persiapan secara besar-besaran untuk diri saya sendiri. Bagi saya tidak apa yang perlu dilakukan pada diri saya lagi kerana umur pun sudah semakin meningkat.
“Saya lebih membelanjakan wang untuk anak-anak saudara. Wang persiapan untuk Tahun Baharu Cina selalu digunakan untuk memberi angpau kepada mereka. Selalunya, saya akan menghabiskan hampir RM15,000 setahun bagi pemberian angpau kepada anak buah sahaja,” katanya yang masih lagi menerima angpau daripada ibu bapanya.
Terus membawa perbualan mengenai detik yang tidak dapat dilupakan acapkali tiba perayaan Tahun Baharu Cina, Michael hanya mampu mengukir senyuman apabila cuba mengimbas kembali memori manis sepanjang 39 tahun kehidupannya.
Menurutnya, dia pernah merajuk dan tidak pulang ke kampung selama dua tahun berturut-turut berikutan tentangan daripada keluarganya yang enggan memberi keizinan kepadanya untuk berkecimpung aktif dalam bidang seni.
“Saya masih ingat keluarga saya tidak bersetuju setelah saya berterus-terang kepada mereka untuk menjadi seorang pembikin dan pengarah filem. Hal tersebut membuatkan saya merajuk lalu tidak pulang ke kampung selama dua tahun berturut-turut.
“Namun, setelah sekian lama, mereka akhirnya terpaksa akur dengan kehendak saya dan membenarkan saya untuk melakukan apa yang diminati. Saya tahu, saya bukan seperti adik-beradik lain yang mempunyai pekerjaan kukuh, bagaimanapun saya hanya mahu menurut kata hati dan melakukan apa yang saya suka,” katanya yang pernah menetap di Australia sejak berumur 10 tahun sehingga berusia 23 tahun.
KATA Michael, dia pernah tidak pulang meraikan Tahun Baharu Cina bersama keluarganya kerana merajuk.
Duit poket RM1 juta
Bagi peminat industri seni tempatan, penama Michael Ang sudah tidak perlu diperkenalkan lagi. Bagaimanapun, untuk segelintir pihak yang jarang mengikuti perkembangan industri seni tempatan tentunya masih kurang mengenali pengarah yang pernah mengarah hampir 20 telefilem secara keseluruhan ini.
Ironi, Michael sangat terkenal dengan drama-drama Melayu arahannya termasuk Biar Mimpi Sampai Ke Bintang, Pontianak Kg. Batu dan Hantu Selfie.
“Saya memulakan karier dalam bidang pengarahan melalui penerbitan iklan komersial sekitar tahun 2000. Saya berjinak-jinak dengan bidang penyiaran apabila menghasilkan iklan-iklan pendek bagi stesen televisyen.
“Selepas itu, keinginan untuk mengarah filem sendiri semakin membuak-buak. Jadi, saya mengambil keputusan untuk menerbitkan sebuah filem menggunakan duit poket saya sendiri.
“Filem pertama saya ialah Anak yang diterbitkan pada tahun 2010. Saya sangat bersyukur kerana aktres terkenal, Erra Fazira dan Ida Nerina sanggup bekerjasama dengan saya bagi menjayakan filem tersebut. Bertitik tolak daripada situlah saya tidak pernah menoleh ke belakang dalam bidang pengarahan,” katanya yang membelanjakan duit poketnya hampir RM1 juta bagi filem tersebut.
Terus diberi kepercayaan, Michael kemudian mendapat peluang untuk menerbitkan beberapa buah telefilem bagi stesen televisyen berbayar. Michael mengakui, Erra merupakan individu yang bertanggungjawab membawanya tampil lebih menonjol dalam industri hiburan.
“Selepas menghasilkan filem tersebut, saya telah dirisik oleh stesen televisyen berbayar Astro bagi menerbitkan sebuah program iaitu Gugu Gaga Erra pada tahun 2011.
“Erra banyak memperkenalkan saya kepada ‘orang seni’ dan membuka ruang kepada saya untuk mengembangkan bakat saya dalam bidang pengarahan. Sepanjang hampir 15 tahun saya berkecimpung dalam bidang seni, saya telah menghasilkan empat buah filem dan hampir 20 telefilem secara keseluruhan,” katanya yang pernah mendapat pendidikan dalam bidang penyiaran di salah sebuah universiti di Australia.
Membawa perbualan mengenai masa hadapannya, Michael memberitahu, dia mahu terus kekal dalam bidang seni terutamanya dunia pengarahan dan lebih selesa berkarya di belakang tabir.
“Selama ini, saya bersusah payah untuk mendapatkan kedudukan sebagai salah seorang pengarah dalam industri seni kita. Saya akan terus berkarya untuk lebih mewarnai industri seni lakonan di Malaysia,” katanya yang lebih gemar mengangkat cerita sebenar kehidupan untuk dijadikan filem.
Berbincang mengenai industri seni di Malaysia, ia sudah tentu dipelopori oleh kaum Melayu. Hakikatnya juga telah terbukti dengan dominannya naskhah-naskhah seni Melayu yang dihasilkan di Malaysia berbanding naskhah seni masyarakat berbangsa lain.
MICHAEL ANG menyambut Tahun Baharu Cina bersama keluarganya di Melaka.
Sukar berkomunikasi
Bagi Michael yang merupakan seorang lelaki berketurunan Cina, semestinya bukan mudah baginya untuk mendapat posisi yang baik dalam bidang seni di Malaysia yang juga dikenali sebagai ‘Malaywood’.Bagaimanapun, apabila mendengar sendiri kenyataan yang dilontarkan oleh Michael, membuatkan penulis terkejut. Manakan tidak, dia tidak pernah rasa didiskriminasi oleh pihak-pihak tertentu disebabkan keturunannya di dalam industri seni di Malaysia.
“Sepanjang saya bergelar seorang anak seni, saya tidak pernah mendengar kata-kata kesat yang membangkitkan isu perkauman. Kebanyakan mereka menerima saya dengan sepenuhnya.
“Malah, mereka (orang yang berada di dalam industri seni) tidak pernah memulaukan saya disebabkan saya berdarah Cina, lagipun saya sendiri berasa selesa bergaul dengan orang Melayu terutamanya di dalam bidang seni,” katanya ikhlas.
Ditebak mengenai maksud sebenar rasis kepada dirinya, Michael mempunyai istilah tersendiri bagi menguraikan definisi perkataan itu. Mempunyai prinsip yang tersendiri, Michael memberitahu, masyarakat Malaysia mempunyai toleransi yang tinggi antara satu sama lain.
Bagaimanapun, barangkali apa yang menjadi jurang perkauman di Malaysia adalah disebabkan kesukaran untuk berkomunikasi antara satu sama lain. Masalah itu selalunya disebabkan perbezaan budaya dan adat yang sudah lama dipupuk sejak kecil lagi.
“Kita semua sama sahaja, namun apa yang membezakan kita adalah kesukaran untuk berkomunikasi antara satu sama lain. Misalnya, orang Cina selalunya akan menggunakan bahasa Mandarin dalam pertuturan mereka, manakala orang Melayu pula akan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar mereka.
“Disebabkan bahasa itulah yang membezakan masyarakat ini. Jika semuanya menggunakan satu bahasa sahaja. Saya rasa semuanya akan lebih selesa dan memahami antara satu sama lain,” katanya yang akan tampil dengan telefilem baharu yang berkisar mengenai pelacuran kanak-kanak di Vietnam.
- Halangan keluarga, Michael merajuk demi filem
0 Comment to "Halangan keluarga, Michael merajuk demi filem"
Post a Comment