Monday 3 August 2015

Langkah kanan Fakhrul Razi


FAKHRUL merupakan seorang deejay di sebuah stesen radio di Brunei dikenali sebagai Kristal fm.

HARUS diakui bahawa bukan mudah untuk melihat artis kelahiran negara jiran iaitu Brunei melestarikan impian seni terutama sebagai penyanyi profesional di negara ini.

Berbeza nasib penyanyi baharu kelahiran negara tersebut, Fakhrul Razi, yang namanya mula meniti di bibir peminat-peminat setelah single pertamanya Sakit Hati Sampai Mati (SHSM) mula penjadi pilihan peminat terutama di corong-corong radio tempatan.

Berkesempatan bertemu dengan empunya diri dalam satu sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini, Fakhrul yang petah berbicara berkongsi serba sedikit kisah hidupnya sebelum dan selepas berkecimpung dalam bidang seni suara.

“Alhamdulillah, saya begitu bersyukur kerana kedatangan saya ke Malaysia untuk mencuba nasib sebagai penyanyi diterima baik.

“Lagu SHSM membuka nama ramai pihak bahawa terdapat banyak bakat di Brunei serta jiwa yang mahu didengari sebagai penyanyi.

“Brunei sebuah negara yang kecil tetapi rakyatnya berjiwa besar termasuk dalam perihal seni terutama muzik,” ujarnya dengan bersemangat.


Fakhrul turut melahirkan rasa teruja apabila single keduanya, Senyuman Gelapmu mendapat sambutan yang baik dalam kalangan pemerhati serta peminat di Malaysia.

“Saya bekerja keras untuk bertapak di Malaysia sebagai penyanyi. Setakat ini, saya berpuas hati dengan pencapaian dan kejayaan yang dikecapi. Saya yakin rezeki itu ada di mana-mana sebab itu saya berkelana sampai ke Malaysia untuk mengejar impian sebagai penyanyi.

“Syukur kerana single kedua ini mula mendaki carta di corong-corong radio. Saya tidak sangka sambutan di Malaysia sehangat ini. Ia membuatkan saya semakin bersemangat untuk terus bekerja lebih kuat di sini,” ceritanya.

Dalam perkembangan sama, Fakhrul juga diberi peluang meminjamkan suaranya untuk watak Lucas dalam filem Transformers: Age of Extinction versi bahasa Melayu yang ditayangkan di saluran HBO.

“Ia merupakan suatu pengalaman baharu buat diri saya yang masih lagi boleh dikategorikan sebagai ‘hijau’ di sini (Malaysia). Pertama kali diberi peluang untuk meminjamkan suara, ia sangat seronok.

“Di Brunei juga saya banyak terlibat dengan acara-acara korporat sebagai pengacara. Boleh dikatakan saya juga mahu mencuba bidang pengacaraan di Malaysia,” katanya.

Tatkala diajak berbicara soal survival kerjayanya sebagai anak seni di Malaysia, Fakhrul mengatakan, dia tidak pernah mengeluh untuk berulang-alik dari Brunei ke Malaysia semata-mata untuk memenuhi undangan persembahan.

“Tipu kalau cakap saya tidak rindukan keluarga. Namun, menyanyi kini telah menjadi antara punca rezeki utama diri saya. Saya kena terus melangkah ke hadapan.

“Saya masih menerima jemputan persembahan dari Brunei dan juga Malaysia. Saya cuba atur jadual dengan baik dan setakat ini semua dalam keadaan yang terancang,” jelasnya yang menyambut Syawal kali ini di Kuala Lumpur kerana terikat komitmen kerja.

Tambahnya, Aidilfitri bagi dirinya semakin suram sejak kehilangan ibunya yang meninggal dunia pada tahun 2011.

- Langkah kanan Fakhrul Razi

SHARING GOOD

0 Comment to "Langkah kanan Fakhrul Razi"

Post a Comment