Sunday 20 September 2015

Aliff, Nas Adila akhirnya ke jinjang pelamin



MENYUSULI pasangan Akademi Fantasia, Khai dan Rosma, Yazer dan Ikin, Rich dan Velvet kini Aliff Razali dan Nas Adila pula bakal menamatkan zaman bujang mereka bersama.

Benarlah bahawa rencana ALLAH itu lebih pasti. Sebagaimana pasangan bercinta yang lain, dua hati ini pernah diuji dengan pelbagai kisah suka duka dalam percintaan, akhirnya sepakat untuk bersatu dalam ikatan yang lebih bermakna.

“Alhamdulillah, setelah tiga tahun bercinta, jodoh itu milik kami jua. Walau pun pernah putus sekejap dan sambung balik, tapi kami bersyukur dengan apa yang berlaku kerana pengalaman lepas banyak mengajar kami untuk lebih matang dalam perhubungan,” kata Nas kepada Zass.

Penghujung 2013, pasangan yang menyulam cinta sejak 2012 ini tiba-tiba sahaja diuji dengan gosip percintaan antara Nas dengan seseorang yang mempunyai nama besar dalam industri.

“Semua itu terjadi sebab saya selalu buat show bersama penyanyi itu, jadi timbul gosip bercinta. Dalam masa yang sama, Aliff pernah menafikan hubungan kami dan itu membuatkan hati saya kecewa. Jadi saya diam dan ketika itulah hubungan kami kritikal dan putus sekejap,” ujar Nas diakui Aliff.

Tidak betah melayan resah ketika kasih mereka diuji dengan perpisahan angkara orang ketiga, Aliff akhirnya berusaha memenangi hati Nas semula.


“Dalam tempoh putus tu hanya Tuhan yang tahu betapa saya sedih kehilangan Nas. Saya banyak sibukkan diri dengan lakonan. Motivasikan diri dengan masuk program bina badan. Punca perpisahan memang orang ketiga. Tapi saya tenang saja. Tak perlu melenting dan bercakap apa-apa.

Saya berserah kepada jodoh. Jodoh kuat, Alhamdulillah disatukan semula. “Waktu hilang dia saya mula sedar bahawa dia adalah salah satu daripada matlamat hidup
saya. Bermula detik itu saya berusaha mendapatkan Nas semula. Saya tidaklah merampas dia daripada sesiapa tapi saya menangi hati dia dengan cara yang lebih gentleman,” ujar Aliff pula.

“Masa kecil saya pernah impi nak ada pasangan yang boleh faham saya punya minat dan kecenderungan. Alhamdulillahsaya jumpa orang yang sebenar-benarnya.

Terjadinya peristiwa-peristiwa yang bersejarah buat kami berjanji untuk tingkatkan hubungan dan bertoleransi,” sambung Aliff lagi. Dan sebagai seseorang yang pernah menyayangi Aliff dari dasar hati yang paling dalam, Nas mengakui turut melakukan solat istikharah sebelum mendapat panduan bahawa Aliff adalah pilihan terbaik buatnya.


Bulan madu di Bali

Sepakat memilih tarikh 12 Disember sebagai tarikh pernikahan dan persandingan, pasangan ini mengimpikan suasana bulan madu di Pulau Bali, Indonesia, tahun depan.

“Ramai orang bulan madu di sana dan saya impikan suasana romantis. Aliff dah pergi Bali jadi dia tak teruja macam saya,” kata Nas diiringi ketawa.

Pasangan ini akan menjalani upacara pernikahan di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada pagi 12 Disember dan bersanding pada petang hari sama, di Kompleks Finas.

Sebanyak lima dulang berbalas tujuh serta RM25,000 wang hantaran dipersetujui antara kedua-dua belah pihak.

Keseluruhan majlis mendapat tajaan berjumlah RM45,000 dari barisan penaja seperti Ari Weddingcouture (baju sanding), Anas Abdullah (baju nikah), Sri Lagenda Bridal (konsultan majlis perkahwinan), Adika Series, Adeyna, Eryn Cosmetic, Ekin Amri (jurusolek) dan Mazzjeffri dari Romancinta Bridal.

- Aliff, Nas Adila akhirnya ke jinjang pelamin

SHARING GOOD

0 Comment to "Aliff, Nas Adila akhirnya ke jinjang pelamin"

Post a Comment