Tuesday 3 March 2015

Penangan pementasan Mek Mulung





'MEK Mulung: Putera Cahaya Bulan' ... peminat teater tradisional negeri Kedah pastinya sudah sinonim dengan judul ini sementelah ianya seni yang cukup masyur di negeri jelapang padi itu.



Jika dahulu Mek Mulung hanya dipentaskan di balai-balai namun kerana kemasyurannya, teater tradisional yang usianya mencapai 500 tahun ini telah diangkat dan dipilih untuk dipentaskan di pentas berprestij Istana Budaya (IB).



Menerusi kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Grup Teater Akrab dan IB, Mek Mulung: Putera Cahaya Bulan telah dipentaskan selama tiga hari bermula 28 Februari hingga 1 Mac lalu di Panggung Sari Ib.



Mengimbas sejenak pementasan berkenaan, penampilan Arja Lee sebagai Putera Cahaya Bulan di awal pembukaan pementasan malam itu sudah cukup membuatkan penonton tertarik.



Gaya dan lagaknya sebagai Putera Cahaya Bulan dilihat cukup menjadi meskipun anak jati kelahiran Kuala Lumpur ini masih mentah dalam bidang pementasan teater tradisional.

Namun kesungguhannya memainkan peranan berkenaan membuktikan pemilihan menjadi Putera Cahaya Bulan adalah sangat tepat.



Tidak hanya tertumpu kepada Arja Lee, karakter Puteri Nang Mara yang dibawa oleh Shamsun Nadia juga wajar dipuji. Lontara vokal, lenggok tarian dan lakonannya juga berjaya memukau penonton pada malam itu.







Di sebalik kedua teraju utama ini, kehadiran watak Awang Selamat, Awang Pengasuh, Edeng dan Epong paling banyak mencuri tumpuan. Karekter mereka yang lucu dan menghiburkan berjaya membuatkan penonton ketawa sekaligus mendapat tepukan gemuruh.



Tidak kurang penampilan pelakon popular Izreen Azmida, meskipun hanya beberapa minit, namun peranan gadis sengau yang dimainkannya turut mencuit hati.



Secara keseluruhan Mek Mulung: Putera Cahaya Bulan lebih moden berbanding versi asal dengan suntikan elemen lagu-lagu moden seperti Awal Kat Mana nyanyian Taufik Batisah dan beberapa lagu lain yang turut diselitkan menerusi jalan cerita teater ini.



Menariknya, pementasan yang mengambil masa hampir dua jam ini tidak terasa kerana plot yang cukup mantap dan lakonan bersahaja daripada pelakon terlibat.



Sedikit mengenai teater sentuhan pengarah Saipol Bahari dan Zulkarnain Ramli ini, ia berkisarkan Puteri Nang Mara yang bertemu Putera Cahaya Bulan setelah mendapat sebuah mimpi.



Putera Cahaya Bulan kemudiannya meminta Awang Pengasuh dan Awang Selamat mencari Wak Nujum untuk merungkai mimpi tersebut. Barulah beliau mendapat tahu bahawa Raja Gergasi merancang membunuhnya dan mahu menculik Puteri Nang Mara.



Lakonan berkesan, pukau penonton



Mungkin sebelum ini nama Arja Lee lebih dikenali menerusi drama-drama tempatan berbanding bidang seni teater. Namun dia cukup bertuah apabila diberi kepercayaan menjadi Putera Cahaya Bulan menerusi Mek Mulung.



Akui pelakon Ariana Rose ini, dia cukup lega apabila pementasan pertamanya berhasil dan berjaya mendapat respons baik daripada penonton.



"Saya sendiri sangat jauh dengan Mek Mulung, inikan pula sebagai pelakon teater. Kerana itu, dalam masa 10 hari berada di Kedah, saya tidak dibenarkan bertutur seperti biasa dan bercakap loghat Kedah sepenuhnya untuk merealisasikan pementasan ini.



