DEMI menjaga status dirinya yang sudah berkeluarga, pelakon, Aeril Zafril, meletakkan had dalam lakonan melibatkan adegan mesra bersama pelakon wanita.
Tidak melihat syarat yang diletakkan sebagai satu permintaan keterlaluan, Aeril bagaimanapun bersyukur kerana kebanyakan pengarah sudah sedia maklum dan menghormati syarat yang diletakkan itu.
"Kebanyakan produksi yang menawarkan saya bekerja sudah tahu tentang syarat ini. Pengarah juga tahu had yang bagaimana perlu saya lakonkan seperti tidak menayang badan dan mengehadkan adegan berpegang tangan.
“Ada antara pengarah sudah tahu yang adegan mesra bersentuhan dan berpegangan satu cara menunjukkan kemesraan, tetapi dari percakapan dan segi lain juga boleh menimbulkan kemesraan itu,” katanya ketika ditemui Zass baru-baru ini.
Mengulas pula mengenai sokongan peminat dengan perubahan lakonannya itu apabila dahulu dia lebih daring (berani) berbanding kini, Aeril atau nama sebenarnya Suhairil Suhari merasakan peminat lebih sukakan perubahannya yang sekarang.
“Saya rasa peminat suka imej saya kini lebih menjaga pergaulan. Lagipun saya kini perlu lebih berhati-hati melakukan apa sahaja.
“Bagi diri saya pula, ia lebih baik kerana sudah memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga.
“Oleh itu apa sahaja saya buat akan menjadi cermin dan contoh apabila anak-anak saya besar nanti,” katanya.
Berkongsi pula mengenai kemunculan semulanya dalam bidang lakonan setelah berehat seketika setahun lalu, pelakon berusia 27 tahun ini berkata, kini punyai masa untuk berlakon setelah perniagaannya ada yang bantu menguruskannya.
“Dahulu sebab saya berhenti adalah kerana perlu fokus dalam bidang perniagaan pakaian di bawah label WA. Saya tidak mahu buat dua benda dalam satu masa.
“Sekarang apabila perniagaan sudah boleh berjalan sendiri, justeru saya kembali berlakon.
“Selain itu, sebab saya rehat juga kerana perlu membantu isteri menjaga anak kerana ketika itu belum punyai pembantu rumah,” katanya yang kini sedang berlakon untuk drama HidayahMu Ramadan menghiasi bulan Ramadan di slot Samarinda, TV3.
Wawa berubah sikap
Dalam pada itu, umum sedia maklum bahawa isteri Aeril, Wawa Zainal kini sedang hamil anak kedua.
Memasuki usia kandungan enam bulan, Aeril berkata, Wawa banyak berubah sikap sejak hamil dan ada ketikanya mengalami mood yang tidak menentu.
“Kandungan anak kedua ini mood dia tidak menentu. Mengadu tumbuh jerawat di muka dan kurang mahu keluar rumah.
“Ketahanan tubuh Wawa juga agak lemah berbanding kandungan pertama apabila sering tidak sihat,” katanya.
Bagaimanapun, Aeril mengakui isterinya itu tidak terlalu cerewet atau mengidam sesuatu makanan seperti kebiasaan wanita mengandung.
“Alhamdulillah, dia tidak mengidam yang bukan-bukan, kalau ada pun dia tidaklah memaksa untuk saya dapatkan juga makanan itu,” katanya yang turut mendedahkan jantina anak dalam kandungan tersebut adalah perempuan.
0 Comment to "Semakin selektif, Aeril Zafril letak syarat"
Post a Comment