Tuesday 3 March 2015

Stela Band semakin diterima dengan identiti tersendiri





STELA Band barangkali nama baharu yang mungkin agak jarang didengar oleh peminat muzik di Malaysia. Namun buat peminat yang mengikuti perkembangan muzik indie Indonesia, kehadiran grup ini bukanlah asing, malah sudah pun memiliki tapaknya yang tersendiri.



Ditubuhkan sejak 2008, Stela Band yang membawa maksud bintang dalam bahasa Latin ini, aktif menjalani karier mereka menerusi festival-festival muzik di Indonesia.



Kumpulan yang menampilkan vokalis wanita Tita Somawidjaya, Awin Batara (gitar) dan M Ardian (dram) serta Harick Azha (gitar) yang berasal dari Malaysia, bersedia mengembangkan lagi pengaruh mereka di sini.



“Mungkin ramai masih belum mengenali Stela Band di sini, namun kami yakin dengan kelainan yang kami cuba tonjolkan, peminat dapat menerima kami dengan baik.



“Memang nama kami tidaklah sepopular nama-nama besar dari Indonesia, tapi kami bersyukur, masih ada yang menerima kehadiran kami di sini,” ujar Aswin.



Menggalas tanggungjawab sebagai vokalis dan satu-satunya wanita dalam kumpulan itu bukanlah semudah yang disangka.







“Seperti yang kita tahu, seorang vokalis akan lebih dilihat dalam sesebuah kumpulan. Selain daripada imej dan penampilan, seorang vokalis bertanggungjawab menyampaikan lagu dengan vokal yang baik.



“Tambahan pula apa yang membezakan Stela Band dengan kumpulan lain adalah vokal dan muziknya.



“Jadi saya perlu memberikan komitmen yang maksimum kerana inilah identiti Stela Band,” jelas Tita.



Namun, berbeza pula dengan Harick, di mana perjalanan kariernya secara solo bermula dari YouTube.



“Sebenarnya sebelum ini, saya menyanyi secara solo dan keputusan untuk menyertai Stela Band adalah untuk mengembangkan lagi karier saya di Indonesia.



“Ini satu pengalaman dan platform terbaik untuk saya membina nama di sana, tambahan pula Stela Band banyak berkongsi pendapat dan tunjuk ajar.



“Saya tidak rasa rugi malah bersyukur kerana mereka bersetuju memberi ruang kepada saya,” katanya.



'No Chemistry'



Setelah enam bulan mempertaruhkan single pertama mereka No Chemistry di negara ini, Stela Band dilihat mampu meletakkan nama mereka di tempat tersendiri.



“Alhamdulillah, apabila No Chemistry dipilih sebagai single pertama di sini, sambutannya sangat baik.



“Selepas beberapa kali dipromosikan, akhirnya single ini berjaya melayakkan diri di beberapa carta lagu di sini.



“Kami sangat teruja dan ini adalah satu permulaan yang baik buat Stela Band bertapak di Malaysia,” kongsi Aswin.





- Stela Band semakin diterima dengan identiti tersendiri

SHARING GOOD

0 Comment to "Stela Band semakin diterima dengan identiti tersendiri"

Post a Comment