Gara-gara ingin mendapatkan harga murah untuk kerja-kerja mencetak baju dan barangan lain menggunakan jenamanya, pelakon Azwan Kombos ditipu sebuah kilang cetak kemeja-T baru-baru ini.
Azwan, 30, berkata dia kerugian kira-kira RM10,000 apabila tempahan yang dibuat tidak seperti yang dibincangkan, malah rekaan dan material kemeja-T yang diterima juga tidak berkualiti.
"Pada mulanya, saya ada menghantar tempahan di kilang cetak lain dan mereka memberikan kerjasama yang sangat baik. Tetapi apabila mendapat tahu ada kilang yang memberikan harga lebih murah, saya pun ingin cuba tetapi tak sangka pula hasilnya teruk.
Salah satu rekaan jenama LAIN
"Kemeja-T dan topi tidak berkualiti, grafik yang kami sediakan langsung tidak sama dengan yang dicetak dan warna cetakan juga tidak kemas," katanya kepada mStar Online.
Tambah Azwan, insiden tersebut membuatkan dia terpaksa menyimpan stok barangan berkenaan dan tidak mengambil sebarang tempahan bagi mencetak jenama LAIN itu selama sebulan.
Sementara itu, Azwan berkata, insiden tersebut memberi pengajaran besar kepadanya agar lebih berhati-hati dalam berurusan dengan pihak luar agar tidak mudah tertipu dengan harga murah yang diberikan.
"Itulah, silap saya kerana begitu bersungguh-sungguh apabila mendapat kilang cetak yang lebih murah. Tetapi hasilnya, saya terpaksa simpan stok pula kerana kualitinya teruk.
"Satu pengajaran besar buat saya. Mujurlah perkara tersebut tidak menjejaskan perniagaan ini," ujarnya.
Dalam pada itu, Azwan berkata, stok-stok yang disalah cetak itu mungkin akan diedarkan secara percuma menerusi majlis-majlis yang dianjurkan.
0 Comment to "Terpedaya Harga Murah, Azwan Kombos Ditipu Kilang Cetak"
Post a Comment