"Bagaimanapun, saya berpuasa hati dan teruja kerana sebagai anak jati Kuala Lumpur, lontaran bahasa Kedah yang dilakukan tidak janggal di telinga penonton," katanya pada sidang media selepas pementasan teater berkenaan Jumaat lalu.



Berkongsi lanjut perasaannya, Arja Lee atau nama sebenarnya Azharudin Ramli memberitahu, apa yang paling mencabar dirinya adalah ketika dia berhadapan dengan watak Awang Selamat, Awang Pengasuh, Edeng dan Epong.



"Mereka ini adalah watak yang paling lucu dan tidak serius dalam pementasan ini. Bayangkan saya sebagai seorang raja terpaksa menelan segala lawak mereka tanpa timbulnya sedikit pun gelak ketawa.



"Pada awalnya memang sukar, tetapi saya tidak sangka sewaktu di pementasan sebenar semuanya berjaya diatasi," jelasnya sering kali tidak dapat menahan tawa ketika sesi latihan diadakan.



Dalam pada itu, bagi Shamsun Nadia, pemilihan berlakon di samping Arja Lee adalah sesuatu yang amat membanggakan.



"Saya sendiri masih baru dalam bidang ini meskipun mendapat didikan dan tunjuk ajar daripada JKKN Kedah.



"Apabila mendapat tahu pementasan ini akan dijayakan IB, memang saya seronok, lebih-lebih lagi dipilih menjadi teraju utama dan berdampingan bersama Arja Lee.



"Walaupun dia seorang pelakon yang dikenali namun, dia tidak lokek ilmu malah mudah memberikan kerjasama," kata pelakon berusia 27 tahun ini.



Ditanya bagaimanakah dia merealisasikan watak Puteri Nang Mara, ujarnya, dia banyak melihat dan membuat kajian menerusi pelakon yang menjayakan watak berkenaan sebelum ini.



"Selain itu, pengarah dan krew-krew juga banyak memberi tunjuk ajar mengenai gaya dan watak tersebut," katanya.



Hairi bawa dua karakter



Berbeza pula dengan pelakon yang mempunyai latar belakang sebagai pelakon teater ini. Walaupun telah menjayakan Mek Mulung sebelum ini, namun dia menjelaskan masih banyak bezanya memandangkan pementasan kali ini diadakan di IB.



Malah, dia juga telah mendapat kepercayaan besar daripada pengarah apabila diberikan dua watak dalam satu masa iaitu sebagai Wak Nujum dan Inang.



"Sebelum ini pementasan hanya dijalankan di balai-balai dan di kampung, sebaliknya pula kali ini. Jadi cabarannya lebih besar daripada apa yang pernah saya lakukan sebelum ini.



"Bahkan saya juga diminta membawakan dua watak yang membuatkan saya perlu menjalankan lebih banyak kajian dan latihan," kata Hairi Safwan.



Bercerita mengenai watak yang dijayakan, kata juara progam realiti Anak Wayang musim pertama ini, menjadi Inang adalah yang paling sukar dilakukan.



"Seperti yang kita tahu, Inang biasanya perempuan, bayangkan apabila saya diminta memainkan watak tersebut, pastinya sesuatu yang berat bagi saya.



"Seorang lelaki menjadi perempuan sangat sukar dilakukan, lebih-lebih lagi saya tidak mahu orang melihat karektor itu sebagai 'pondan' dan menyentuh sensitiviti sesiapa," katanya.



Jelasnya, kerana itu juga, watak tersebut telah ditukar. "Masih dengan gaya seorang Inang, tetapi tidaklah berpakaian perempuan seperti yang diminta sebelum ini.



"Bagaimanapun, ia sama sekali tidak menjejaskan watak tersebut," katanya.





- Penangan pementasan Mek Mulung

SHARING GOOD

0 Comment to "Penangan pementasan Mek Mulung"

Post a Comment