Sunday 20 September 2015

Amelina masih menyengat!


DIAM tak diam, sudah hampir setahun kemunculan semula penyanyi dangdut popular Amelina dalam industri seni tanah air.

Selepas 15 tahun menyepi, siapa sangka pemilik nama Norazlina Amir Sharipuddin ini masih dirindui peminat tegarnya malah kemunculannya kali ini mendapat sambutan luar biasa terutamanya dari kalangan peminat muzik dangdut itu sendiri.

Sekembalinya Amelina juga seakan mengembalikan semula nostalgia era 90 an yang pernah memperlihatkan zaman kegemilangannya.

Bukan itu sahaja, walaupun kini usianya telah mencecah 41 tahun, Amelina masih mampu memukau peminatnya dengan cara yang tersendiri.

Maka tidak hairanlah jolokan 'ratu dangdut Malaysia' diberikan kepadanya.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur perjalanan saya terbuka luas dan dipermudahkan.

“Mungkin ini semua berkat doa anak-anak dan juga peminat dan saya anggap penerimaan ini sebagai rezeki untuk saya dan keluarga.

“Selepas 15 tahun, saya tidak sangka penerimaannya seperti ini,” katanya teruja.

Enggan menjadikan gelaran ‘ratu dangdut’ sebagai jalan mudah, anak jati Negeri Sembilan ini akui mahu bermula dari bawah untuk menjalani karier nyanyiannya kini.


“Saya anggap gelaran yang diberikan itu sebagai satu pengiktirafan namun tidaklah saya gunakannya sebagai satu kelebihan untuk memulakan semula karier ini.

“Saya mahu cuba bermula dari bawah walaupun saya tahu tahap yang pernah saya capai sebelum ini.

“Mungkin dalam masa 15 tahun menyepi, banyak perkara yang sudah saya ketinggalan, jadi tidak salah kalau saya belajar sedikit demi sedikit,” katanya yang dilantik sebagai duta kempen #YUKDANGDUT yang dibawa menerusi saluran Indopek, Astro bagi menghangatkan fenomena muzik dangdut di Malaysia.

Saluran itu akan menayangkan pelbagai rancangan berkonsepkan dangdut termasuk Kontes Dangdut Indonesia 2015 (KDI) bermula 26 September ini menerusi saluran Bintang.


Terima kritikan negatif

Di sebalik penerimaan yang baik, Amelina akui kemunculan semulanya dalam industri tidak pernah terkecuali dari tempias kontroversi.

Namun demi kebaikan, Amelina enggan ambil pusing tentang kritikan negatif yang dilemparkan kepadanya malah terus mengatur langkah demi mencari sesuap rezeki untuk keluarga.

“Sebenarnya inilah punca rezeki saya. Lagi pun saya kembali dengan usia 41 tahun, tak ada sebab lain kalau bukan untuk mencari rezeki.

“Kalau mahu cakap mengenai populariti, semua itu saya sudah rasai 15 tahun lalu. Saya senyap sebelum ini sebab saya sudah puas dengan kehidupan seperti itu.

“Jadi sekarang saya sendiri sudah boleh mengawal keadaan dan fokus pada niat saya untuk kembali,” katanya.

Mahu menjalani karier lebih matang, Amelina bagaimanapun menolak kisah peribadi untuk dibangkitkan.

“Ada yang bertanya mengenai status kehidupan peribadi saya sekarang tapi bagi saya itu belum masanya untuk saya kongsikan.

“Saya mahu bersikap matang dan tidak mahu mengguris perasaan mana-mana pihak. Biarlah dahulu jika sudah sampai ke satu tahap, saya pasti satu hari nanti semua orang akan tahu.

“Lagi pun saya masih baru memulakan semula karier ini, jadi saya tidak mahu perkara seperti itu mengganggu karier saya sedangkan inilah tempat saya mencari rezeki,” jelasnya panjang lebar.

- Amelina masih menyengat!

SHARING GOOD

0 Comment to "Amelina masih menyengat!"

Post a Comment