Sunday 20 September 2015

Amelina Saya maafkan mereka



AMELINA memang ingin berhijab tetapi biarlah ia lahir dengan keikhlasan hati.

AIR mata penyanyi dangdut, Amelina gagal dikawal daripada mengalir tatkala dihubungi Sensasi Bintang baru-baru ini.

Menerusi panggilan pada lewat malam itu, suara Amelina jelas kedengaran teresak-esak menggambarkan dia benar-benar terkesan dengan komen orang ramai mengenai isu ketidaksediaannya untuk mengenakan hijab biarpun sudah melewati usia 40-an.

Sementelah, ramai dalam kalangan selebriti seusia dengannya sudah bertudung penuh sebagai pelengkap kehidupan.

Apa yang menyedihkan, penyanyi yang popular menerusi lagu Asyik itu menerima kritikan negatif bertubi-tubi di internet dan media sosial sehingga ada yang sanggup menjatuhkan maruahnya sebagai wanita beragama Islam.

Amelina atau nama sebenarnya, Nurazlina Amir Sharifuddin, 41, memberitahu, komen yang diberikan orang ramai terhadap dirinya itu sangat memalukan dan seolah-olah menggambarkan dia tidak mempunyai pegangan agama.


“Saya masih beragama Islam dan tidak terpesong daripada akidah. Saya tahu kewajipan saya sebagai umat Islam di muka bumi ini.

“Apabila perkara ini terjadi, ia seolah-seolah menggambarkan diri saya seorang wanita yang jahat dan jahil tentang hal agama.

“Selama ini, saya tidak pernah menilai mahupun menghina mana-mana individu. Saya melayani setiap insan sama rata dengan penuh berhemah. Malangnya, ini yang saya terima,” jelasnya dalam nada sedih.

Meskipun masih diselubungi rasa terkilan ekoran tohmahan yang dilemparkan orang ramai terhadap dirinya, Amelina bagaimanapun mengakui sudah memaafkan setiap individu yang menjatuhkan maruah dirinya.

“Saya sudah maafkan mereka. Tidak dinafikan, pada mulanya saya sangat sedih dan malu dengan komen negatif tersebut kerana ada yang sanggup menjatuhkan hukum mengatakan saya munafik dan bakal menjadi penghuni neraka.

“Sedangkan mereka tidak tahu cerita sebenar. Sewaktu saya ditemu bual media, saya ditanya mengapa saya masih belum berhijab sedangkan rakan yang lain sudah bertudung. Ketika itu saya memberitahu bahawa saya mahu memberi fokus dan mencari kestabilan diri terlebih dulu memandangkan saya baru sahaja memasuki industri seni tanah air selepas hampir 15 tahun menyepi.

“Mengenai isu bertudung pula, biarlah hidayah itu sampai bila tiba waktunya. Lagipun, saya tidak mahu bertudung untuk meraih simpati orang ramai ataupun mengikut trend semasa. Kalau saya mahu bertudung, saya mahu betul-betul fokus ke arah kebaikan,” tegas Amelina membetulkan kenyataannya ketika ditemubual Sensasi Bintang baru-baru ini.

Ibu tunggal kepada enam cahaya mata itu turut mengakui, pada usia 41 tahun, dia sebenarnya mempunyai keinginan untuk tampil berhijab.

“Usia saya sudah semakin meningkat sudah tentu keinginan untuk berhijab itu semakin menebal, tetapi perkara begini tidak boleh dipaksa.

“Apabila sudah sampai masanya pasti saya akan bertudung. Biarlah ia hadir dengan kerelaan hati kerana tidak mahu digelar hipokrit,” katanya yang kini sedang giat mempromosikan single terbaharunya berjudul Cinta Harus Seksi.

- Amelina Saya maafkan mereka

SHARING GOOD

0 Comment to "Amelina Saya maafkan mereka"

Post a Comment