BLACK mengaku seronok menjadi bapa selepas kelahiran Khaleef yang kini berusia lima bulan.
MENJADI impian setiap pasangan suami isteri untuk dikurniakan zuriat setelah sah diijabkabulkan sekali gus menjadi penyeri dan cahaya baharu dalam kelangsungan hidup berumah tangga.
Bagi penyanyi Black Hanafiah dan isteri tersayang, Cira atau Naquia Yasirah Mohamad Khairi, 30, perkara tersebut telah selamat dijalani mereka dan tiada apa yang lebih penting buat masa ini selain membesarkan putera sulung, Khaleef Dayyan Hanifah dengan sebaik mungkin.
Black memberitahu, dia kini berasa gembira dengan kehadiran orang baharu dalam hidupnya sejak lima bulan lalu di samping cintanya terhadap isteri tersayang yang terus mekar mewangi dari hari ke hari.
“Alhamdulillah, Khaleef sekarang sudah berusia lima bulan. Saya boleh katakan hidup sekarang sudah menghampiri tahap sempurna kerana kini adalah seorang suami dan seorang bapa.
“Tiada apa yang saya harapkan selain anak sulung ini membesar dengan baik. Menjadi insan yang berguna kepada bangsa, agama dan negara. Insya-Allah,” katanya ketika ditemui usai majlis cukur jambul dan akikah anaknya, Khaleef Dayyan Hanifah di Dewan Mahligai Indah, Selangor minggu lalu.
Pertama kali bergelar bapa, Black atau nama sebenarnya Hanifah Md. Hanafiah mendedahkan, dia sanggup korbankan apa sahaja untuk keselesaan dan kebahagiaan anaknya itu.
“Saya ingat lagi sewaktu Khaleef dilahirkan. Saya yang mengambil tugas memandikannya setiap hari. Saya tidak bagi isteri lakukan hal itu kerana dia masih dalam pantang.
“Selepas Cira beransur pulih, kami bergilir-gilir menjaga Khaleef walaupun terpaksa bersengkang mata sehingga lewat malam.
“Alhamdulillah, Khaleef tidak banyak kerenah. Saya dan Cira tidak pernah rasa terbeban walaupun ini merupakan pengalaman pertama kami sebagai ibu dan bapa,” ujarnya teruja.
Dalam pada itu, Black turut memberitahu, dia ada bertanya kepada rakan artis seperti Tomok dalam perihal menjaga anak.
“Cira rapat dengan Ayu (Isteri Tomok). Kadang kala saya lihat mereka seperti pasangan kekasih kerana setiap malam mereka akan berborak dan bertukar cerita mengenai anak (ketawa).
“Tiada salah mengambil contoh daripada mereka yang lebih berpengalaman asalkan ia perkara yang baik. Tomok dan isteri banyak memberi tips dan nasihat kepada saya dan Cira yang masih baru dalam hal menguruskan anak ini,” ujar Black yang merupakan juara pertandingan realiti televisyen, Mentor musim ketiga.
Tiada orang gaji
Bercakap lebih lanjut mengenai urusan membesarkan anak tersayang, Black dan isteri sepakat untuk tidak mengupah orang gaji bagi menjaga Khaleef ketika ketiadaan mereka di rumah.
“Secara jujurnya, saya tidak pernah mempunyai niat untuk mempunyai orang gaji. Saya rasa adalah lebih baik jika Khaleef dibesarkan dengan tangan saya dan isteri.
“Dengan kes-kes dera berkaitan kanak-kanak di dada-dada akhbar, saya tidak berani untuk melepaskan Khaleef ke tangan orang lain.
“Barangkali selepas Khaleef sudah besar sedikit dan komitmen kerja kami berkurang, saya akan pertimbangkan untuk mengupah orang gaji. Buat masa sekarang, kami masih mampu menjaga sahaja dia,” jelas pelantun suara lagu Teman Pengganti ini.
Ditanya lebih lanjut mengenai keadaan anak sulungnya itu, Black mendedahkan, dia bersikap tegas dalam hal penjagaan anaknya itu.
