Monday, 23 February 2015

Isteri Cermin Johan Lihat Kelemahan Diri





Johan memberitahu isterinya, Ozlyn Wati adalah 'cermin' untuk dia melihat kelemahan diri sendiri.



Pelakon dan penyampai radio, Johan menjelaskan isterinya, Ozlyn Wati turut bertindak sebagai 'cermin' bagi membolehkannya untuk melihat kelemahan diri sendiri agar tidak tersasar dan sentiasa fokus terhadap kerjayanya.



Johan atau nama sebenarnya Muhammad Yazid Lim, 31, berkata, wanita berkenaan adalah pengkritik utamanya dalam pelbagai perkara terutama mengenai kerjaya seninya dan menjelaskan dia tidak akan mencapai pada tahapnya sekarang tanpa sokongan isterinya itu.









"Saya tidak dapat melihat kelemahan diri saya sendiri dan isteri sayalah cermin untuk memberitahu apa kekurangan yang ada pada saya.



"Hanya dia dapat berterus terang apa keburukan dan mengkritik diri saya terutama dalam hal kerjaya kerana dia nampak semua kelemahan saya. Tanpa dia saya tidak mungkin berada di tahap sekarang," katanya kepada mStar Online.







Johan dan pelakon Ayda Jebat memenangi kategori utama Anugerah MeleTOP Era 2015.



Terdahulu, Johan merangkul tiga trofi termasuk Top Top MeleTOP (Lelaki) pada Anugerah MeleTOP Era 2015 (AME 2015) yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil di sini pada malam Ahad.



Johan turut membawa pulang trofi bagi kategori Penyampai Radio MeleTOP dan Pelawak MeleTOP sekaligus menerima hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM20,000 berserta trofi sumbangan Astro.



Dalam pada itu, Johan mengakui terkejut apabila diumumkan sebagai pemenang kategori utama AME 2015 dan menjelaskan tidak menyangka atas kemenangan tersebut.



Kata Johan, fokusnya pada malam itu hanya bagi melunaskan tanggungjawabnya sebagai hos bersama acara tersebut dan pengumuman tersebut membuatkan dia hilang kata-kata.







Johan mengakui terkejut apabila menerima tiga trofi pada AME 2015.



"Saya langsung tidak meletakkan sebarang harapan tinggi untuk menang dalam apa juga kategori kerana fokus saya adalah untuk melunaskan tanggungjawab sebagai pengacara AMe 2015 dengan baik.



"Terus terang saya terkejut dan hampir hilang kata-kata atas kemenangan ini selain rasa syukur kepada Allah dan peminat yang mengundi," jelasnya.



Sementara itu, Johan berkata, kemenangannya pada malam itu adalah rezeki isteri dan anak-anaknya yang banyak berkorban untuk melihatnya berjaya dalam karier.



Malah kata Johan, segala yang dilakukan selama ini adalah semata-mata untuk mereka dan anugerah tersebut membangkitkan lagi semangatnya untuk terus menghiburkan peminat pada masa akan datang.







Johan bersama rakan pengacara AMe 2015 Nabil dan Zizan.



"Tanggungjawab saya besar selepas mendapat trofi kemenangan ini kerana saya perlu berusaha keras untuk membuktikan kepada mereka yang mempercayai bakat saya.



"Selain itu ini adalah rezeki anak-anak dan isteri dan segala yang saya lakukan selama ini adalah untuk mereka," katanya.









- Isteri Cermin Johan Lihat Kelemahan Diri

SHARING GOOD

0 Comment to "Isteri Cermin Johan Lihat Kelemahan Diri"

Post a Comment