Thursday, 18 June 2015

Bingkisan rohani Amy Search


TAHUN ini, Amy sekeluarga akan menyambut Aidifitri di Tanah Suci Mekah.

Ada banyak perasaan gembira yang dapat dibaca daripada riak wajah lelaki ini. Dikenali rakyat Malaysia dengan nama komersial Amy Search, vokalis kumpulan rock legenda negara itu sedang teruja berbicara tentang Ramadan. Ada banyak cerita Ramadan yang ingin dibicarakan Amy.

Beliau malah menyifatkan, berbanding 11 bulan dalam setahun, kehadiran Ramadan membangkitkan ghairah dan rasa tersendiri. Setiap kali tibanya Ramadan, beliau akan lebih bersemangat.

“Momen menyambut Ramadan itu lain. Saya selalu teruja apabila dapat menikmati bulan ini sekali lagi,” begitu kata Amy sambil tersenyum bahagia.

Melanjutkan bicara, Amy memberitahu, beliau memang sentiasa menantikan Ramadan. Beberapa hari sebelum Ramadan, beliau sudah mempersiapkan diri untuk menyambut bulan mulia tersebut. Kediaman sudah dibersihkan, kurma dan air zam zam yang menjadi menu wajib untuk hidangan berbuka puasa juga telah tersedia.

“Jujur dikatakan, berbanding Syawal, saya lebih teruja menanti Ramadan. Persiapan yang dilakukan juga berbeza. Perkara paling penting adalah memastikan tahap kesihatan tubuh badan terjaga agar saya mampu melunaskan solat tarawih sepanjang bulan ini. Itu yang menjadi kepentingan saya. Sebab itu sejak beberapa tahun lalu, saya sudah menolak untuk terbabit dengan sebarang acara atau majlis pada bulan puasa agar mempunyai ruang untuk beribadat,” katanya yang bagaimanapun masih menerima jemputan berbuka puasa bersama anak-anak yatim.


Selain teruja masih berpeluang menyambut Ramadan, Amy juga gembira kerana keinginannya muncul dengan alunan Asma Ul Husna akhirnya terlaksana. Impian tersebut ironinya telah tertanam sejak tiga tahun lalu, namun kerana beberapa kekangan, ia terpendam begitu sahaja. Namun, pertemuan dengan penyanyi Yasin Sulaiman yang menjadi rakan kolaborasinya untuk lagu Takbir Cinta sekitar dua tahun lalu telah membenihkan semula impian tersebut. Maka, terlaksanalah projek kerohanian berkenaan pada tahun ini.

Akui Amy, tiada niat di hati memberi ‘cermin kebaikan’ dirinya kepada khalayak apabila menghasilkan single tersebut. Sebaliknya, selain mengakui projek tersebut lebih bersifat peribadi, beliau sendiri mahu mendapat sedikit pahala dengan berkongsi pengisian kerohanian seumpama itu.

“Saya sudah lama mahu menghasilkan untaian Asma Ul Husna secara komersial, namun selalu terkandas. Cuma, tahun ini barangkali baru diizinkan-Nya, saya berjaya merealisasikan impian tersebut.

“Berbanding menyanyi, saya begitu gemuruh saat mengalunkan Asma Ul Husna. Selain bimbang sebutannya silap, saya mahu mengalunkan nama-nama Allah S.W.T dengan cukup baik dan teliti. Terima kasih buat Yasin yang banyak membantu dan menjaga sebutan saya agar ia benar-benar tepat,” katanya yang teruja apabila alunan Asma Ul Husna tersebut sudah mula diputarkan stesen radio tempatan.

Ditanya, adakah selepas untaian indah tersebut diterima baik kelak, khalayak akan menyaksikan Amy mula beralih arah mengalunkan irama kerohanian, Amy hanya tersenyum. Sambil membetulkan duduk, beliau kemudian menyedarkan khalayak, biarpun selama ini genre muzik rock sinonim dengan dirinya, ironi pengisian lirik yang dihasilkan banyak bersifat kerohanian.

Sekadar menyebut beberapa lagu dendangan yang hit seperti Teguh, Meniti Titian Usang dan Mentari Merah Di Ufuk Timur, karya-karya tersebut sudah diisi dengan ‘peringatan’ untuk semua pendengar. Hanya kata Amy, kerana ia tidak berbaur ‘Arab’, maka ramai yang terlepas pandang mengenai pengisian kerohanian dalam kebanyakan lagu-lagu Search.


