Sunday 20 September 2015

Polis Evo setanding filem antarabangsa


Antara babak dalam filem Polis Evo.

NASKHAH berkaitan kepolisan bukanlah karya baharu yang diketengahkan di dalam drama mahu pun filem di negara ini.

Gerak Khas contohnya sudah sinonim dengan rakyat Malaysia yang membawakan kisah-kisah jenayah yang dicegah oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Terbaharu, Astro Shaw menerusi pengarah hebat, Ghaz Abu Bakar, turut mengangkat kisah kepolisan dalam bentuk filem dengan gandingan mantap Shaheizy Sam dan pelawak, Zizan Razak, menerusi Polis Evo.

Sudah mula ditayangkan di seluruh pawagam mulai 17 September lalu, selain Zizan dan Sam, Polis Evo turut dibintangi Nora Danish, Pablo Amirul, Wan Hanafi Su, Mimie Ernida, Amerul Affendi, Allahyarham Harun Salim Bachik dan Eyka Farhana.

Filem Polis Evo bermula apabila seorang inspektor narkotik terbaik di Kuala Lumpur iaitu Inspektor Khai (Shaheizy Sam) ditugaskan untuk menyiasat dan menyelesaikan kes syabu naga yang melibatkan operasi pengedaran dadah di Terengganu.

Meskipun kes ini mempunyai kaitan dengan kes yang dikendalikan oleh Khai sebelum ini, namun dia harus bekerjasama dengan Sani (Zizan Razak) yang bertugas di Terengganu.

Ini kerana Sani lebih arif dengan selok-belok negeri kelahirannya itu. Bagaimanapun, mereka berdua mempunyai personaliti berbeza.

Khai seorang yang tegas dan sering bertindak tangkas dan ini berbeza sekali dengan Inspektor Sani, yang lebih mengikut prosedur dan protokol.

Ketidakserasian itu membuatkan misi mereka hampir gagal. Segalanya berubah apabila ketua penjenayah, Izrail mula melibatkan keluarga Inspektor Sani dalam kes ini.

Khai dan Sani kini sedar mereka perlu belajar bekerjasama bagi menyelesaikan misi mereka.

Secara keseluruhannya, penulis merasakan filem ini berbeza daripada filem-filem aksi dan juga kepolisan yang diketengahkan sebelum ini.

Menariknya mengenai filem ini, jika sebelum ini kita sering membanggakan karya antarabangsa apabila melihat teknik dan aksi mereka di layar perak, kali ini, Polis Evo akan mengikis persepsi negatif terhadap produk tempatan.

Diadun dengan gaya pengarahan dan teknik yang tersendiri, nampaknya Ghaz kali ini berjaya menghasilkan sebuah filem yang hebat.

Bukan sahaja paparan aksi, malah beberapa elemen lain turut mencantikkan lagi perjalanan kisah dua anggota polis ini.

Segala babak melibatkan aksi, letupan di buat begitu cantik biarpun ada beberapa babak diadun dengan imej janaan komputer (CGI), namun ia nampak hidup dan real.

Tidak hanya memaparkan aksi yang hebat, jalan cerita yang disusun juga memaparkan integriti PDRM dan sekali gus membuatkan filem ini berjalan lain daripada yang lain.


Gandingan mantap

Menyentuh mengenai gandingan dua pelakon utama- Zizan dan Sam, penulis merasakan keputusan untuk menggandingkan mereka merupakan satu tindakan yang tepat.

Ini kerana kedua-dua pelakon ini saling menyokong dan mengimbangi watak antara satu sama lain membuatkan kita tidak bosan dengan karakter yang sama atau persamaan dengan karakter yang sebelumnya.

Bahkan perwatakan serius dan lawak berjaya diimbangi dan diselang seli agar penonton tidak bosan atau tertekan menonton filem ini.

Pendek kata, dari mula sehingga habis, anda akan terhibur dan tertarik dengan filem yang dicorak oleh Ghaz ini.

Malah tidak keterlaluan untuk penulis katakan, anda mungkin akan berpuas hati membayar harga tiket untuk filem ini.

Justeru berjayakah mereka melumpuhkan operasi pengedaran dadah tersebut? Dan apakah pengorbanan Sani untuk menyelamatkan keluarganya?

Saksikan jawapannya di pawagam berdekatan anda.



- Polis Evo setanding filem antarabangsa

SHARING GOOD

0 Comment to "Polis Evo setanding filem antarabangsa"

Post a Comment