Monday 3 August 2015

Kalut bila Remy Ishak kahwin dua


BARISAN pelakon teater MKR, (dari kiri) Dafi, Nad Zainal, Remy Ishak, Jihan Muse dan Atoi.

SETELAH mencipta fenomena tersendiri sekitar dua tahun lalu termasuk mendapat enam pencalonan di Boh Cameronian Awards Edisi ke-11, produksi Mask Team sekali lagi membawakan teater Maduku Kalut Returns (MKR) ke khalayak pada 7 hingga 9 Ogos ini di Panggung Sari, Istana Budaya.

Dibarisi oleh pelakon handalan tanah air seperti Remy Ishak, Jihan Muse, Nad Zainal, Sherry Alhadad, Dafi dan Atoi Tohet, pementasan kali ini menjanjikan kelainan serta kepuasan yang akan diterjemahkan dalam skala lebih unggul berbanding sebelum ini.

Penerbit eksekutifnya, Amer Syafiq memberitahu, pementasan kali ini menjanjikan sesuatu kelainan kepada atmosfera seni teater tanah air selain penceritaan dan pementasan yang lebih segar.

“Bagi saya MKR lebih daripada sebuah pementasan teater. Walaupun ia adalah pementasan teater yang berunsur komedi, ia turut menekankan isu-isu penting yang berlaku dalam kalangan masyarakat di negara ini.

“Selain itu, MKR merupakan simbol survival dan persahabatan yang terjalin antara penggiat seni teater yang rata-rata berada dalam lingkungan usia belia,” katanya pada sidang akhbar teater MKR baru-baru ini.


Tambah menarik, gandingan kali ini menjanjikan kelainan apabila menampilkan Remy sebagai watak utamanya, Selamat.

Kata Remy, pada mulanya dia agak keberatan menerima tawaran berkenaan.

“Sebelum ini untuk pementasan pertama saya ada ditawarkan untuk melakonkan watak Selamat. Cuma ketika itu, jadual saya sangat ketat dan terpaksa menolak tawaran yang diberi.

“Alhamdulillah, untuk pementasan kali ini saya dapat terlibat sama dan tidak sabar untuk beraksi di atas pentas prestij Istana Budaya.

“Kalau boleh mahu kurangkan watak komedi tetapi bila saya lihat naskhah ini, ia satu pembaharuan bagi diri saya dalam bidang teater dan insya-Allah saya akan lakukan yang terbaik,” ujar pelakon drama Nur Kasih tersebut.

Sementara itu, pelakon Nad Zainal melahirkan keterujaannya untuk melakonkan watak Mimi di samping Remy Ishak.

“Sebenarnya, pada mulanya ada beberapa nama pelakon yang dicadangkan untuk melakonkan watak sebagai Selamat dan saya utarakan nama Remy Ishak sendiri.

“Nama dia paling banyak disebut oleh pelakon dan tenaga produksi termasuk diri saya sendiri (ketawa).

“Saya memang minat lakonan Remy dan dapat peluang untuk bekerja dengannya merupakan satu impian yang sudah jadi kenyataan,” ujar Nad sambil mengukir senyuman.

Teater MKR merupakan satu naskhah komedi yang diadaptasi oleh Mazli Abdul Rahaman daripada satu karya yang ditulis oleh Ray Cooner iaitu Run For Your Wife.

Mengisahkan tentang seorang pemandu teksi (Selamat) yang berusaha untuk melarikan diri daripada bertemu dengan kedua-dua orang isterinya iaitu Bibi (Jihan Muse) dan Mimi (Nad Zainal).

Konflik bermula apabila kedua-dua isterinya itu melaporkan kehilangan Selamat kepada pihak polis.

Ironi, Selamat sendiri tidak mahu bertemu dengan kedua-dua isterinya kerana tidak tahan dengan kerenah mereka.

Tiket untuk menyaksikan pementasan teater ini boleh didapati di laman atas talian iaitu www.AirAsiaRedtix.com dengan harga tiket bermula daripada RM35, RM65, RM85, RM105 dan RM155 untuk tiket platinum.

- Kalut bila Remy Ishak kahwin dua

SHARING GOOD

0 Comment to "Kalut bila Remy Ishak kahwin dua"

Post a Comment