AMY berterima kasih kepada Yasin Sulaiman kerana banyak membantu dan menjaga sebutannya selama mendendangkan untaian Asma Ul Husna.

“Saya kira sejak dahulu Search memang sudah terkenal dengan lagu-lagu kerohanian, hanya penyampaian daripada segi muzik membuat khalayak lupa tentang fakta itu. Justeru, jika menjawab persoalan, adakah saya akan menghasilkan lebih banyak lagu kerohanian, jawapannya, ya. Namun, itu tidak bermakna saya akan menghasilkannya dalam naskhah kerohanian sahaja.

“Secara jujur, perasaan teruja dan sayu lebih dekat untuk dirasai apabila album atau untaian kerohanian dihasilkan pada bulan Ramadan. Jadi saya ingin menghasilkan lagu seumpama Asma Ul Husna lagi pada masa akan datang. Saya akan menjadikan ia sebagai projek khas Ramadan saya,” katanya yang pernah mengalunkan azan solat lima waktu untuk siaran Astro Oasis beberapa tahun lalu.

Berbicara mengenai projek Ramadannya lagi, Amy terus tersenyum bahagia. Suaranya perlahan, tetapi seperti ada pesta bunga api di dalam hatinya mengenai sebuah rezeki yang diterima baru-baru ini.

Umrah

Amy dipelawa sebuah agensi iaitu Raz Global Ventures untuk membawanya menunaikan umrah. Memang bukan kali pertama dijemput menjadi tetamu Allah, namun pemergiannya pada kali ini berbeza kerana ia terjadi pada bulan Ramadan. Menambah bonus kepada pemergiannya kali ini, beliau buat pertama kali akan menyambut Aidilfitri di perantauan dan paling bermakna, perjalanan itu disertai oleh isterinya, Norish dan tiga anak mereka, Alexender Zulkarnain, Sania Samara dan Qaqa At-Tameemi.

Bakal bertolak ke Mekah pada 10 Ramadan terakhir dan pulang ke tanah air pada Aidilfitri kedua (7 hingga 18 Julai 2015), peluang keemasan seumpama itu telah lama dinantikannya. Beliau mahu punya pengalaman menunaikan umrah sewaktu menjalani ibadat puasa bagi menguji keimanannya.

“Saya bawa semua ahli keluarga menunaikan umrah, sekali gus menjalani ibadat puasa di sana. Kami hanya akan pulang ke Malaysia pada hari raya kedua nanti. Sungguh, saya teruja dan harap impian ini dipermudahkan,” katanya.

Menariknya, Amy turut mengajak umat Islam yang berminat menunaikan umrah untuk mengikuti pakej umrah yang digelar Meniti Titian Ramadan itu. Bagi sesiapa yang berminat mengikuti rombongan umrah tersebut dengan harga sekitar RM9,000, boleh hubungi Azma di talian 010-903 0513 atau Haji Azman, 013-235 6304.

Tidak hanya soal Asma Ul Husna dan umrah, Ramadan tahun ini juga membuka jalan perniagaan buat Amy. Buat julung-julung kalinya, beliau muncul dengan produk jubah dan songkok yang digelar Jubah Phewitt dan Songkok Maulana.

Dijual di butik Rumibyrumi di Publika, Petaling Jaya, Selangor, produk berkenaan sebenarnya memberi peluang buat peminat Amy menikmati fesyen yang sering digayakan oleh vokalis berusia 57 tahun itu. Memang terkenal sebagai penyanyi yang mempunyai selera fesyen menarik, jubah dan songkok jenama Amy sebenarnya sudah mula digayakan sejak beberapa tahun lalu.

“Sebenarnya jubah dan songkok yang dijual bukan direka khas oleh saya. Sebaliknya, sejak bertahun lalu saya memang sering memakai jubah dan songkok yang sama setiap kali solat, jadi banyak peminat yang mula bertanya dan mahukannya.

“Justeru, pada tahun ini saya mula menjualkan dalam kuantiti terhad khas untuk peminat yang berminat. Harga untuk Jubah Phewitt ini sekitar RM180, manakala Songkok Maulana pula pada harga RM15,” jelas Amy.

- Bingkisan rohani Amy Search

SHARING GOOD

0 Comment to "Bingkisan rohani Amy Search"

Post a Comment