Sunday 20 September 2015

Rita Rudaini bukan tagih publisiti


KECANGGIHAN teknologi zaman kini memberi kelebihan kepada sesiapa sahaja untuk berkongsi apa yang dirasakan menarik dan perlu.

Bahkan kerana teknologi juga, peminat kini boleh berhubung terus dengan selebriti pujaan mereka dan ada juga selebriti yang suka berkongsi pelbagai perkembangan mereka menerusi media sosial.

Begitu juga dengan pelakon terkenal, Rita Rudaini yang begitu aktif di laman sosial Instagram.

Tidak keterlaluan mengatakan, Rita antara selebriti yang aktif berkongsi segala perkembangannya baik dari karier, perniagaan mahupun kehidupan peribadi.

Bagaimanapun keterbukaan anak kelahiran Kangar, Perlis ini disalah erti oleh sesetengah pengikut yang menganggap Rita seolah menagih publisiti menerusi laman sosial.

Namun akui wanita berusia 39 tahun ini, dia tidak mengambil pusing dengan kata-kata negatif sesetengah pihak dan menganggap mereka hanya mencemburui kehidupannya kini.


“Bila post hal yang positif orang pandang negatif, bila post pasal lawak, orang pandang negatif juga. Bila letak pasal anak, pun kena juga.

“Kadang kala saya buat tak tahu, tapi kadang-kadang saya bagi juga sedar biar faham. Lepas itu, saya sekat mereka dari mengikuti saya,” katanya yang ditemui media pada majlis tayangan khas filem Love, Supermoon di Mutiara Damansara.

Menurut Rita, dia tidak berniat untuk berkongsi segala cerita yang dilaluinya bagi menagih publisiti murahan, sebaliknya ia dilakukan untuk memberi semangat dan pengajaran kepada orang lain.

“Ada yang komen minta saya lupakan segala yang berlaku. Hakikatnya, saya dah lama lupakan apa yang berlaku. Jadi sekarang siapa yang belum ‘move on’?

“Saya kongsi untuk bagi pengajaran. Mana tahu ada yang melalui macam saya. Malah ada yang komen meminta email saya sebab mahu meminta nasihat secara peribadi dari saya kerana katanya dia juga melalui situasi sama.

“Saya kadang kala serba salah juga, tapi saya tak mahu nasihat saya disalah erti, jadi saya mengambil pendekatan untuk berdiam diri.

“Bukan sombong, tapi mungkin ia lebih baik. Tapi, kadang kala ada juga saya balas terus komen di situ,” ujar ibu kepada Airit Rayyan Rizqin, 6, dan Airit Qaqa Arjuna, 4.

Berkongsi perkembangan terkininya, Rita berkata, filem lakonannya Love, Supermoon, yang sebelum ini diberi judul Pengapit, akan mula ditayangkan di pawagam pada 22 Oktober depan.

Selain itu, dia juga bakal terlibat dengan penggambaran super telefilem dan drama episod tidak lama lagi.

- Rita Rudaini bukan tagih publisiti

SHARING GOOD

0 Comment to "Rita Rudaini bukan tagih publisiti"

Post a Comment