“Khaleef memang tidak suka tidur dibuai. Dia lebih suka didukung dan didodoikan sehingga terlelap mata (tidur).
“Saya mahu dia (Khaleef) faham erti hidup yang sebenar dalam tempoh dia dibesarkan. Saya tidak mahu dia selasa hidup dalam kesenangan dan kekayaan. Saya mahu dia lalui kesusahan agar dia menjadi insan yang kuat apabila dia besar nanti. Insya-Allah,” jelasnya dalam nada serius.
Black akui, pengalaman hidupnya sebelum bergelar anak seni banyak memberi peringatan bahawa hidup memerlukan usaha yang tinggi bagi mencapai apa yang dihajatkan dalam hidup.
“Sebelum jadi artis, banyak kesusahan yang saya lalui untuk sampai ke tahap sekarang. Oleh itu, saya ada berpesan kepada Cira supaya jangan dimanjakan sangat Khaleef supaya dia menjadi manusia yang tabah hati,” tambahnya lagi.
Sedia maafkan
Ditanya soal individu tidak bertanggungjawab yang melemparkan kata-kata kurang sopan kepada Khaleef rentetan tindakan Black berkongsi gambar anaknya itu di laman Instagram miliknya beberapa bulan lalu, Black tidak mahu memperbesarkan perkara itu lagi.
“Saya hanya minta orang yang memberi komen sedemikian tampil ke depan minta maaf secara terbuka atau lagi berani, jumpa saya depan-depan.
“Bapa mana yang tidak marah apabila anaknya yang baru lahir disamakan dengan binatang? Tapi, sekarang saya bersikap rasional bergantung kepada kerelaan individu tersebut untuk melakukan permohonan maaf terbuka.
“Kalau dia berasa berat untuk berbuat demikian, Saya tiada pilihan lain. Saya serahkan segalanya kepada peguam untuk tindakan lebih lanjut,” katanya tegas.
Menurut Black lagi, tujuannya mendesak individu tersebut untuk membuat permohonan maaf secara terbuka adalah untuk memberi pengajaran kepada orang lain agar tidak melakukan perkara yang sama pada masa hadapan.
“Saya ada terima mesej menerusi WhatsApp isteri yang menyatakan individu tersebut cuba memohon maaf secara tertutup tetapi saya tidak mahu maafkan.
“Sekarang saya bertambah marah kerana dia menipu orang ramai dan memburukkan nama saya kerana orang mempersoalkan kenapa saya tidak mahu maafkan dia,” luahknya kesal.
Terdahulu, Black membuat laporan polis selepas seorang pengikut Instagram miliknya menggelarkan anak dia yang lahir pada Jnauari lalu dengan panggilan beruk.
Kemudian penyanyi itu turut mendedahkan individu tersebut merupakan seorang pelajar universiti.
Individu tersebut yang merupakan seorang lelaki digesa untuk membuat permohonan maaf secara terbuka namun telah memanipulasikan keadaan.
Kondisi diri dan arus seni
Berkongsi cerita mengenai kesihatannya, Black memberitahu, baru-baru ini dia pitam ketika sedang sibuk menguruskan majlis untuk anaknya itu.
“Ketika itu, saya berasa gementar dan jantung saya tiba-tiba berdegup laju. Saya rasa seperti tidak mampu berdiri dan bernafas.
“Pada mulanya, doktor mengesyaki saya sakit jantung. Alhamdulillah, selepas beberapa pemeriksaan lanjutan, saya didapati cuma migrain,” katanya lega.
Dalam perkembangan lain, Black sedang sibuk mempromosikan single terbaharu bertajuk Mana Mungkin dan kini dalam proses penggambaran muzik video lagu itu.
Tambah menarik, Black bakal menjengah pasaran Indonesia apabila lagunya berjudul Sofea Jane direncanakan dipasarkan di republik itu tidak lama lagi.
“Semuanya masih dalam perancangan lagi. Saya berharap semua peminat mendoakan kejayaan dan kebahagiaan saya,” tutur Black menutup bicara.
0 Comment to "Pengalaman pertama Black"
Post a Comment