Monday 3 August 2015

Sarkastik Cara Delevinge makan diri



Nama aktres Cara Delevinge kini menjadi bualan selepas video rakaman dirinya dimalukan oleh pengacara program Good Morning Sacramento, menjadi viral di internet.

Rakaman tersebut menyaksikan temu bual aktres itu bersama tiga orang pengacara program berkenaan iaitu Kenneth Rudulph, Marianne McClary dan Mark Allen mengenai filem terkini lakonannya, Paper Town. Temu bual menjadi tegang selepas salah seorang memanggil Cara dengan panggilan Clara sebelum aktres itu menjawab soalan yang diajukan dengan gurauan yang diambil serius oleh mereka.

Cara ditanya sama ada dia membaca atau tidak novel tulisan John Green yang diadaptasi ke layar lebar itu. Bintang itu kemudian menjawab: “Tidak, saya tidak baca bukunya ataupun skrip filem ini.” Dia bagaimanapun menyambung jawapan tersebut dengan: “Tentulah saya membacanya dan Green merupakan seorang penulis hebat, sesiapa yang belum membaca naskhahnya perlu berbuat demikian.”


Namun, cara model berusia 22 tahun tersebut menjawab soalan yang diajukan dengan sinis telah membuat hos program berkenaan berasa dipermainkan. Berang dengan tindakan kurang sopan Cara, temu bual itu dihentikan. Salah seorang hosnya, Rudulph kemudian mula menyindir Cara melalui laman sosialnya dengan menulis: “Ya, saya patut tanya soalan lebih cerdik. Salah saya.”

McClary pula telah mengambil keputusan memuat naik video temu bual mereka dengan meninggalkan kapsyen berbunyi: “Lihatlah bagaimana artis ini menjalankan temu bual.”

Sedar dirinya menjadi viral kerana tindakan kurang sopannya itu, Cara melalui Twitternya menulis: “Banyak orang tidak faham apa itu sarkastik atau komedi orang British.”

- Sarkastik Cara Delevinge makan diri

SHARING GOOD

0 Comment to "Sarkastik Cara Delevinge makan diri"

Post a Comment