Sunday, 12 July 2015

Famili Wawa beraya di kampung Aeril


WAWA dan suami, Aeril bakal menimang cahaya mata kedua dalam masa terdekat.

Ada rasa teruja yang tidak mampu diselindungkan pasangan sama cantik sama padan, Wawa Zainal dan Aeril Zafrel.

Rasa teruja itu hadir apabila pasangan ini sekali lagi menyambut lebaran ditambah dengan kehadi­ran anak kedua yang dijangkakan lahir pada 25 Ogos ini.

Kala ini, Wawa sedang hamil lapan bulan, namun jika tidak diberitahu mengenai kandungannya pasti ramai yang tidak menyangka pelakon berasal dari Lahad Datu, Sabah itu sedang sarat hamil.

“Wawa mengandung perut sahaja besar, badan tidak naik,” ujar Aeril membuka bicara dan kadangkala butiran percakapannya kedengaran seperti slanga Sabah. Barangkali pengaruh percakapan daripada isteri tersayang.

Sesekali pelakon berasal dari Rengit, Johor itu mengusik Wawa dengan memanggil isterinya itu ‘mak buyung’.

Ternyata pasangan yang pernah mencetuskan kontroversi satu ketika dahulu itu kini sedang bahagia meniti lorong-lorong kebahagiaan.

Aeril dan Wawa pernah mendedahkan mereka sudah bernikah sebanyak dua kali iaitu pada 25 Februari 2012 dan kali kedua pada 4 Februari 2013.

Pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Ahmad Fakharuddin Attar, pada 24 Ogos 2013.


Bakal dipertemukan dengan 1 Syawal dan dikurniakan cahaya mata kedua. Apa persediaan kalian menyambut leba­ran kali ini?

AERIL: Alhamdulillah, tahun ini kami dikurniakan seorang anak perempuan. Persediaan sama seperti sebelum ini. Baju dan biskut raya semua beli, malah rendang juga kami upah orang masakkan. Insya-Allah, pada hari raya kedua kami akan balik kampung saya di Rengit, Johor.

WAWA: Sebenarnya, tahun ini rancang balik raya di Sabah tetapi tidak dapat sebab saya sarat mengandung.

Bagaimana pula dengan persiapan hari raya si kecil, Attar yang bakal menginjak usia dua tahun?

Aeril: Memang persiapan raya lebih pada anak. Kami sudah beli beberapa helai baju dan kasut raya untuk dia.

Wawa: Kami sudah beli baju untuk Attar dalam lima helai termasuk jubah dan baju Melayu. Dalam masa sama kami juga ada buat tempahan baju raya warna sedondon. Malangnya, bila sudah siap saya tidak muat nak pakai sebab sarat mengandung. Terpaksa beli baju lain yang muat dan sedondon dengan Aeril dan Attar.

Ini merupakan tahun ke berapa kalian beraya bersama?

Aeril: Tahun keempat kami beraya bersama.

Wawa: Selama empat tahun itu juga saya tidak dapat balik raya. Ada balik tetapi bukan masa raya. Sepanjang raya memang tidak dapat balik. Aeril memang mahu ke Sabah cuma tiada kesempatan. Bagaimanapun, ibu bapa dan adik-adik selalu datang sini. Tahun ini, keluarga saya akan ikut sekali balik ke kampung Aeril di Johor.

Apakah rutin kalian pada Hari Raya?

Aeril: Pagi raya, saya akan pergi solat sunat Aidilfitri dan selepas itu bermaaf-maafan sesama keluarga. Hari kedua pula, saya akan bawa Wawa dan Attar jalan-jalan. Tahun lepas raya kedua saya bawa mereka ke Legoland, Johor.

Wawa: Salam mohon kemaafan dan beri duit raya.

Apakah keistimewaan sambu­tan raya Attar tahun ini berbanding tahun lalu?

Aeril: Ta­hun lepas kasihan dia tidak dapat main dengan kawan-kawan kerana masih belum pandai berjalan. Jika berjalan pun kena pimpin tangan dia.

Wawa: Raya tahun ini dia sudah boleh berjalan tetapi sejak ‘dapat kaki’ kami pula penat nak kejar dia. Lebih-lebih lagi kalau kami bawa dia ke pusat beli-belah, asyik mahu berlari sahaja.

Pastinya kalian mempunyai juadah yang digemari pada hari raya. Boleh kongsikan.

Aeril: Saya suka makan ketupat dengan rendang daging. Wawa pula sejak mengandung kali kedua gemar makan beras (ketawa).

Wawa: Mengandung kali ini saya suka makan beras mentah. Bila dapat makan rasa puas. Tapi saya tidak berani makan banyak takut rosak gigi. Juadah raya, saya suka bakso dan biskut batang buruk yang terdapat di Sabah. Batang buruk di sini lain rasanya berbanding yang dijual di Sabah.

Boleh kongsikan mengenai kerjaya seni kalian?

Aeril: Selepas raya, saya akan muncul dalam slot Akasia yang berjudul Balqis. Drama arahan Erma Fatima itu turut dibintangi oleh Nabila Huda, Nazim Othman dan Amyra Rosly. Ia cerita tentang kekeluargaan. Pada 30 Julai nanti, filem seram pertama saya iaitu CCTV akan ditayangkan. Saya menerima naskhah tersebut kerana ia bagus. Dalam filem terbitan syarikat produksi Cinemaya Studios Sdn. Bhd. dan Victory Film Production Sdn. Bhd. itu saya bawa watak sebagai Hariri. Agak mencabar juga berlakon buat pertama kalinya dalam filem seram kerana kita kena banyak main ekspresi muka supaya penonton turut merasai situasi seram.

Wawa: Tawaran lakonan masih ada. Cuma, buat masa sekarang saya tidak dapat menerimanya kerana sarat mengandung. Saya hanya fokus pada bisnes baju iaitu WA.Clothing. Insya-Allah, selepas habis pantang nanti saya akan kembali berlakon.

- Famili Wawa beraya di kampung Aeril

SHARING GOOD

0 Comment to "Famili Wawa beraya di kampung Aeril"

Post a Comment