AZIZ belum bersedia untuk tinggal kekal di Malaysia buat masa ini bagi meneruskan kerjaya seninya.
SIAPA pernah menyangka, video nyanyian yang pada mulanya dimuat naik di laman sosial YouTube untuk dikongsi kepada umum secara suka-suka akhirnya membawa satu perubahan besar dalam diri pemuda bernama Aziz Harun ini.
Hari ini, dia melalui satu fasa baharu dalam hidupnya. Bergelar seorang penyanyi, rutin hariannya juga sudah tidak seperti dahulu. Apa yang pasti, ada pengorbanan besar yang perlu dilakukan anak kelahiran Brunei itu.
Mana tidaknya, ketika namanya menjadi sebutan di negara ini, pemuda berusia 17 tahun itu masih lagi berada di bangku sekolah. Sudah pasti, komitmen yang dihadapinya terhadap pelajaran menjadi perkara utama dalam dia meneruskan keseimbangan karier sebagai penyanyi.
Bukan itu sahaja, faktor jarak juga antara yang sering dipersoalkan kepada artis luar yang membina nama di negara ini, lebih-lebih lagi apabila memikirkan kos yang perlu ditanggung berikutan perlu kerap berulang-alik antara dua negara.
Sungguhpun begitu, masalah itu barangkali tidak dihadapi Aziz. Ini kerana, Aziz boleh dikatakan cukup bertuah apabila ada pihak yang sanggup menanggung kos perjalanannya dalam dia membina nama di negara ini.
“Syarikat penerbangan Royal Brunei berbesar hati menaja tiket penerbangan saya. Jadi, faktor jarak itu tidak menjadi masalah buat saya,” katanya ketika ditemui Sensasi Bintang dalam satu pertemuan sesi fotografi yang diaturkan pihak Warner Music Malaysia baru-baru ini.
Katanya, dengan tajaan yang diberikan itu, secara tidak langsung memudahkan lagi pergerakannya untuk memenuhi jadual aktiviti seni di Malaysia.
Jika rata-rata artis luar yang membina nama membuat keputusan untuk tinggal di Kuala Lumpur, namun ia tidak buat anak didik penyanyi Faizal Tahir itu. Katanya, buat masa sekarang, dia belum terfikir untuk berhijrah ke Kuala Lumpur.
“Memandangkan sekarang saya bercadang untuk menyambung pengajian di peringkat A-Level terlebih dahulu. Jadi, belum terfikir untuk ke arah itu (berhijrah ke Malaysia).
“Insya-Allah, mungkin selepas tamat pengajian nanti, jika ada rezeki baru fikirkan perkara tersebut. Buat masa sekarang, saya tidak ada perancangan untuk berbuat sedemikian,” katanya yang mahu menyambung pengajian dalam bidang ekonomi di peringkat universiti nanti.
Bercakap mengenai persiapan raya, anak bongsu daripada enam beradik ini memberitahu sambutan Aidilfitri merupakan antara perayaan yang sering dinanti-nantikan setiap tahun.
Ini kerana, itu sahaja peluang yang ada buatnya untuk berkumpul beramai-ramai bersama sanak saudara yang lain dalam mengeratkan lagi ikatan ukhwah dalam keluarga.
“Budaya yang menjadi kelaziman adalah berkunjung ke rumah jiran tetangga dan juga kaum keluarga yang lain selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri.
“Lagipun rumah saudara-mara memang berdekatan sahaja. Jadi ia lebih untuk kami berkumpul,” kata penyanyi yang bernaung di bawah syarikat rakaman, Faithful Music itu.
Jika sebelum ini setiap kali lebaran, kata Aziz, dia akan menerima duit raya, tahun ini situasi itu mungkin berbeza. Apatah lagi sudah mempunyai pendapatan, tahun ini dia akan mula memberi duit raya kepada kanak-kanak.
“Tahun lepas masih lagi dapat duit raya memandangkan saya masih lagi belajar. Bagaimanapun, tahun ini saya pula yang perlu menghulur duit raya,” katanya yang memberitahu menu yang menjadi kegemarannya adalah sate.
Dalam perkembangan lain, kata Aziz, dia bakal muncul dengan single terbaharu.
“Kami dalam proses menyiapkan lagu baharu. Lagu itu masih belum ada nama lagi. Cuma apa yang boleh saya kongsikan lagu yang dihasilkan bersama Faizal Tahir itu masih mengekalkan genre yang sama seperti lagu Senyum,” katanya yang memberitahu bakal menerbitkan lagu itu selepas Syawal.
0 Comment to "Aziz Harun ditaja syarikat penerbangan"
Post a Comment