Monday 3 August 2015

Shaheizy Sam Nafi buat persediaan kahwin


PADA usia 33 tahun, Shaheizy Sam mengaku mahu berkahwin dan memiliki keluarga sendiri, namun masih belum pasti calon isterinya biarpun rapat dengan pelakon Syatilla Melvin.

KERJAYA seni pelakon Shaheizy Sam meledak pantas selepas membintangi filem Adnan Sempit, sehingga melayakkan dirinya meraih Anugerah Bintang Popular sebanyak tiga kali iaitu pada 2010, 2012 dan 2014.

Mengiringi perjalanan kerjaya bergelar insan seni, pastinya kehidupan lelaki berusia 33 tahun itu tidak lekang dengan usikan nakal dunia hiburan.

Ini termasuklah kisah peribadinya yang dikata sedang asyik dilamun asmara dengan pelakon Syatilla Melvin. Bagaimanapun, ceritera cinta mereka bagai satu teka-teki apabila kedua-dua mengeluarkan kenyataan berbeza.

Jika Syatilla baru-baru ini mengakui bahawa dirinya telah bersedia menggalas tanggungjawab sebagai isteri, sekali gus bergelar suri hidup Sam. Bagaimanapun, aktor itu memilih jalan lebih selamat sewaktu bercakap tentang hubungan mereka.

Mengakui Syatilla merupakan wanita paling rapat dalam hidupnya, Sam tidak mudah melatah saat ditebak soal cinta, sebaliknya bijak menyusun kata ketika ditemui pada majlis Clear’s Party in Black selaku duta kempen Tingkatkan Keyakinan dengan Clear yang berlangsung di ibu kota baru-baru ini.


Artis Meletop!: Bukan satu berita baharu yang mengatakan Shaheizy Sam sedang hangat bercinta dengan pelakon Syatilla Melvin. Sejauh mana hubungan kalian sebenarnya?

SHAHEIZY SAM: Terus terang, saya berkawan dengan semua orang. Dia (Syatilla) memang wanita yang baik dan akrab dengan keluarga saya. Sejujurnya kami telah berkawan hampir enam tahun dan itu membuktikan bahawa saya selesa berkawan dengannya. Namun, pada masa sekarang apa yang boleh diperkatakan hanyalah hubungan kami cukup sekadar teman baik. Soal cinta itu terserah kepada kuasa Allah untuk menentukannya.

Adakah benar spekulasi mengatakan anda telah melakukan persiapan kelengkapan dan barangan untuk hantaran kahwin yang dibeli di luar negara?

Tidak(ketawa). Saya tidak faham bagaimana isu itu boleh timbul kerana yang jelas sehingga ke hari ini segala apa yang dikata adalah dusta. Bagaimana untuk mencari barangan perkahwinan sekiranya calonnya juga tidak ada?

Jadi, bagaimana reaksi apabila Syatilla mengeluarkan kenyataan bahawa dia telah bersedia untuk berkahwin dan bergelar isteri anda?

Seperti yang dikatakan, jodoh itu kuasa Allah. Sejujurnya saya berasa bersyukur dan menerima sekiranya dia jodoh saya. Sekiranya benar dia berasa selesa dengan keluarga saya dan itu adalah niatnya, insya-Allah saya tidak akan dapat lari daripada takdir. Bagi saya, perkara paling penting adalah restu mummy (panggilan buat ibunya, Khaty Fauziah) dan keluarga. Dia perlu selesa dan terima seadanya keluarga saya, begitu juga bagaimana saya menerima keluarga dia.


SYATILLA MELVIN mengaku bersedia menjadi isteri Sam jika jodoh mereka sampai pada bila-bila masa.

Melihat kepada keadaan sekarang, adakah anda sendiri telah bersedia untuk menamatkan zaman bujang?

Perkara itu fitrah manusia (berkahwin) dan lumrah sekiranya dia manusia normal. Keinginan memiliki keluarga sendiri memang ada dalam perancangan hidup saya. Melihat kepada adik-beradik lain yang telah mempunyai anak sendiri, perkara itu sedikit sebanyak membuka niat saya untuk berkahwin. Perasaan untuk memiliki anak sendiri sentiasa wujud saat saya menghabiskan masa dengan anak saudara.

Sebelum ini ibu anda pernah mengeluarkan kenyataan bahawa dia lebih gemarkan wanita bertudung untuk dijadikan menantu. Secara peribadi apa pendapat anda?

Saya juga sukakan wanita bertudung(ketawa). Bagi saya mereka lebih cantik, namun perlu selari dengan niat kerana bertudung adalah salah satu tuntutan agama dan bukan perkara suka-suka.

Namun, siapa saya untuk menilai orang. Seperti yang dikatakan, saya sangat mementingkan pendapat mummy dan menyerahkan keputusan 100 peratus di tangannya. Jika mummy mempunyai calon sendiri dan itu adalah jodoh saya, insya-Allah perkara baik pasti akan berlaku suatu hari nanti.

Melihat kepada fesyen potongan rambut Syatilla yang kini telah berambut pendek, ada segelintir pihak mengatakan tindakannya memotong rambut kerana telah putus cinta. Sebagai rakan baik apa pendapat anda mengenai imej baharunya itu?

Cantik, menarik dan saya suka. Namun, tujuan mengapa dia memotong rambut adalah lebih baik bertanya sendiri pada tuan punya badan. Saya tidak berani komen sama ada ia salah satu tanda protes atau apa tetapi lebih baik bertanya sendiri pada dia.

- Shaheizy Sam Nafi buat persediaan kahwin

SHARING GOOD

0 Comment to "Shaheizy Sam Nafi buat persediaan kahwin"

Post a Comment