Monday 13 April 2015

Gadis biasa pilihan Zizan Razak



ZIZAN memberitahu dia cemburu melihat kebahagian rakan sebayanya yang telah berkeluarga.



Tiada ribut, tiba-tiba sahaja pelawak dan pelakon popular, Zizan Razak, 31, mendedahkan dia bakal menamatkan zaman bujangnya dalam tempoh dua bulan lagi.



Keputusan tersebut mengejutkan banyak pihak kerana ia dilihat terlalu mendadak selepas pelawak itu dilanda kontroversi berpanjangan termasuk kisah putus cinta dengan pelakon, Emma Maembong dan dikaitkan dengan isu kasanova.



Bagaimanapun, menurut Zizan yang dihubungi Kosmo! semalam, keputusannya untuk berkahwin dalam masa terdekat bukan paksaan daripada mana-mana pihak termasuk keluarganya.



“Sebenarnya, semua masih dalam peringkat perbincangan keluarga. Saya tidak boleh sahkan tarikh perkahwinan kerana keluarga belum pergi merisik gadis pilihan saya.



“Jika semuanya berjalan lancar, mungkin saya akan berkahwin dalam masa terdekat. Semuanya bergantung kepada restu serta keputusan ibu dan bapa kerana mereka lebih berpengalaman dan tahu apa yang terbaik untuk anak mereka,” kata Zizan.






Biar menafikan keputusan untuk berkahwin dilihat sebagai jalan terbaik buat pelakon filem Cicakman 3 itu sebagai jalan menutup segala kontroversi panas yang melanda diri, hakikatnya itu yang wujud dalam pemikiran pemerhati yang mengikuti perkembangan sensasi Zizan sejak kebelakangan ini.



Dengan tegas dia menyatakan telah menyimpan hasrat untuk berkahwin pada usia 30 tahun, namun jodohnya bersama Emma tidak panjang setelah mereka putus cinta sekitar Januari lalu.



“Perkahwinan ini bukan untuk selamatkan diri daripada kontroversi sebaliknya, saya sudah merancang untuk menamatkan zaman bujang tahun lepas pada usia 30 tahun.



“Saya lihat rakan sebaya semuanya sudah berkahwin dan bahagia bersama keluarga. Saya juga inginkan perkara yang sama. Jadi, apabila sudah bertemu dengan orang yang tepat, saya tidak mahu tunggu lama kerana bimbang hubungan itu tidak menjadi sekali lagi. Lebih baik saya terus berkahwin daripada bercinta terlalu lama,” ujarnya.



Disoal mengapakah dia memilih gadis biasa sebagai suri hidupnya sedangkan sebelum ini Zizan dikaitkan dengan ramai wanita termasuk selebriti dan juga wanita korporat, ini jawapan Zizan: “Selepas apa yang berlaku, rasanya gadis biasa merupakan pilihan yang tepat untuk saya.”





MESKIPUN hanya berkenalan selama dua bulan, Zizan menyifatkan gadis biasa yang berasal dari Kuala Terengganu itu merupakan orang yang tepat menjadi isterinya.



Apabila diminta bercerita lebih lanjut tentang gadis yang berjaya mencuri hatinya itu, Zizan menyifatkan perkara tersebut terlalu peribadi untuk dikongsi. Cuma katanya, gadis berusia 24 tahun dan berasal dari negeri sama dengan kelahirannya, Kuala Terengganu.



“Saya kenal dia dalam tempoh dua bulan. Memang ia satu tempoh yang singkat tetapi dia merupakan pilihan yang tepat. Bagaimanapun, saya masih menunggu keputusan hasil perbincangan antara keluarga kami terlebih dahulu,” balasnya.



Diasak lagi adakah mereka sempat bercinta dan bagaimana reaksi wanita itu sewaktu diajak berkahwin, Zizan memilih jalan selamat untuk tidak memberi jawapan khusus.



Kata lelaki ini: “Jika sudah mempunyai kemampuan dan cukup umur, kenapa perlu saya tangguh lagi perkahwinan ini? Ia sesuatu yang baik, jadi saya teruskan sahaja.”



Jelas Zizan, bukan tidak mahu berkongsi bersama khalayak tentang cinta terbaharunya, tetapi dia mengambil langkah selamat kerana hubungan tersebut masih berada pada peringkat awal.



“Bukan saya tidak mahu kongsi siapa dia bersama pihak media tetapi rasanya masih terlalu awal. Saya bimbang jika terlalu heboh dan hubungan itu tidak jadi, saya juga yang susah.



“Jadi, lebih baik semuanya sudah jelas barulah saya terbuka untuk berkongsi dengan semua orang,”bicara Zizan.



Disoal tidak bosankah dia menjawab soalan membabitkan cinta berulang kali, Zizan hanya tertawa dan memberitahu bahawa sudah menjadi tanggungjawabnya sebagai selebriti menjawab soalan yang diajukan pihak media.



“Saya tidak bosan, sudah kerja saya sebagai selebriti. Mahu tidak mahu saya harus menjawab semua soalan yang diajukan. Tidak timbul istilah bosan, apabila orang tanya secara baik, saya akan memberikan jawapan. Saya cuma harap peminat doakan yang terbaik untuk saya,” tuturnya.






- Gadis biasa pilihan Zizan Razak

SHARING GOOD

0 Comment to "Gadis biasa pilihan Zizan Razak"

Post a Comment