Sunday 20 September 2015

Mungkin sebab ada Tun M luah pengarah filem


Luahan hati pengarah dalam Facebook beliau.

SETELAH mencurahkan segala usaha dalam karya terbaharu yang didedikasikan untuk anak bangsa tanpa sedikit niat mengaitkan politik semasa, penerbit filem Kapsul meluahkan rasa kecewa apabila mendakwa dianaktirikan ketika berlangsungnya Festival Filem Malaysia ke-27 (FFM27), awal September lalu.

Penerbit yang juga pengarah kesan khas filem Kapsul, Amru Najmi Osman mendakwa ‘trailer’ filem Kapsul tidak ditayangkan ketika promosi sempena filem baharu FFM27 lalu mungkin kerana bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut terlibat dalam filem tersebut.

“FFM27 telah melukakan hati aku apabila hanya ‘trailer’ Kapsul tidak ditayangkan. Bravo5, Polis Evo dan filem-filem lain semua ditayangkan.

“Aku memang dah agak mungkin sebab Tun Mahathir ada dalam filem aku. Aku selalu dengar orang kata, politik ini kotor dan baru aku perasan kenapa nama Bersih digunakan. Perjuangan harus diteruskan,” katanya melalui kemas kini status di Facebook, minggu lalu.

Tegasnya, skrip filem tersebut telah ditulis Allahyarham Martias Ali pada 2009 dan tiada sebarang olahan dibuat selepas itu.

“Tahun 2014 aku telah mengambil inisiatif untuk menerbitkan sebuah filem perjuangan Melayu bagi menyatukan bangsa ini. Sekurang-kurangnya aku tidak memekak menjadi ‘keyboard warrior’ dan memberikan sesuatu untuk bangsa aku melalui filem ini.

“Idea arwah Martias Ali ini memang 100 peratus untuk bangsa dan bukan ada isu politik langsung. Skrip beliau telah ditulis tahun 2009 dan tiada olahan dibuat selepas aku mengambilnya,” katanya.


Menurutnya lagi, dalam filem itu ada watak-watak penting sejarah seperti Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, Tun Dr Mahathir dan Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Filem Kapsul skrip 2009 ada kisah Tunku (Abdul Rahman), Tun Razak, Najib masa muda dan Tun Mahathir. Jangan tanya kenapa Pak Lah tak ada...kenapa Najib sekarang tak ada?

“Sebabnya ia kisah Kapsul dan skrip telah lama ditulis sebelum serangan dibuat oleh kedua-dua pihak. Itulah penjelasan aku. Apa orang nak kata dan nak buat, terpulanglah. Hanya ALLAH yang tahu,” katanya.

Menurutnya meskipun menyedari hakikat bahawa filem sejarah tidak akan membuat kutipan tinggi, namun atas dasar tanggungjawab pada bangsa, beliau tetap melahirkan Kapsul.

“Mesej untuk bangsa yang arwah buat ini adalah satu hasil yang amat baik. Sebab itu aku buat filem. Aku tahu filem sejarah semuanya tak kutip duit. Tapi aku peduli apa. Atas dasar tanggungjawab pada bangsa, aku buat juga dan habiskan juga.

“Aku masih mencari sebab kenapa ‘trailer’ ini tidak ditayangkan. Tapi yang pasti, sekiranya ini isu politik, aku berjanji tiga undi untuk BN akan hilang untuk pilihan raya umum akan datang (aku tak tahu nak pangkah siapa dah).

“Dan sekiranya filem ini gagal, aku bersyukur pada ALLAH kerana memberikan aku rezeki menyiapkan sebuah filem untuk bangsa aku sendiri dan mencipta sejarah,” katanya.

Filem Kapsul yang telah mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula semalam merupakan terbitan sulung Two Tones Sdn Bhd dan mengandungi 60 peratus elemen CGI yang direka dan dibangunkan sendiri oleh kakitangan syarikat itu.

Berlatarkan lokasi sekitar Kuala Kangsar, Lenggong, Sayong, Ipoh, Kuala Lumpur, Cyberjaya, Putrajaya dan Klang, rakaman filem Kapsul mengambil masa selama 25 hari.

Selain Faizal Hussien, filem yang menelan belanja RM2.3 juta itu turut menampilkan 30 pelakon tanah air serta 200 pelakon tambahan termasuk Mahathir.

Antaranya, Datuk Rahim Razali, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Shahruddin Tambi, Aman Graseka, Adam Corrie Lee, Haeriyanto Hassan, Jue Aziz, Zamarulhisham, Fadilah Mansor dan Elly Mazlien.

- Mungkin sebab ada Tun M luah pengarah filem

SHARING GOOD

0 Comment to "Mungkin sebab ada Tun M luah pengarah filem"

Post a Comment