Saturday, 21 February 2015

Matty B pesaing Justin Bieber?





SUARA merdu, gayanya lincah dan bersahaja. Begitulah antara keistimewaan Bintang YouTube pilihan Zass minggu ini.



Usianya baru mencecah 12 tahun, namun nama Matthew David Morris atau lebih dikenali dengan nama MattyBRaps di YouTube, bukan lagi asing.



Turut dikenali dengan nama MattyB di landasan seni, si cilik berbakat besar ini mula berkecimpung di dalam industri seni sejak usianya tujuh tahun lagi.



Tidak hanya dikenali sebagai penyanyi dan rapper, bintang YouTube ini turut berbakat dalam bidang lakonan dan terkenal dengan video lagu popular yang sudah diadun olehnya.



Mengimbau semula penglibatannya sebagai penyanyi dan rapper, MattyB berkata, dia mula meminati muzik hip hop pada usia lima tahun. Bahkan dia sering meniru gaya rapper dan meminta untuk memasuki kelas tarian.



Tambahnya tidak lama selepas itu, sepupunya, Mars, tinggal bersama keluarganya selepas Mars kematian ibu. Sejak itu, dia sering mendengar muzik yang dicipta oleh Mars.



Menyedari bakat sepupunya itu, Mars membantu MattyB menulis lirik dan merakamkan video cover pertama MattyB iaitu 'Eenie Meenie'.









"Saya tidak sangka video yang dimuat naik berjaya menarik lebih 500,000 tonton dalam masa dua hari. Sejak itu saya mula aktif berkongsi video di YouTube," ujarnya.



Tidak sekadar berkolaborasi dengan sepupunya, MattyB juga pernah melakukan kolaborasi bersama penyanyi seperti James Maslow menerusi lagu 'Never Too Young' dan Maddi Jane menerusi lagu Love Somebody.



Kini anak kelahiran Georgia, Amerika Syarikat ini sudah mempunyai lebih 3.4 juta pengikut di salurannya, MattyBRaps, dan video-video yang dimuat naiknya telah ditonton lebih 1.4 bilion!



Pernah dikatakan bakal menyaingi penyanyi Justin Bieber, namun ramai peminat si cilik ini berpendapat, MattyB mempunyai bakat yang lebih besar berbanding Bieber.



"Seperti Justin Bieber? Entahlah... Tapi saya teringin untuk berkolaborasi bersamanya suatu hari nanti. Mungkin ia akan menjadi kolaborasi yang bagus," katanya yang sering muncul di beberapa program TV terkenal, selain pernah mengadakan konsert secara langsung di New York City, Los Angeles.



Abang penyayang



Seperkara yang menarik mengenai bintang ini, adalah sifatnya yang cukup penyayang.



Buktinya, biarpun dikenali ramai, MattyB tidak pernah malu mengaku mempunyai seorang adik yang menghidap Sindrom Down bernama Sarah Grace.



Bahkan MattyB sering mengingatkan orang ramai menerusi mesej penting bahawa kecantikan dalaman lebih penting dan terimalah seseorang itu apa adanya.



"Orang sering memandang serong, berasa pelik atau jelik untuk bermain dengannya, tetapi tidak bagi saya. Sarah adalah seorang adik yang cukup istimewa.



"Dia menjadi salah satu sumber inspirasi kejayaan saya pada hari ini dan kerana itu, saya mendedikasikan lagu saya, True Colors, khas buatnya," jelasnya dalam satu temu bual bersama program TV America’s News Headquarters.









- Matty B pesaing Justin Bieber?

SHARING GOOD

0 Comment to "Matty B pesaing Justin Bieber?"

Post a Comment