Sunday 20 September 2015

Selena Gomez bintang terkaya Hollywood



NAMANYA sering dihimpit dengan pelbagai kontroversi, namun Selena Gomez berjaya mengekalkan popularitinya dalam persada hiburan Hollywood sehingga ke hari ini.

Buktinya, karier seni gadis kecil molek ini menunjukkan perkembangan yang sangat memberangsangkan sama ada daripada segi lakonan mahupun nyanyian.

Tidak cukup dengan itu, dalam usianya yang baru saja menginjak ke-23 tahun, Gomez turut dilantik menjadi duta jenama syampu terkenal, Pantene dan dikhabarkan telah menerima bayaran sebanyak AS$3 juta (RM11.2 juta) setahun.

Dengan bayaran itu, Gomez kini dilaporkan memiliki harta yang dianggarkan bernilai hampir AS$20 juta (RM74.8 juta) sekali gus menjadikannya sebagai salah seorang bintang remaja terkaya di Hollywood.

Pun begitu, di sebalik ‘keindahan’ dunia Hollywood yang di kecapinya, jauh di sudut hati, Gomez ternyata menyimpan rahsia hatinya sepanjang bergelar anak seni.

Pemilik nama penuh Selena Marie Gomez ini mengakui berasa kecewa dan sedih apabila pada kebanyakan masa dihalang untuk meluahkan rasa hatinya.

“Saya tidak dibenarkan untuk meluahkan rasa hati sebenar dan apabila saya berbuat demikian, ada antara kenyataan itu telah dipotong atau ditapis. Itu membuatkan saya sedih!,” katanya kepada E Online.

Keadaan itu menyebabkan anak kelahiran Grand Prairie, Texas ini mengambil pendekatan dengan meluahkan rahsia hatinya menerusi lagu The Heart Wants What it Wants.


"Saya juga punya hak untuk meluahkan apa saja yang saya rasa. Sudah tentu, saya ada cara yang tersendiri. Lagipun, saya tidak mempercayai sesiapa pun," katanya.

Tambah Selena, tujuannya berbuat demikian adalah kerana mahu memberi inspirasi kepada peminat yang selama ini memberi sokongan kepadanya.

"Saya cuma mahu semua yang menyokong saya selama ini mengenali diri saya. Apa pun yang terjadi, saya mahu mereka tahu, saya tetap saya, manusia biasa dan punya perasaan.

"Saya juga berasa sedih, takut, bimbang dan emosi selain gembira. Tetapi tidak sangka, menjadi diri sendiri juga membuatkan saya dikritik. Tak faham sungguh," katanya.

Pada masa sama, Gomez juga berasa sangat bertuah apabila sentiasa mendapat sokongan daripada dua rakan baiknya yang juga selebriti popular Hollywood, Taylor Swift dan Demi Lovato.

"Mereka sering menasihati Gomez agar jangan terus berasa sedih dan teruskan dengan kerjaya yang sentiasa menanti," kata sumber.


Berbakat besar

Menyingkap kembali pembabitannya dalam karier seni, bekas kekasih Justin Bieber ini mengakui berminat untuk menceburi bidang lakonan selepas melihat ibunya, Mandy Cornett beraksi di pentas teater.

"Ibu saya adalah seorang pelakon teater dan saya sering kali mengikutnya berlatih.

"Saya pernah berjanji dengan diri sendiri, saya akan menjadi seperti ibu saya suatu hari nanti," katanya.

Pelantun lagu Come & Get It itu kemudiannya berpindah dari Texas ke California, Amerika Syarikat (AS) bersama-sama ibunya demi memenuhi impiannya untuk bergelar penyanyi dan pelakon.

Gomez akhirnya membuat kemunculan pertamanya melalui siri kanak-kanak, Barney & Friends pada awal tahun 2000, namun mendapat perhatian hanya setelah menjayakan siri Disney, Wizards of Waverly Place pada 2007.

Pun begitu, bekas kekasih Taylor Lautner ini dilihat lebih sinonim dalam bidang nyanyian selepas melancarkan album pertamanya pada 2009 berjudul, Kiss & Tell.

Sehingga ke hari ini, Gomez telah memiliki lima album termasuk A Year Without Rain (2010), When The Sun Goes Down (2011), Stars Dance (2013) dan terbaharu, Revival yang akan dipasarkan pada 9 Oktober ini.

Pada masa sama, pelantun lagu Who Say’s ini turut membintangi pelbagai filem seperti Another Cinderella Story (2008), Horton Hears a Who! (2008), Arthur and the Revenge of Maltazard (2009), Arthur 3: The War of the Two Worlds (2010), Monte Carlo (2011), The Muppets(2011), Hotel Transylvania (2012), Spring Breakers (2013), Aftershock (2013), Behaving Bad (2013), Getaway (2013) dan Rudderless (2014).

"Menyanyi dan berlakon adalah dua bidang yang berbeza. Saya merasakan antara dua bidang ini, lakonan adalah yang paling mudah bagi saya.

"Ini kerana, apabila berlakon, kita haruslah berjalan seiring dengan pengarah dan krew yang lain sekali gus memainkan karakter yang ditugaskan.

"Bidang nyanyian pula, kita harus mempersembahkan diri sendiri melalui lagu yang ditulis," katanya.


Kembali jadi pontianak

Dalam sibuk melancarkan single terbaharunya, Same Old Love, pada masa sama, jadual Gomez turut padat apabila filem terbaharunya, Hotel Transylvania 2 bakal menjengah pawagam mulai 24 September ini.

Dalam sekuel filem itu, pelantun lagu Love You Like A Love Song ini kembali menjadi penyumbang suara bagi watak gadis pontianak bernama Mavis.

Filem arahan Genddy Tartakovsky itu mengisahkan kesinambungan mengenai hubungan Mavis dengan seorang manusia bernama Jonathan (Andy Samberg). Selepas berkahwin, Mavis kemudian memiliki seorang anak yang diharapkan oleh ayahnya boleh menjadi penyambung generasi keturunan mereka.

"Jika kalian menikmati filem sebelumnya, saya punya firasat kalau sekuel ini akan lebih baik dari sebelumnya.

"Jalan ceritanya lebih mendalam dan meninggalkan pengalaman baharu buat saya," kata Gomez ketika menjalani sesi web chat 6th Summer of Sony Pictures Entertainment dari Cancun, Mexico.

Selain Gomez, pelakon lain yang kembali menyumbang suara dalam filem ini adalah Adam Sandler, Steve Buscemi, Kevin James, Andy Samberg, David Spade dan Molly Shannon.


HOTEL TRANSYLVANIA 2
PENGARAH: Genndy Tartakovsky
PELAKON: Adam Sandler, Andy Samberg, Selena Gomez, Kevin James, Fran Drescher, Steve Buscemi
GENRE: Komedi / Animasi / Kekeluargaan
TARIKH TAYANGAN: 24 SEPTEMBER 2015

- Selena Gomez bintang terkaya Hollywood

SHARING GOOD

0 Comment to "Selena Gomez bintang terkaya Hollywood"

Post a Comment