Thursday, 18 June 2015

Nabila Huda cuti berlakon sebulan


SELEPAS sebulan berpisah kerana urusan kerja, Nabila mahu menghabiskan masa sebulan Ramadan bersama anaknya, Keisha.

Menyambut Ramadan pertama pada hari ini, pemenang anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Drama), Anugerah Skrin 2014, Nabila Huda mempunyai jadual yang cukup berbeza. Buat pertama kalinya selepas hampir 13 tahun menjadi pelakon, pada Ramadan kali ini, dia tidak mengambil sebarang tawaran berlakon. Ia, merupakan situasi yang cukup berbeza berbanding beberapa tahun kebelakangan apabila Nabila tidak pernah berenggang dengan lokasi penggambaran walaupun pada bulan puasa.

Kata Nabila, tahun ini dia membuat keputusan untuk menjalani kehidupan normal dan tidak mahu terkejar-kejar ke lokasi penggambaran. Dia mahu menghabiskan kualiti masa bersama anak kesayangan, Keisha Laila, 6, selepas meninggalkan puteri sulungnya selama sebulan baru-baru ini.

Teruja berkongsi kisah Ramadan dan kembaranya ke 13 buah bandar di benua Eropah, Nabila yang dicuit mengenai kritikan peminat terhadap penampilan seksi dan sikap terbukanya di Instagram, enggan memanjangkan cerita tersebut. Sebaliknya, wanita berusia 32 tahun itu melontarkan satu penyataan: “Saya sudah maafkan semua orang yang bercakap buruk tentang saya. Tidak mengapa.”


Artis Meletop!: Bagaimana rasanya apabila Nabila meninggalkan Keisha untuk tempoh yang agak lama iaitu sebulan, baru-baru ini?

NABILA HUDA: Saya tidak meninggalkan dia (Keisha) tanpa tujuan, sebaliknya menjalani sesi penggambaran sebuah rancangan berbentuk permainan (game show) bertajuk Awak kat Mana? Menerusi rancangan tersebut, saya menggalas tanggungjawab sebagai pengacara selain perlu menjelajah sekitar 13 buah bandar di benua Eropah.

Pada minggu pertama hingga kedua sesi penggambaran saya ada menghubungi Keisha, namun perasaan rindu itu semakin membuak-buak sehingga kadangkala agak menganggu urusan kerja. Meskipun kami boleh berkomunikasi menggunakan aplikasi Skype, saya tetap kuatkan hati untuk tidak terus menghubunginya kerana bimbang tidak dapat menahan perasaan rindu.

Bagaimana saya ingin terus bekerja jika terlalu rindukan Keisha? Setiap kali kami berhubung menerusi Skype, saya pasti akan menangis dan pada keesokannya, mood untuk bekerja, tiada. Jadi, lebih baik saya fokus kerja sehingga pulang ke Malaysia dan barulah habiskan masa dengannya.

Apakah yang membuatkan anda menerima tawaran tersebut?

Saya memang gemar mengembara ke serata dunia. Apabila diberi peluang menjadi pengacara rancangan seperti ini, pastinya saya tidak akan melepaskan peluang berkenaan. Sementelah, sejak dahulu saya menanam impian untuk mengelilingi seluruh dunia sementara usia masih muda, jadi peluang yang diberikan ini tidak disia-siakan.

Bagaimanakah dengan aktiviti Ramadan anda pada tahun ini?

Tahun ini buat pertama kalinya selepas hampir 13 tahun bergelar anak seni, saya akan menghadkan aktiviti lakonan. Dalam kata lain, saya tidak mahu menerima sebarang tawaran berlakon sepanjang bulan puasa. Saya hanya akan terlibat dengan beberapa aktiviti bersama pihak Skinfiniti memandangkan saya bertindak selaku duta produk tersebut. Selebihnya, berilah saya peluang untuk menghabiskan masa dengan keluarga dan menjalani ibadah puasa dengan lebih tenang. Saya juga ingin menjalani kehidupan seperti orang lain yang akan ke bazar Ramadan membeli juadah berbuka, berbanding bertungkus lumus di set penggambaran.

Adakah anda akan menghadkan aktiviti lakonan pada bulan Syawal nanti?

Tidak. Sekitar minggu pertama atau kedua raya, saya akan kembali semula bekerja untuk menjalani sebuah penggambaran naskhah arahan Erma Fatima berjudul Balqis.

Sedikit mengenai kehidupan peribadi, menerusi aplikasi Instagram, anda telah dikritik oleh peminat kerana dikatakan berpakaian terlalu seksi sewaktu menghadiri sebuah majlis. Bagaimanakah penerimaan anda terhadap isu tersebut?

Sejujurnya, saya lebih selesa untuk tidak bercerita mengenai soal peribadi ketika ini. Bagi saya, isu itu tidak perlu diperbesar-besarkan. Sementelah, tidak ada apa yang perlu diulas, sebaliknya memaafkan individu tersebut termasuk semua pihak yang cuba memburukkan saya. Gambar tersebut diambil dalam sebuah majlis yang dihadiri barisan pelakon hebat dari seluruh negara Asia. Tujuannya adalah untuk berkongsi dengan peminat tentang apa yang kami lakukan. Itu sahaja.

Ekoran kejadian tersebut, adakah anda berasa serik untuk berkongsi gambar dengan peminat?

Tidak. Seperti yang saya katakan, perkara itu tidak perlu diperbesarkan. Saya tetap akan memuat naik gambar, namun ia bergantung kepada keadaan. Jika saya rasa perlu, pasti gambar itu akan dikongsikan dengan peminat. Apa pun saya telah maafkan semua orang yang mengkritik saya.

- Nabila Huda cuti berlakon sebulan

SHARING GOOD

0 Comment to "Nabila Huda cuti berlakon sebulan"

Post a Comment