Tuesday 14 April 2015

Trauma, Awal Ashaari berehat memandu



AWAL mengadakan majlis doa selamat dan kesyukuran bersama anak yatim di Restoran Marhaba, Publika Solaris, Kuala Lumpur, baru-baru ini.



Tanggal 29 Mac lalu merupakan detik yang tidak dapat dilupakan pengacara, Awal Ashaari, 34, sepanjang hidupnya. Tidak menyangka perjalanan menuju ke Melaka bersama rakannya Izuan Mokhtar untuk bersiaran dalam program Melodi di Karnival Jom Heboh, bertukar tragedi apabila kereta BMW 6 Series yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan ngeri.



Kemalangan yang berpunca daripada angin lintang itu berlaku di Kilometer 209.6 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan berdekatan Ayer Keroh, Melaka.



Ibarat mati hidup semula, Awal menyifatkan peluang hidup kedua yang diberi Allah merupakan nikmat terbesar buatnya. Hikmahnya, Awal kini lebih menghargai kehidupan dan orang sekeliling.



“Sewaktu kemalangan berlaku, saya fikir sedang bermimpi kerana pandangan mata gelap. Apa yang kedengaran hanya suara orang sekeliling sedang berusaha membawa saya keluar dari kereta. Saya terdengar orang mengatakan kereta akan meletup.



“Apabila diletakkan di atas rumput, saya tidak berani membuka mata dan takut untuk bergerak kerana bimbang lumpuh. Saya hanya sedar terlibat dengan kemalangan apabila diberitahu oleh orang yang datang membantu. Waktu itu, imbasan wajah isteri, anak, ibu dan keluarga mula bermain di minda.



“Selepas tersedar dan hanya cedera ringan, saya bersyukur. Kemalangan itu secara tidak langsung mengubah pandangan saya tentang kehidupan. Banyak perkara yang saya harus hargai dan nikmati,” luah Awal yang pertama kali berbicara panjang kepada media mengenai kemalangan tersebut.






Menyentuh tentang kesihatannya, beritahu suami kepada pelakon dan pengacara Scha Al-Yahya itu, pada mulanya dia gementar apabila didiagnosis mempunyai tiga kecederaan yang berbeza daripada tiga buah hospital. Sejurus kemalangan, dia dikejarkan ke Hospital Melaka dan di sana diberitahu mengalami pendarahan otak.



Selepas pulang ke Kuala Lumpur, Awal menjalani pemeriksaan kedua di Hospital Prince Court. Doktor mengesan terdapat keretakan pada bahagian atas tulang belakangnya. Bagi mendapat pengesahan lanjut Awal sekali lagi menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Global Doctor, Mont Kiara, Kuala Lumpur. Dia kemudian diberitahu terdapat keretakan pada bahagian tulang ekor.



“Selepas tiga doktor dan tiga hospital, saya tidak berani untuk mendapatkan pendapat yang keempat. Buat masa ini, saya mengalami keretakan tulang pada dua bahagian. Satu pada kawasan atas tulang belakang dan satu lagi pada tulang ekor yang terletak di pinggul. Doktor memaklumkan keretakan itu berlaku akibat hentakan yang saya alami sewaktu kemalangan.





HIKMAH sebalik kemalangan, Awal kini melihat kehidupan daripada sudut yang berbeza. Anaknya, Lara Alana dan isteri, Scha Al-Yahya sumber kekuatannya untuk segera pulih.



Awal bagaimanapun bersyukur kerana katanya, biar mengalami beberapa keretakan pada bahagian tulang, dia tidak mengalami pendarahan otak sebaliknya hanya gegaran otak. Kini, bapa kepada Lara Alana itu dinasihatkan untuk lebih banyak berehat dan memakai bengkung selama 24 jam sehari serta hanya boleh duduk di atas bantal khas.



Dia menambah doktor sendiri tidak dapat memberi tempoh untuk dia pulih sepenuhnya kerana keretakan tulang berkenaan tidak boleh dirawat dengan simen seperti orang patah kaki atau tangan. Awal kini menjalani rawatan fisioterapi dua kali seminggu untuk rawatan tulang.



Pada masa yang sama, kecederaan tersebut juga membataskan pergerakan Awal. Dia tidak boleh mengangkat beban yang berat termasuk mendukung anaknya, Lara.



Trauma akibat kemalangan, Awal memaklumkan dia masih takut untuk memegang stereng kereta.



“Nasib baik ada isteri kerana dia banyak membantu daripada segi emosi dan juga pergerakan harian. Saya mengalami kemurungan selepas kemalangan contohnya, tidak mahu jumpa orang. Doktor yang merawat mengatakan kemurungan perkara yang normal untuk mangsa kemalangan seperti saya.



Naik teksi



“Sejujurnya, sehingga hari ini saya masih tidak berani untuk memandu. Walaupun dipaksa Scha, saya masih trauma dan takut melihat orang memandu dalam keadaan laju. Jika Scha sibuk, saya sanggup naik teksi untuk urusan kerja. Saya ada terfikir untuk mengambil pemandu buat sementara waktu sehingga kesihatan pulih sepenuhnya,” tutur Awal.



Meninggalkan kisah kelam itu, Awal saat ditanya mengenai perjalanan kariernya, memberitahu dia membatalkan semua kerja kecuali program Melodi. Bagi lelaki ini kesihatan lebih utama daripada kerja.



“Saya fikir, semua pihak faham dengan tahap kesihatan saya sekarang ini. Walaupun produksi Melodi memberi cuti, namun, program itu bersiaran hanya satu jam sahaja dan lokasinya dekat dengan kawasan tempat tinggal saya.



“Jadi, saya tidak rasa terbeban untuk meneruskan kerja dengan program Melodi. Kerja yang lain terpaksa saya tangguhkan dahulu. Saya bimbang tidak dapat memberi komitmen seperti yang diharapkan. Lebih baik saya berehat dan keluar bekerja apabila benar-benar pulih sahaja,” katanya lagi.



Sebagai tanda syukur selepas terselamat daripada kemalangan itu, Awal mengadakan majlis doa selamat di Restoran Marhaba, Publika Solaris, yang berlangsung baru-baru ini. Selain dihadiri keluarga, pihak media, terdapat juga kelibat teman rapat pasangan suami isteri berkenaan seperti Dynas, Lisa Surihani serta Yusry.



“Saya dinasihatkan untuk mengadakan kenduri bersama anak yatim dan membuat sujud syukur. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Saya percaya setiap yang berlaku ada hikmahnya.



“Saya lebih mengutamakan keselamatan apabila menaiki kereta contohnya, tidak akan memegang telefon semasa memandu, tidak pandu laju dan wajib memakai tali pinggang keledar. Sekarang saya sedar jalan raya merupakan tempat yang cukup bahaya. Apabila terkena pada diri sendiri, barulah saya faham kepentingan peraturan yang diwujudkan pihak berkuasa,” luah Awal.






- Trauma, Awal Ashaari berehat memandu

SHARING GOOD

0 Comment to "Trauma, Awal Ashaari berehat memandu"

Post a Comment