Pengasas produk kecantikan Zarra Sinar Puteri, Datin Zamzarina Zambri (kanan) bersama penyanyi Elizabeth yang menurunkan tandatangan sebagai gimik pelancaran selepas diperkenalkan sebagai duta produk berkenaan, baru-baru ini.
BERMULA sekadar suka-suka, karier Elizabeth Tan yang tercetus hasil rakaman lagu di laman perkongsian video sosial YouTube sekitar tahun 2013 dahulu semakin mendatangkan impak.
Dalam tempoh tidak sampai enam bulan selepas single pertamanya, Knock, Knock bermain di corong radio tempatan, rezeki wanita muda dari Taman Melawati, Kuala Lumpur itu luas terbuka.
Terkini, Elizabeth dilamar menjadi duta produk kecantikan MagicRED keluaran Zarra Sinar Puteri. Menceritakan keterujaannya mengenai pelantikan berkenaan, dia tidak menyangka peluang itu hadir dengan begitu pantas saat kariernya baru hendak menyinar.
“Pada mulanya, pihak syarikat menghubungi saya bagi menyatakan keinginan mereka. Selepas membuat kaji selidik dan berpuas hati dengan produk itu, saya mengambil menandatangani kontrak sebagai duta produk selama setahun.
“Saya harap penglibatan sebagai duta produk kecantikan ini bergerak seiring dengan karier nyanyian,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Universiti Lim Kok Wing, Cyberjaya baru-baru ini.
Mengimbau kembali perjalanannya dalam dunia seni, Elizabeth atau nama sebenarnya Elizabeth Tan Su Mei berkata, segalanya bermula apabila dia menyanyikan semula lagu Havoc dendangan asal Joe Flizzow. Ketika itu, dia baru pulang ke tanah air selepas menamatkan pengajian di sebuah kolej di Texas, Amerika Syarikat.
Video yang dimuat naik pada Disember 2013 itu kemudiannya menjadi viral di media sosial pada awal tahun 2014.
“Selepas tamat belajar di Bible College di Texas, saya merakamkan lagu Havoc sekadar untuk suka-suka. Kebetulan, sewaktu melanjutkan pengajian, saya mengambil major dalam bidang muzik.
“Saya tidak menyangka video itu menjadi viral sehingga dipanggil menghadiri temu bual bersama Joe di stesen radio Fly FM. Joe mengambil gambar bersama saya dan daripada situ khalayak mula mengenali siapa penyanyi dalam video yang tersebar berkenaan.
“Pada Mei 2014, saya bertemu dengan Faizal Tahir dan merakam single pertama berjudul Knock, Knock di bawah syarikatnya, Faithful Music. Lagu itu berjaya menduduki carta Top 10 di semua carta radio seluruh negara,” ujar penyanyi yang baru menjangkau umur 22 tahun itu.
Bakatnya juga dihidu stesen televisyen Indonesia apabila pengurusan tertinggi Net. TV Indonesia yang berpusat di Jakarta menjemputnya untuk mengisi program yang dipanggil Music Everywhere. Pihak stesen berkenaan mengesan bakat Elizabeth setelah menyaksikan klip video Selamat Hari Raya nyanyiannya juga menerusi YouTube.
Kecenderungan anak bongsu daripada tiga beradik itu terhadap dunia muzik sebenarnya bertitik-tolak daripada keluarga.
Menurut Elizabeth, ibu bapa merupakan peminat nombor satunya.
“Bapa merupakan orang yang paling kuat menyokong penglibatan saya dalam bidang muzik. Dia juga banyak berpesan agar tidak melakukan perkara yang tidak senonoh.
“Dalam keluarga kami, abang saya, Andrew Tan juga pernah menyanyi dan dia pernah menyertai pertandingan Malaysia Idol musim pertama dan berjaya menduduki tempat keempat. Sebenarnya kami pernah merakam album keluarga, namun ia hilang entah ke mana,” ujarnya sambil ketawa.
Pendidikan awal yang diterima di Sekolah Kebangsaan Taman Melawati menjadikan Elizabeth petah berbahasa Melayu.
Heroin filem Mamat Khalid
Elizabeth kini lebih bersedia mengharungi dunia hiburan dan berdepan kritikan peminat secara terbuka.
Sambil mengakui, cita-cita asalnya bukanlah menjadi penyanyi, ironinya, dia lebih berminat menceburi dunia lakonan dan pengacaraan.
Melebarkan sayap seninya, wanita tinggi lampai itu mencuba nasib berlakon menerusi sebuah filem komedi berjudul Usop Wilcha Menghonjang Makhluk Muzium. Filem arahan Mamat Khalid itu dijangka menemui penonton menjelang Ogos depan.
Menariknya, dia telah diberi kepercayaan memegang watak utama di dalam filem tersebut.
“Ini kali pertama saya berlakon dan tidak sangka diberi watak utama dalam filem ini. Boleh dikatakan saya sangat berdebar dan setiap sekali selepas penggambaran, saya akan pergi bertanya kepada Mamat Khalid mendapat maklum balas mengenai lakonan saya.
“Saya juga ada mendapat tawaran untuk mengacarakan program televisyen, namun terpaksa ditolak kerana banyak lagi perkara yang dipelajari sebelum berdiri sebagai hos program mana-mana program televisyen,” tuturnya.
Mempunyai kira-kira 160,000 pengikut di laman Instagram, Facebook (91,000) dan Twitter (11,200), Elizabeth mengakui, seronok berkongsi perkembangan karier dan berhubung dengan peminat di laman sosial.
Dia mahu sentiasa positif menerima sebarang teguran dan kritikan peminat.
“Dalam dunia hiburan, artis tidak dapat memuaskan hati semua orang dan saya sentiasa menerima kritikan dan belajar melaluinya. Saya percaya pengalaman merupakan pengajaran paling berharga dan sentiasa positif terhadap kritikan yang diterima,” jelasnya.
Menurut Elizabeth, dia kini merancang untuk menghadiri kelas lakonan bagi menimba ilmu dan mengasah bakat dalam bidang berkenaan.
“Buat masa ini saya juga sedang menunggu pelancaran single kedua yang ditulis dan digubah oleh Faizal Tahir. Lagu itu bakal menemui peminat dalam tempoh dua atau tiga bulan lagi.
“Sebelum pergi ke peringkat lebih jauh, fokus saya ialah mencapai kejayaan tertinggi terutama dalam pasaran muzik Melayu berbanding Inggeris,” tutupnya.
- Tuah Elizabeth Tan
0 Comment to "Tuah Elizabeth Tan"
Post a Comment