ISTERI Zul, Erna kini hamil dua bulan. Pasangan ini teruja untuk menyambut orang baharu dalam keluarga yang baru dibina pada Februari lalu.
Zul Huzaimy Marzuki beberapa tahun lalu pernah tergolong dalam senarai aktor terhangat di pasaran. Kerja lakonannya bukan hanya mengisi peranan yang diamanahkan ke bahu, bahkan membawa dan memberi inspirasi kepada banyak jiwa yang berkeinginan menjadi pelakon.
Pernah mengungguli trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-21 menerusi filem Wayang, kariernya sebagai pelakon mulai perlahan apabila jiwa seninya mula membenihkan banyak idea di kerusi karyawan sebagai pengarah dan penulis skrip.
Jarang menampakkan kelibat dalam majlis-majlis hiburan, Zul Huzaimy, 36, yang baru empat bulan mengakhiri zaman dudanya dengan wanita bernama Nur Ernawati Mohamad Nor, 27, kini diturunkan rezeki terindah.
Isteri yang dinikahi pada Februari lalu telah disahkan hamil anak pertama. Zul sebelum ini sudah mempunyai seorang anak lelaki bernama Awal Haziq, 9, hasil pernikahan pertamanya.
Berkesempatan bertemu lelaki itu di lokasi penggambaran telefilem Projek Bakar Lemak terbitan Enuja Production, Zul yang bertindak selaku pengarah drama berkenaan bercerita tentang sisi karier dan suami, sesuatu yang jarang dilakukan olehnya sejak melalui kegagalan rumah tangga pertamanya pada 2010.
Artis Meletop!: Difahamkan isteri Zul Huzaimy sedang berbadan dua, adakah anda berdua merancang untuk mempunyai zuriat secepat ini?
ZUL HUZAIMY: Terima kasih, syukur Alhamdulillah takdir kami suami isteri diberi peluang menimang cahaya mata dalam masa singkat apabila Erna (nama panggilan isteri Zul) disahkan hamil dua bulan. Namun, sejujurnya memang kami tidak merancang apa-apa. Ini semua rezeki dan saya semestinya amat gembira kerana anak merupakan harta paling bernilai di atas dunia. Orang tidak akan bertanya sebanyak mana duit di dalam bank, sebaliknya akan bercerita berapa ramai anak yang kita ada (ketawa).
Bagaimana keadaan Erna sepanjang peringkat awal kehamilan?
Ketika mula-mula disahkan hamil, dia memang mengalami alahan yang teruk seperti muntah-muntah dan pening kepala. Bagaimanapun, sekarang alahannya semakin berkurangan, cuma dia gemar membuat kerja rumah sendiri. Sewaktu kami baru berpindah rumah, dia mengangkat barang-barang seorang diri tanpa bantuan. Sekarang, saya memang melarang dia membuat kerja-kerja berat demi keselamatan kandungan dan dirinya.
Umum tahu kerja seorang pelakon dan pengarah menuntut masa yang panjang di lokasi. Adakah isteri memahami kerjaya anda yang selalu banyak masa di luar rumah?
Dia sangat memahami dan menyokong cinta saya pada industri. Saya bekerja keras bukan untuk orang lain, untuk keluarga juga. Cuma sekarang sejak berbadan dua, jika mempunyai penggambaran di luar kawasan Kuala Lumpur, saya akan menghantar isteri ke rumah ibu mentua di Bangi, Selangor.
Sejak berkahwin, apakah perubahan yang anda nampak pada Erna?
Daripada pandangan seorang suami, saya dapat lihat Erna seorang yang bertanggungjawab, penyayang dan mementingkan keluarga. Dia tahu tugas sebagai seorang isteri dan saya bangga memilikinya sebagai pasangan hidup.
Khabarnya, anda bakal melancarkan satu produk jenama sendiri pada bulan Ramadan ini. Boleh jelaskan lebih lanjut tentang rancangan perniagaan itu?
Ya, insya-Allah saya akan melancarkan jenama baju Melayu tulang belut eksklusif berlabel iNDAH by Zul Huzaimy tidak lama lagi. Selain baju Melayu, saya turut mengeluarkan koleksi lain seperti tudung dan jubah wanita. Ini adalah perniagaan yang diusahakan bersama isteri. Dahulu kami berniaga dalam talian. Ini semua hasil idea isteri. Dia juga yang memberi cadangan untuk kami bekerjasama di bawah satu label. Buat masa sekarang, sebarang urusan akan dikendalikan di dalam talian dahulu.
Adakah anda masih aktif berlakon atau sudah memperlahankan kerjaya sebagai seorang aktor?
Saya masih berlakon seperti biasa jika ada tawaran.Cuma kini, lebih tertumpu kepada bidang pengarahan kerana sebelum terjebak menjadi seorang pelakon, niat saya memang mahu menjadi pengarah. Namun sebelum itu, saya perlu timba pengalaman menjadi pelakon, barulah saya faham situasi kedua-dua lapangan.
Apa perbezaan menjadi seorang pelakon dengan pengarah?
Banyak bezanya. Contohnya, kehadiran di set penggambaran. Apabila menjadi seorang pelakon, saya akan datang mengikut babak yang melibatkan kerja saya sahaja. Namun, apabila saya memegang tanggungjawab seorang pengarah, saya kena berada di lokasi sepanjang penggambaran. Begitu juga dengan proses suntingan, saya terlibat sepenuhnya bagi memastikan semuanya berjalan lancar.
Boleh ceritakan sedikit tentang telefilem Projek Bakar Lemak ini?
Ceritanya santai dan tidak berat kerana ia berbentuk komedi. Ia mengenai Abam yang mahu menguruskan badan sebelum tibanya hari raya. Insya-Allah, drama ini akan ditayangkan di RTM pada Hari Raya Aidilfitri ini. Ia dibintangi oleh Abam Bocey, Julia Ziegler dan Siti Chubby. Ini bukan kali pertama saya bekerjasama dengan pihak Enuja Production dan setakat ini, semuanya mengikut jadual kerana pelakon memberi komitmen 100 peratus. Saya turut terlibat menjayakan watak sampingan atas permintaan penerbit, Zainuddin Mohd. Ismail.
0 Comment to "Rezeki baharu Zul Huzaimy"
Post a Comment