Sunday, 12 July 2015

Amelina 15 tahun menahan rindu



PENYANYI yang suatu ketika dahulu digelar Ratu Dangdut bersyukur kerana kemunculan kembali ke dunia seni masih diterima peminat.

“Sungguh ku tak mampu, menahan rindu, pabila diriku, jauh darimu.” Bait-bait lagu Rindu nyanyian Amelina itu bagaikan refleksi kepada dirinya apabila buat pertama kali pulang ke kampung halaman menyambut lebaran selepas 15 tahun menghilangkan diri tanpa khabar berita daripada keluarga dan radar seni tempatan.

Figura yang terkenal dengan gelaran Ratu Dangdut itu meluahkan rasa rindu yang menebal selepas lebih sedekad tidak beraya bersama keluarga tersayang.

Barangkali ada yang menebak soalan kenapa dan mengapa penyanyi yang terkenal menerusi lagu Asyik itu menghilang dan membawa diri.

Ketika diajukan soalan tentang peribadinya yang kurang diketahui selepas mendirikan rumah tangga, Amelina lebih selesa mengambil pendekatan menoktahkan persoalan tersebut.

Bukan mahu melarikan diri apatah lagi menidakkan realiti, tetapi bagi penyanyi berusia 41 tahun itu lebih manis jika kisah-kisah silamnya dikunci kemas di dalam diari hatinya sendiri.

Bicara wanita kelahiran Jelebu, Negeri Sembilan itu kehidupan lalu sudah lama ditinggalkan, sebaliknya kini dia lebih cenderung menyusun agenda masa depan yang lebih baik dan memberi tumpuan kepada kebahagiaan enam orang anaknya.

Kata Amelina, memandangkan tahun ini menyambut lebaran bersama keluarga, maka dia akan mengisi peluang tersebut sebaik mungkin bagi menebus kerinduan yang membungkam jiwa.


“Tahun ini merupakan tahun istimewa buat saya dan anak-anak kerana akan menyambut Aidilfitri buat kali pertama di rumah keluarga yang terletak di Kampung Lambar, Labu, Negeri Sembilan.

“Sejujurnya saya sangat merindui momen-momen indah menyambut hari raya ketika zaman muda. Terlalu banyak kenangan manis yang masih segar dalam ingatan walaupun sudah 15 tahun tidak pulang beraya,” tuturnya memulakan bicara.

Tambah Amelina, lebaran tahun ini juga memberi makna yang berbeza buat dirinya kerana kemunculan semula bergelar penyanyi.

“Jika sebelum ini lebaran saya hanya di samping anak-anak, tetapi Aidilfitri pada kali ini keseronokannya berganda apabila berpeluang meraikannya bersama keluarga dan saudara-mara.

“Tahun ini, saya akan melakukan rutin raya bersama keluarga yang sekian lama ditinggalkan seperti memasak juadah raya, menunaikan solat sunat Aidilfitri dan menziarahi pusara arwah ayah,” katanya yang akan pulang ke kampung dua hari sebelum raya.

Bercuti bersama anak-anak

Menyentuh mengenai keluarga, Amelina memberitahu, kehidupannya bahagia bersama enam orang anak. Mereka ialah Puteri Nur Atirah, 13; Putera Al’Affiq, 12; Putera Al’ Asyraff, 11; Puteri Nur Asyurah, 9; Putera Al’ Arffa, 7, dan Putera Al’Amzar, 5, merupakan cahaya mata hasil perkongsian hidup bersama suami, Reduan Mahamood sejak 15 tahun lalu.

Berpeluang bercuti selama seminggu lebaran ini, Amelina memberitahu, dia bercadang membawa anak-anaknya berlibur kerana sudah lama tidak meluangkan masa bersama-sama.

“Sejak mula aktif menyanyi pada awal tahun ini, aktiviti saya bersama anak-anak semakin terbatas. Apabila saya pulang ke rumah lewat malam selepas memenuhi undangan nyanyian, anak-anak pasti sudah tidur.

“Jadi peluang bercuti selama seminggu pada hari raya ini saya merancang mahu membawa mereka ke suatu tempat. Banyak cerita menarik mengenai mereka yang sudah saya terlepas. Saya harap peluang yang ada ini dapat dimanfaatkan dengan sebaik mungkin,” kongsi Amelina.

Ditanya mengenai perihal anak-anaknya, Amelina berkata, dia cukup bertuah kerana dikurniakan anak yang tidak banyak kerenah dan tidak memandang kemewahan.

“Alhamdulillah, mereka semua mendengar kata dan tidak pernah meminta lebih daripada saya. Misalnya, apa yang saya belikan, mereka akan menerima dengan hati terbuka dan memahami bajet saya pada ketika itu.

“Mungkin sejak dahulu lagi saya tidak manjakan mereka dengan kemewahan menyebabkan mereka tidak pernah memberontak,” jelasnya.

Siapa sangka selepas lapan bulan kembali bernafas dalam dunia seni, Amelina semakin mencuri tumpuan peminat dan bakal muncul dengan lagu terbaharu berjudul Cinta Harus Seksi ciptaan komposer Ajai dan penulis lirik Roslen.

Diterima peminat

Kata Amelina, dia bersyukur kerana kehadirannya diterima peminat dan masih ada yang menghargai bakat nyanyiannya.

“Alhamdulillah, sejak kemunculan semula dalam industri seni, masih ada lagi peminat yang menghargai bakat saya. Mereka tidak pernah berhenti menyokong saya.

“Apa yang saya nikmati sekarang sudah cukup memadai kerana niat utama saya kembali dalam industri seni ini adalah untuk mencari rezeki untuk anak-anak. Saya tidak pernah mengharap untuk diagung-agungkan.

“Satu perkara yang membuatkan saya berasa lega sekarang ini adalah penerimaan peminat terhadap single baharu saya berjudul Cinta Harus Seksi. Rata-rata yang mendengar memberikan komentar yang positif terhadap lagu tersebut,” ujar Amelina yang mengakui perasaan takut terhadap keputusannya kembali ke dalam industri sudah mulai hilang.

Diusik dengan soalan, andai kehadirannya kembali semula ke dalam dunia hiburan tidak diterima peminat, Amelina berkata, dia sendiri tidak dapat menduga apa yang berlaku terhadap dirinya kerana semuanya adalah ketentuan Tuhan.

“Sebenarnya saya hanya mengikut apa sudah diaturkan oleh pihak pengurusan, Wake The Baby untuk masa depan karier seni saya.

“Saya ini ibarat ‘lelap mata’ dan berserah kepada Yang Masa Esa apabila mengambil keputusan untuk kembali mewarnai industri.

“Insya-Allah, dengan petunjuk diberikan Allah sewaktu melakukan solat istikarah untuk kembali semula ke dalam dunia hiburan, saya yakin masih ada ruang kepada saya menghiburkan peminat. Lagipun, saya kembali sebab anak-anak, saya mahu mencari rezeki untuk mereka,” tutup Amelina.

- Amelina 15 tahun menahan rindu

SHARING GOOD

0 Comment to "Amelina 15 tahun menahan rindu"

Post a Comment